-->

Saturday, January 31, 2009

ambiru

template ambiru blogging by btemplates.com

ini adalah template dari btemplates.com yang membuatkan aku tertarik untuk ambil tapi sekadar untuk letak dalam blog. Kalau sesiapa yang nak template versi blogger lama..ada banyak sgt...aku x masukkan sebab xder yg pakai rasanya...


tekan pada gambar untuk demo




Air Mata Malam Pertama
Air Mata Malam Pertama
www.iLuvislam.com
muslim_warrior
Editor : kasihsayang

Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam. Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernah kukenali; pilihan keluarga. Aku pasrah. Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.

Ana dah jadi isteri! ” Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul. “Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti.” Doaku perlahan. Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku sudah bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti. “Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti?” Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati. Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.

“Assalamualaikum!” Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya. Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku.

“Sayang”..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya. Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud ke jari manisku.

“Abang”.. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku. “Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana ke pangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang..”Bisikku perlahan. ” Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia.” Janjinya padaku. Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku.

Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu. Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi. Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu. Aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami.


**********

“Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana”. Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulakan bicaranya.

“Apa dia ayah, mak? Macam penting je” Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka. “Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana.” “Apa!!!”Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri. “Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?” Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.

“Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?” Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian. “Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana. “Ujar mak setelah sekian lama membisu. “Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya.” Terang ayah lagi.

“Ana..” Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa. “Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.”; “Ini cincinnya, pakailah.” Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini. “Ahhhhgggg…”Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.


**********

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni. “Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu.” Ujar ayah padaku. Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik. Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu. Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami.” “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin.” Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman.

Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. “Bang, maafkan Ana!” Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus. “Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang.” Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah. “Abang nak ke mana tu?” Soalku. “Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi.” Jawabnya. “Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi.”Aku kesian melihatnya, keletihan. “Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah.” Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu. “Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya.” Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah. Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.

“Bila Ana turun?” Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja. ” Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang.” “Maafkan abang sayang.” Dia menghampiriku. “Sayang tak marahkan?” Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat. Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku. “Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita.” Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. “Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang.” Jawabnya tersenyum. “Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi.” “Betul ni?”Soal suamiku cepat-cepat. “Ish..Gatal la abang ni!” Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku. Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi.

Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri. Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku. “Apa yang Ana menungkan ni?” Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang. “Abang ni, terkejut Ana tau!” Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk. “Alaa..sayang ni..macam tu pun nak marah.” Usiknya sambil mencubit pipiku. “Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!” Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.

“Sayang…” Seru suamiku sambil merangkul tubuhku. “Sayang nak honeymoon kemana?” Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu. “Ana ikut aje ke mana abang nak bawa.” “Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?” Guraunya. “Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?” Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa. “Nanti sayang nak berapa orang anak?” Soalnya lagi setelah ketawanya reda. “Abang nak berapa?” Soalku kembali tanpa menjawab soalannya. “Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?” “Ish…abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?” Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa. “Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan.” “Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup.” Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira. “Ni yang buat abang tambah sayang ni.” Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku. Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

“Zul, Ana! Jom kita makan dulu!” Suara mak memanggil. “Mari bang! Ana pun dah lapar ni.” Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam. Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik. Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukenali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apatah lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan. “Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?” Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

“Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku.” “Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan. Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti? Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

“Masuklah, pintu tak berkunci.” Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku. Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. ” Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?” Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku. Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu. “Habis tu apa yang sayang menungkan ni?” Ana takut bang!” Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku. ” Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita.” Pujuk suamiku.

” Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut..” Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.

” Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang! ” Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku. ” Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit.” Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai. Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.


**********

“Ayah, mak! Ana dah buat keputusan.” Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari. Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri. ” Keputusan tentang apa?” Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. ” Pasal peminangan tu.” Ujarku. Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku. ” Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih.” Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari. Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.

” Syukurlah, moga Ana bahagia nanti.” Ucap ayah padaku. Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku. “Nanti mak kenalkan dia pada Ana.” Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka. ” Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje.” Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat. ” Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya.” Ayah mempersoalkan keputusanku itu. ” Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?” Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.


**********

Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. ” Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah.” Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan. ” Baik bang. Bang, ni baju abang.” Ujarku sambil bangun untuk ke dapur. Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi. ” Patutlah.” Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang. Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik. Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

“Bang….”Seruku. “Ada apa sayang?” Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya. “Malam ni abang nak…..nak…..”Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya… ” Nak apa sayang?” Soalnya lagi sambil tersenyum. “Ah..abang ni…”Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku. “Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?” Bisiknya ketelingaku. Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

“Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!” Bisik suamiku. ” Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia.” Jawabku. Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul. Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk mempraktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada.” Rasulullah bersabda: “Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu.” Rasulullah bersabda: “Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia.” Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu.”

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang. Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah.

Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya. “Abang tak apa-apa?” Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui. “Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot.”Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam. “Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu.” Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pijama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu. “Nakallah abang ni.” Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar. Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu. Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku.

Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. “Kenapa ni bang?” Soalku sewaktu bersalaman dengannya. ” Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni..” “Zul sakit ke?” Tanya ayah. “Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot.”Jawabnya. “Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak.” Sampuk mak. “Nanti Ana ambilkan ubat.” Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat. Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air. Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. “Terima kasih.” Ucapnya perlahan. Aku angguk. “Abang berehatlah.” Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.

Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang.” ” Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah.” “Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan.” “Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah.”Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya. “Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang. Sayanglah satu-satunya buah hati abang.” Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja. Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik. “Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea” “Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya.” Ujarnya perlahan. “Abang tidurlah.” Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga.

Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat. Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku. Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.


**********

” Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana.” Pujuk emak. Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjenguk dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku. Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.

Kerana Dia Manusia Biasa
Kerana Dia Manusia Biasa
www.iluvislam.com
diedit oleh : everjihad


Email ini dipetik daripada seorang sahabat, dan saya forwardkan untuk manfaat kepada diri saya dan semua.

Semoga bermanfaat baik untuk yang melamar ataupun yang dilamar, ataupun bagi yang sudah berumah tangga. Renungan buat yang sedang mencari pasangan hidup ataupun yang sedang mengemudi bahtera rumah tangga. Mengapa? Kerana Dia Manusia Biasa.

Setiap kali ada sahabat yang ingin menikah, saya selalu mengajukan pertanyaan yang sama. Kenapa kamu memilih dia sebagai suami/isterimu? Jawappannya ada bermacam-macam. Bermula dengan jawapan kerana Allah hinggalah jawapan duniawi. Tapi ada satu jawapan yang sangat menyentuh di hati saya. Hingga saat ini saya masih ingat setiap butir percakapannya. Jawapan dari salah seorang teman yang baru saja menikah. Proses menuju pernikahannya sungguh ajaib. Mereka hanya berkenalan 2 bulan. Kemudian membuat keputusan menikah. Persiapan pernikahan mereka hanya dilakukan dalam waktu sebulan saja. Kalau dia seorang akhwat, saya tidak hairan. Proses pernikahan seperti ini selalu dilakukan. Dia bukanlah akhwat, sebagaimana saya. Satu hal yang pasti,dia jenis wanita yang sangat berhati-hati dalam memilih suami. Trauma dikhianati lelaki membuat dirinya sukar untuk membuka hati. Ketika dia memberitahu akan menikah, saya tidak menganggapnya serius. Mereka berdua baru kenal sebulan. Tapi saya berdoa, semoga ucapannya menjadi kenyataan. Saya tidak ingin melihatnya menangis lagi. Sebulan kemudian dia menemui saya. Dia menyebutkan tarikh pernikahannya. Serta meminta saya untuk memohon cuti, agar dapat menemaninya semasa majlis pernikahan. Begitu banyak pertanyaan dikepala saya.



Saya ingin tahu! Mengapa dia begitu mudah menerima lelaki itu. Ada apakah gerangan? Tentu suatu hal yang istimewa. Hingga dia boleh memutuskan untuk bernikah secepat ini. Tapi sayang, saya sedang sibuk ketika itu(benar-benar sibuk). Saya tidak dapat membantunya mempersiapkan keperluan pernikahan. Beberapa kali dia menelefon saya untuk meminta pendapat tentang beberapa perkara. Beberapa kali saya telefon dia untuk menanyakan perkembangan persiapan pernikahannya. Kami tenggelam dalam kesibukan masing-masing. Saya mengambil cuti 2 hari sebelum pernikahannya. Selama cuti itu saya memutuskan untuk menginap di rumahnya. Pukul 11 malam sehari sebelum pernikahannya, baru kami dapat berbual -hanya-berdua. Hiruk-pikuk persiapan akad nikah esok pagi, sungguh membelenggu kami. Pada awalnya kami ingin berbual tentang banyak hal. Akhirnya, dapat juga kami berbual berdua. Ada banyak hal yang ingin saya tanyakan. Dia juga ingin bercerita banyak perkara kepada saya. Beberapa kali Mamanya mengetuk pintu, meminta kami tidur.

"Aku tak boleh tidur." Dia memandang saya dengan wajah bersahaja.

Saya faham keadaanya ketika ini.

"Matikan saja lampunya, biar disangka kita dah tidur."

"Ya.. ya." Dia mematikan lampu neon bilik dan menggantinya dengan lampu yang samar.

Kami meneruskan perbualan secara berbisik-bisik. Suatu hal yang sudah lama sekali tidak kami lakukan. Kami berbual banyak perkara, tentang masa lalu dan impian-impian kami. Wajah keriangannya nampak jelas dalam kesamaran. Memunculkan aura cinta yang menerangi bilik ketika itu. Hingga akhirnya terlontar juga sebuah pertanyaan yang selama ini saya pendamkan. "Kenapa kamu memilih dia?" Dia tersenyum simpul lalu bangkit dari baringnya sambil meraih telefon bimbitnya dibawah bantalku. Perlahan dia membuka laci meja hiasnya. Dengan bantuan lampu LCD handphone dia mengais lembaran kertas didalamnya. Perlahan dia menutup laci kembali lalu menyerahkan sekeping sampul kepada saya. Saya menerima handphone dari tangannya. Sampul putih panjang dengan cop surat syarikat tempat calon suaminya bekerja. Apa ini?. Saya melihatnya tanpa mengerti.

Eeh..., dia malah ketawa geli hati.

"Buka aja."

Sebuah kertas saya tarik keluar. Kertas putih bersaiz A4, saya melihat warnanya putih. "Teruknya dia ni."

Saya menggeleng-gelengka n kepala sambil menahan senyum.

Sementara dia cuma ketawa melihat ekspresi saya. Saya mula membacanya. Saya membaca satu kalimat diatas, dibarisan paling atas. Dan sampai saat inipun saya masih hafal dengan kata-katanya. Begini isi surat itu........

************ ********* *******

Kepada ...... Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya Assalamu'alaikum Wr Wb. Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai. Saya, yang bernama_____menginginkan anda______ untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak. Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan. Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa. Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik. Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih anda. Saya sudah sholat istikharah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih anda. Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini. Saya memohon anda sholat istiqarah dulu sebelum memberi jawapan pada saya. Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin Wassalamu'alaikum Wr Wb



************ ********* *********

Saya memandang surat itu lama. Berkali-kali saya membacanya. Baru kali ini saya membaca surat 'lamaran' yang begitu indah. Sederhana, jujur dan realistik. Tanpa janji-janji yang melambung dan kata yang berbunga-bunga. Surat cinta biasa. Saya menatap sahabat disamping saya. Dia menatap saya dengan senyum tertahan.

"Kenapa kamu memilih dia.....?"

"Kerana dia manusia biasa......." Dia menjawab mantap.

"Dia sedar bahawa dia manusia biasa. Dia masih punya Allah yang mengatur hidupnya. Yang aku tahu dia akan selalu berusaha tapi dia tidak menjanjikan apa-apa. Soalnya dia tidak tahu, apa yang akan terjadi pada kami kemudian hari. Entah kenapa, justeru itu memberikan kesenangan tersendiri buat aku.."

"Maksudnya?"

"Dunia ini fana. Apa yang kita punya hari ini belum tentu esok masih ada dan menjadi milik kita. Betul tak? Paling tidak.... Aku tau bahawa dia tidak akan frust kalau suatu masa nanti kami jadi miskin. "

Ssttt....."Saya menutup mulutnya.

Khuatir kalu ada yang tau kami belum tidur. Terdiam kami memasang telinga. Sunyi. Suara jengkering terdengar nyaring diluar tembok. Kami saling berpandangan lalu gelak sambil menutup mulut masing-masing.

"Udah tidur. Esok kamu mengantuk, aku pula yang dimarahi Mama."

Kami kembali berbaring. Tapi mata ini tidak boleh pejam. Percakapan kami tadi masih terngiang terus ditelinga saya.

"Gik.....?" "Tidur.....Dah malam." Saya menjawab tanpa menoleh padanya.

Saya ingin dia tidur, agar dia kelihatan cantik jelita esok pagi. Rasa mengantuk saya telah hilang, rasanya tidak akan tidur semalaman ini. Satu lagi pelajaran dari pernikahan saya peroleh hari itu. Ketika manusia sedar dengan kemanusiaannya.

Sedar bahawa ada hal lain yang mengatur segala kehidupannya. Begitu juga dengan sebuah pernikahan. Suratan jodoh sudah terpahat sejak roh ditiupkan dalam rahim. Tidak ada seorang pun yang tahu bagaimana dan berapa lama pernikahannya kelak. Lalu menjadikan proses menuju pernikahan bukanlah sebagai beban tetapi sebuah 'proses usaha'. Betapa indah bila proses menuju pernikahan mengabaikan harta, takhta dan 'nama'. Status diri yang selama ini melekat dan dibanggakan (aku anak orang ini/itu), ditanggalkan. Ketika segala yang 'melekat' pada diri bukanlah dijadikan pertimbangan yang utama. Pernikahan hanya dilandasi kerana Allah semata. Diniatkan untuk ibadah. Menyerahkan segalanya pada Allah yang membuat senarionya. Maka semua menjadi indah. Hanya Allah yang mampu menggerakkan hati setiap hamba-NYA. Hanya Allah yang mampu memudahkan segala urusan. Hanya Allah yang mampu menyegerakan sebuah pernikahan. Kita hanya boleh memohon keredhaan Allah. MemintaNYA mengurniakan barakah dalam sebuah pernikahan. Hanya Allah jua yang akan menjaga ketenangan dan kemantapan untuk menikah. Jadi, bagaimana dengan cinta? Ibu saya pernah berkata, Cinta itu proses. Proses dari ada, menjadi hadir,lalu tumbuh, kemudian merawatnya. Agar cinta itu dapat bersemi dengan indah menaungi dua insan dalam pernikahan yang suci. Cinta tumbuh kerana suami/isteri (belahan jiwa). Cinta paling halal dan suci. Cinta dua manusia biasa, yang berusaha menggabungkannya agar menjadi cinta yang luar biasa. Amin.

Wallahu 'alam.

Cinta Nan Indah
Cinta Nan Indah
www.iLuvislam.com
oleh: nur fatehah



*****

"Cinta itu indah sekiranya Allah menjadi matlamat"

"Allah tidak memberi kita hak melainkan untuk menyayangi sesama kita"

"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu"

"Kurniakanlah aku seseorang yang aku perlu, bukan seseorang yang aku mahu"

"Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu"

"Jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku padaMu"

"Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu, agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu"

"Jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling hatiku padaMu"

"Rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu"

"Jagalah kenikmatan mencintai kekasihMu agar tidak melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu"

"Jagalah rinduku padanya, agar tidak lalai aku merindukan syurgaMu"

"Aku mendambakan cinta suci yang terjaga"

"Cinta kerana Allah tidak ternilai harganya"

"Hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa"

*****
Cinta Syawal
Cinta Syawal
www.iluvislam.com
oleh: luckystar

Suatu ketika Syawal terlibat pembicaraan dengan gurunya….

Syawal mempertanyakan makna cinta dan gurunya pun menjawab:
“Masuklah kedalam hutan, pilih dan ambillah satu batang ranting yg menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang.Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut”.

Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal tanpa membawa sebatang ranting pun.Gurunya bertanya, maka jawab syawal: “Saya sebenarnya sudah menemukan ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali didepan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan ternyata ranting yang sudah saya tinggalkan tadilah yg terbaik. Maka saya keluar hutan tanpa membawa apa-apa”.

Guru itupun berkata: “ Itulah makna Cinta ”.



Lalu Syawal pun bertanya apa makna perkawinan. Guru pun menjawab: “ Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pokok yg kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan”.

Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal dengan membawa pohon yng tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu indah.Gurunya pun bertanya, maka jawab syawal: “Saya dapati pohon yang indah daunnya, besar batangnya.. Tetapi saya tak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan …. Akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya temukan pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemukan pohon seperti ini di depan sana. Akhirnya saya pilih pohon ini kerana saya yakin bisa merawatnya dan menjadikanya indah”.

Lalu sang guru berkata: “ Itulah makna Perkahwinan ”.

Begitu banyak pilihan didepan kita seperti pohon pohon beserta rantingnya didalam hutan, tetapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih tidak satu pun akan kita dapati, kerana kesempatan itu hanya sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang bergilir ke depan, yang tidak pernah tersimpan pada hari kelmarin dan bersemayam pada masa lalu kita.



Disakitkan-NYA kite sekejap, tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cinta-NYA, disusahkan sedikit agar insaf namun segera di senangkan semula, itulah belaian-NYA.Dimarahkan juga kadang-kadang kerana sayang, namun tidak lama kerana kasih-NYA.Dipangil-pangil kepada-NYA, untuk meminta itu dan ini, Tuhan amat melayani hambanya, tapi si hamba tidak peduli langsung!!
Dakwah Dan Cinta
Dakwah Dan Cinta
www.iLuvislam.com
oleh: azree_mh*


“Bagaimana kita mahu menasihatkan mad’u(ahli usrah) kita yang bercinta?” Satu soalan diberikan kepada ahli panel forum. Saya hanya duduk di belakang dewan memerhatikan sahaja gelagat si penyoal.

“Ada seorang rakan yang saya kenal di kampus. Aktif dalam gerakan dakwah tetapi dalam masa yang sama dia juga bercinta dengan seorang perempuan. Cuma selalunya hanya berjumpa apabila ada meeting, atau pun chatting di Yahoo Messenger dan sms…” Seorang lagi peserta bangun bercerita pengalamannya pula. Juga tentang cinta.

Masa remaja tentunya masa yang penuh dengan gelora perasaan kerana ia merupakan transisi menuju dewasa. Tidak kiralah mereka itu aktivis dakwah atau pun tidak kerana perasaan ingin menyayangi dan disayangi itu adalah fitrah. Tumbuh secara semula jadi dalam diri.

Semua manusia pasti ada perasaan tersebut. Mulanya hanya berjumpa sewaktu meeting, bekerjasama dalam program dakwah dan tarbiyah dan kemudian mulalah kerap sms bertanya khabar.

Lawan Vs. Kawal

“Kamu perlu lawan perasaan itu.” Kata seorang naqib sewaktu saya di sekolah dahulu.

Lawan? Kerana lawanlah perasaan tersebut dipendam-pendam. Akhirnya membuak-buak dan pecah. Lalu langsung tidak terkawal apabila di universiti. Itulah yang terjadi kepada beberapa orang rakan saya… Dan juga senior termasuk naqib saya itu.

Sudah beberapa kali saya terserempak dengan beberapa senior sekolah lama saya yang merangkap ketua pelajar mahupun naqib, kini keluar berdua-duaan dengan pasangan.

“Eh, abang dah berkahwin ke? Tak jemput ana pun.” Sengaja saya mengusik. Tersipu-sipu malu mukanya.

“Belum lagi.” Jawabnya ringkas.

Perasaan cinta bukan perlu dilawan
. Mengapa perlu dilawan perkara yang sudah menjadi fitrah? Tetapi perasaan cinta itu perlu dikawal. Disalurkan ke tempat yang betul. Dikawal supaya tidak melampau batas-batas yang telah ditetapkan Tuhan.

“Sudah ada ikatan yang sah belum? Jika belum ada cepat-cepat mengikat dengan cara yang sah dan terbaik. Jika masih lama lagi waktunya untuk mengikat hubungan, maka seeloknya berhentikanlah dahulu. Takut-takut nanti jadi jemu dan akhirnya berpisah begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bertunanglah…”


Seorang ustaz saya ada menasihatkan, “Siapa kata bertunang tidak boleh berkenal-kenalan dengan pasangan kita itu? Waktu pertunanganlah waktu untuk kita berkenal-kenalan. Islam menyuruh kita memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita sebelum kita menikahinya.”

Over Rate Diri Sendiri


“Saya ada menyukai seseorang, dan kami telah berkenalan agak lama. Cuma sekarang saya rasa serba salah. Adakah cara kami ini salah atau betul?” Seorang rakan menyoal saya. Dan saya mengenalinya sebagai orang kuat dalam satu persatuan agama di kampus.

“Apa cara yang kamu rasa salah atau betul itu?” Saya kembali menyoal.

“Kami tidaklah kerap berjumpa seperti pasangan lain. Kalau berjumpa pun akan ada seseorang menemani. Kami cuma kerap berhubung melalui sms. Itupun sms kami selalunya berkaitan persoalan agama.” Dia cuba menerangkan.

Saya menarik nafas panjang. Kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dalam hati ingin saja berkata, ’Saya bukanlah seorang yang selalu pergi ceramah agama berbanding dia. Lagikan pula memberi ceramah sana-sini seperti dia. Tetapi tahu jugalah sikit-sikit tentang persoalan ikhtilat(pergaulan) antara lelaki dan perempuan.’

“Dalam diri kita ini tidak kiralah siapa pun, ada satu sifat over rate diri sendiri. Tidak kiralah saya atau pun kamu, turut ada sifat itu.” Saya cuba memulakan penerangan. Berhenti seketika.

“Apa maksud sifat over rate itu?” Belum sempat saya meneruskan, dia menyoal.

“Sifat ini yang membuatkan kita merasakan apa yang kita buat nampak macam betul. Sedangkan bila kita tengok orang lain buat, nampak macam salah. Walhal perbuatan tersebut lebih kurang sama sahaja. Itu yang menyebabkan selalu saya lihat hari itu si dia pergi menegur sepasang remaja yang duduk bersembang, tetapi esoknya saya lihat dia pula berjumpa dengan pasangannya.

Kemudian siap bersembang dalam sms ataupun chatting di YM agak lama. Cuma nampak sahaja seperti lebih baik, tetapi maksud dan tujuannya tetap sama. Tetap dalam bahasa yang selalu kita panggil sebagai ’couple’. Ini kerana kita merasakan diri sendiri itu sudah terlalu baik, jadi apa sahaja yang dibuat dirasakan sebagai tindakan yang betul.” Saya cuba menerangkan sebaik mungkin.

Dia kemudian meminta diri daripada saya. Entah dapat menerima kata-kata saya sebentar tadi ataupun tidak.

Saya bukanlah melarang perbincangan agama melalui sms dan chatting di YM. Perkara yang elok mengapa perlu dihalang. Tetapi perlulah dikawal. Seeloknya bertanya dahulu dengan ustaz atau ustazah, sekiranya tidak berkemampuan bertanyalah kepada rakan yang sejantina terlebih dahulu. Jika tidak dapat juga, barulah bertanya kepada yang berlainan jantina.

Bukanlah salah kalau ia satu keperluan tapi takut-takut kita sengaja cuba mencari ’alasan’ dengan mengadakan perbincangan agama supaya dapat berhubung dengan si dia.

Hijab dan Wanita Dakwah

Hijab ertinya tirai atau dinding. Memisahkan antara sesuatu dengan sesuatu. Dalam maksud yang lain juga bermakna perselindungan wanita dalam Islam daripada lelaki yang bukan muhrimnya.

Islam membentuk satu peraturan hijab, melatih manusia untuk mendisiplinkan kecenderungan diri mereka terhadap jenis yang berlawan dengan mereka. Agar kecenderungan ini disalurkan melalui jalan-jalan yang halal.

pahrol juoi“Hijab bukan hanya terbatas kepada perintah untuk wanita menutup kepala dan muka mereka sahaja. Tetapi ia juga adalah panduan bagi lelaki dan perempuan dalam kehidupan bermasyarakat.

Tidak guna rasanya jika seseorang perempuan itu memakai tudung labuh dan purdah tetapi masih juga melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Apabila ada persoalan yang tidak dapat terjawab terus mencari ’lelaki yang disukainya’ untuk bertanyakan soalan.”

Jika seseorang itu merasakan dia sudah memiliki nilai-nilai akhlak yang baik tetapi meninggalkan aspek hijab dalam pakaiannya, maka ini adalah satu kekeliruan yang besar.

Contohnya seseorang itu telah banyak menunaikan solat fardu dan sunat, malah sudah banyak kali menunaikan haji. Bolehkah dia meninggalkan solat Subuh walau sekali? Tentu sekali tidak. Dalam Islam tidak ada konsep ’sekiranya sudah melaksanakan perkara yang wajib, boleh menggugurkan perkara wajib yang lain’.

Samalah halnya dengan jika seseorang sudah menutup aurat sepenuhnya tetapi masih juga melanggar batas-batas pergaulan.



* Azree Hanifiah merupakan salah seorang penulis jemputan iLuvislam.com dan kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) dalam bidang kejuruteraan. Artikel dipetik daripada blog beliau; www.studiomuslim.com
Anda Sedang Bercouple Ya..?
Anda Sedang Bercouple Ya..?
www.iLuvislam.com
Diforwardkan oleh: afdhal87


Kami tidak berzina !
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya barbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah itu menghampiri zina?
Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.
Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta* menjurus kepada penzinaan. Ada yang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tidak pernah bersua muka pun!
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina ke?
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)* Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study Group.(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau yea pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni... betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .

Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta?
Adakah Islam membunuh terus naluri cinta? Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

Islam takde ke couple-cople ni?
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia. Kalau begitu, cinta* remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat tidak sampai berzina. Kami tahan diuji. Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang. Jadi manusia itu tidak tahan diuji? Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim. (al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.


Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah.
Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin. Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti. Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta....
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.(Surah An-Nur: 3)

Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan? Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Kami telah berjanji sehidup semati.....
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya! Masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35 )

Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya.Taubat yang memenuhi tiga syarat: i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab kabul.

Moga Allah terima taubat mu. Kita berpisah kerana Allah , kalau ada jodoh , tidak ke mana! Ya, Allah! Bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka " smiley-cry

Tips/Panduan Atasi Zina Hati
Tips/Panduan Atasi Zina Hati
www.iLuvislam.com
dihantar oleh : aisya humaira
editor : kasihsayang

Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.

Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)


  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.

  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.

  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”

  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.

Sumber : http://bicarakalbu.blogspot.com

Produk Terlaris Syarikat Gejala Sosial Berhad
Produk Terlaris Syarikat Gejala Sosial Berhad
www.iLuvislam.com
MarBu
editor : kasihsayang



Setelah lama bertangguh untuk menulis berkenaan satu produk yang popular daripada Syarikat Gejala Sosial Berhad (SGSB). Dek kerana berasa rendah diri dan bimbang dugaan yang lebih mencabar akan menduga iman senipis kulit bawang ini apabila mengulas tentang produk terlaku ini, saya akhirnya membuat keputusan untuk menarikan jari di atas papan kekunci laptop kesayangan, Syed Qutb. Saya memberanikan diri membuat artikel ini berikutan sahabat saya yang mengadu berasa kurang selesa dengan promoter dan jurujual daripada syarikat ini yang galak mempromosikan produk penuh berduri mereka. Produk yang saya maksudkan ialah budaya couple yang menjadi makin serius pada hari ini.

Penyakit ini bukan hanya mengenai remaja yang berpeleseran sana-sini dan tidak terdedah kepada tarbiyyah, malah berjangkit kepada mereka yang berada dalam gerakan dakwah dan merupakan aktivis dalam persatuan-persatuan Islam. Entah mengapa, virus ini cukup bersungguh menyerang para pendakwah terutamanya yang masih bergelar remaja. Promoter dan jurujual daripada SGSB ini amat menitik beratkan penampilan dalam menemui pelbagai jenis sasaran pengguna. Apabila berhadapan dengan golongan yang mengikuti tarbiyyah dan menyampaikan tarbiyyah, produk mereka dihiasi dengan riben-riben Islam. Ada beberapa panduan tambahan yang dikenakan seperti menyulami sms yang lebih islamik. Begitu juga sewaktu menggunakan alat-alat canggih yang wujud pada zaman hadhari ini. Bagi mereka yang tertipu, mereka menerima dengan mudah. Namun bagi mereka yang lebih berhati-hati, mereka akan meneliti dan kekadang datang juga perasaan ingin mencuba, akan tetapi cepat-cepat dibuang perasaan tersebut.

Sebenarnya, sudah terlalu banyak mereka yang cakna tentang hal ini, mengulas dan memberi nasihat supaya menjauhi budaya songsang ini. Seperti Ustaz Maszlee Malik dengan artikel popularnya, “Cinta ana enti”, begitu juga daripada pelbagai lapisan. Ada yang menampilkan pendapat dan bahasa yang keras dan tidak kurang juga yang menulis dengan lembut dan bersahaja namun masih bertegas dalam menangani masalah ini. Bahaya gejala ini akan lebih kelihatan jika disertai oleh para du’at dan aktivis jemaah di pelbagai peringkat sama ada sekolah, kampus mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan Islam. Masakan tidak, keharamannya langsung tidak diperasan jika tidak diteliti dengan sebaiknya kerana mereka tidak berpegang tangan,berdating malah tidak bercakap melalui telefon. Hanya dengan menggunakan hujung jari untuk menekan butang-butang di telefon bimbit, laptop dan alat-alat canggih yang lain. Nilai islamik yang dimasukkan juga sudah cukup untuk menipu seseorang itu.

Kekadang, kita tidak dapat mengesan keharamannya melalui mata kasar kita kerana terlindung di sebalik kemuliaan Islam. Namun, pada hakikatnya jiwa manusia yang beriman tetap tidak akan tenang dan menjadi gelisah apabila melakukan kesalahan kepada Allah. Oleh sebab itu, nabi saw ada berpesan supaya bertanya kepada hati sendiri sebelum melakukan sesuatu. Apakah yang dimaksudkan supaya bertanya kepada hati sendiri? Maksudnya ialah kita berfikir sejenak, sekurang-kurangnya bertanya, “apakah betul apa yang aku lakukan ini?” Nescaya kita akan mendapati hati kita akan memberi keputusannya. Jika apa yang dilakukan itu bercanggah dengan keputusan Allah SWT, maka hati kita akan menjadi gelisah dan serba salah.

Akan tetapi, kebanyakan manusia menipu dirinya sendiri apabila dia cuba memujuk hatinya bahawa apa yang dilakukan itu menurut syariat dan tak dilarang Sang Pencipta. Akibatnya, hati terseksa dan ‘pasrah dalam terpaksa’. Begitulah yang dialami oleh mereka yang bergelumang dalam maksiat yang payah untuk disedari ini. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah terdedah dengan tarbiyyah dan sebati dengan kenyataan bahawa budaya couple merupakan satu fitnah yang amat mencabar. Hati mereka langsung tidak merestui tindak-tanduk yang berlawanan dengan syariat itu.

Pada suatu petang, kira-kira pukul 3 petang, tiga orang rakan saya menziarahi bilik saya di asrama dan mengajak berbincang persoalan couple. Soalan-soalan yang ditimbulkan agak advance dan seakan-akan merestui bahawa tidak menjadi untuk kita bercinta, asalkan mengikut syariat. Tetapi, Alhamdulillah saya mampu menjawab setiap persoalan dengan baik. Segala puji bagi Allah. Peristiwa itu menyebabkan timbul persoalan baru di benak fikiran saya, “adakah aku seperti yang aku bagi tazkirah sebentar tadi?” Bimbang, kelekaan diri selama ini menyebabkan saya mengambil ringan akan budaya songsang tersebut. Tiba-tiba sahaja sepotong ayat al Quran datang menziarahi jiwa ini, membelai dengan satu arahan dari langit, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (al Baqarah: 44)

“Ya Allah, selamatkanlah diriku dari fitnah yang mencabar ini…”


http://zonremajaislam.blogspot.com


kaos-hellokitty09
Jodoh Itu Ketentuan Tuhan
Jodoh Itu Ketentuan Tuhan
www.iLuvislam.com
dihantar oleh: bintang_hati
Editor: everjihad


Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.


Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kea lam berumahtangga. Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada.Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada. Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.

Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.


Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?