-->

Friday, October 19, 2007

Menutup aurat bukan diskriminasi wanita (petikan dari berita harian)
Oleh Lokman Ismail






SATU sifat semula jadi manusia ialah perasaan malu jika bahagian tertentu badan dilihat oleh individu lain tanpa ditutupi. Justeru, manusia akan

cuba

menutup bahagian sulit biarpun menggunakan bahan paling asas seperti kulit binatang, daun dan sebagainya.



Dalam kaedah fikah, bahagian mesti ditutup dipanggil aurat. Namun, dalam hal ini ada perbezaan interpretasi batasan aurat mengikut agama dan budaya. Dalam agama lain, aurat dikaitkan dengan moral dan adat semata-mata. Tidak ada balasan dosa atau pahala berkaitan aurat dalam agama lain.

Interpretasi aurat dalam Islam amat ketat terutama bagi perempuan. Bagi golongan perempuan, aurat adalah seluruh anggota badan, kecuali bahagian muka dan kedua tapak tangan. Ia bertujuan untuk menjaga maruah perempuan.

Aurat bagi lelaki pula ialah antara bawah pusat dan lutut. Dalam keadaan tertentu, adalah wajib bagi lelaki menutup aurat lebih daripada apa yang ditetapkan itu jika ia mendatangkan fitnah. Perkara tidak baik mesti dijauhi.

Masyarakat bukan Islam hanya menganggap bahagian kemaluan sebagai aurat yang perlu ditutup. Bagi perempuan, satu lagi bahagian badan yang dianggap aurat ialah payu dara. Orang bukan Islam seperti megah berpakaian seksi yang dianggap satu anugerah yang mesti ditunjukkan kepada orang ramai.

Peraturan ketat terhadap wanita berkaitan pakaian bukan bertujuan menyusahkan atau menyekat kebebasan golongan wanita. Islam agama memberi kemudahan kepada umatnya. Jadi, jika ada sesuatu yang dirasakan menyusahkan, itu ada kebaikannya.

Sebenarnya, menutup aurat bukan sesuatu yang menyusahkan. Arahan itu cukup mudah untuk dipatuhi jika ada keimanan yang kuat dalam diri. Sebaliknya, jika iman dalam keadaan lemah, apapun perintah agama akan dirasakan membebankan. Sesungguhnya, syaitan sentiasa memperdayakan manusia berat untuk melaksanakan perintah Allah.

Islam tidak mengamalkan diskriminasi terhadap wanita, melainkan keperluan tabii yang membezakan antara kedua jantina ini. Islam amat menghormati dan meletakkan kedudukan tinggi untuk wanita.

Fesyen mendedah aurat tidak mematuhi etika berpakaian kerana tidak ‘lengkap’. Mendedahkan aurat samalah tidak berpakaian. Aurat adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan kepada pandangan umum. Jika sudah terdedah

sana

sini, itu kira macam tidak berpakaian atau berpakaian tidak lengkap.

Kejadian menimpa wanita seperti dirogol, dicabul kehormatan, gangguan seksual, dibunuh dengan kejam dan mangsa fitnah banyak berpunca cara berpakaian tidak menutup aurat. Lelaki mudah tertarik kepada wanita berpakaian seksi.

Sebagai Muslim, tidak sepatutnya kita membantah atau mencari helah membenarkan apa yang salah. Apa yang kita fikirkan betul tidak semuanya mendatangkan kebaikan. Allah lebih mengetahui apa yang ditetapkan untuk manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36).

Konsep menutup aurat dikehendaki Islam bukan sekadar menutupnya. Sebenarnya, menutup aurat mempunyai maksud lebih khusus. Memakai pakaian sendat dan penggunaan kain tertentu juga termasuk perbuatan tidak menutup aurat.

Pemilihan pakaian yang longgar dan labuh satu suruhan wajib bagi setiap wanita Islam agar menepati maksud menutup aurat. Jika mereka memilih menutup aurat, biarlah benar-benar seperti ditetapkan syarak.

Memakai pakaian sendat atau ketat sehingga kelihatan seperti melekat di badan pemakainya akan menampakkan semua tempat bentuk tubuh badan. Keadaan itu sama seperti pemakainya tidak berpakaian.

Sekarang ini banyak anak gadis yang memakai ‘baju adik’. Baju itu betul-betul sendat dan labuh sekadar bawah sedikit bahagian pusat. Jika pemakainya tunduk atau mengangkat tangan, pasti nampak bahagian pusat dan pangkal punggung.

Sikap ibu bapa yang tidak ambil peduli soal jenis pakaian anak gadis amat mendukacitakan. Ibu bapa merasakan anak mereka telah menutup aurat dan berpakaian sopan. Mereka jahil tidak memahami aturan berpakaian yang ditetapkan agama.

Sekarang ini sudah menjadi trend, gadis memakai baju adik biasanya bertudung. Mereka berlagak baik dan mematuhi suruhan agama agar bertudung, yakni menutup rambut yang juga dikira aurat perempuan. Hakikatnya, mereka masih tidak menutup aurat sepenuhnya kerana memakai pakaian sendat.

Jika mereka telah memilih untuk bertudung, cubalah pula mematuhi peraturan lain dalam soal berpakaian. Selain itu, mereka perlu sedar tanggungjawab untuk menjadi Muslimah sejati. Pakaian tidak menentukan segala-galanya. Sikap dan tingkah laku mesti dijaga agar tidak melakukan perbuatan yang ditegah agama.

Pemilihan pakaian yang longgar dan labuh satu suruhan wajib bagi setiap wanita Islam agar menepati maksud menutup aurat. Jika mereka memilih menutup aurat, biarlah benar-benar seperti yang ditetapkan syarak.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?