KUALA LUMPUR: Ramai anak pemimpin dan bekas pemimpin, baik kalangan Barisan Nasional (BN) mahu pun pembangkang menjadi calon pada pilihan raya umum bulan depan, mencerminkan masyarakat Malaysia tahu mengenang jasa.
Beberapa pemerhati politik berpandangan langkah parti politik meletakkan anak pemimpin atau bekas pemimpin mereka untuk bertanding bukan menghairankan kerana ia lahir daripada budaya masyarakat Timur yang berasaskan sistem bangsawan atau feudal.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain ketika dihubungi berkata, budaya ini adalah suatu yang istimewa kerana menerusinya pertalian antara seseorang pemimpin dan rakyat tidak akan terputus.
"Mungkin bagi golongan muda yang berfikiran moden dan liberal seperti saudari (penulis), pemilihan calon pilihan raya umum kali ini seolah-oleh bersifat nepostime, tetapi jika dilihat perkembangan ini dari sudut yang luas, ia sebenarnya mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak mahu menyisihkan pemimpin yang telah bersara.
"Apatah lagi rata-rata calon yang dipilih itu adalah anak-anak pemimpin yang besar jasanya seperti (bekas Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan (bekas Presiden MCA) Tun Dr. Ling Liong Sik," katanya.
Beliau berkata, secara tidak langsung, anak dapat menyambung usaha-usaha yang telah dilakukan oleh bapa atau ibu yang pernah memimpin masyarakat di kawasan yang berkenaan.
"Saya juga berpandangan anak yang dicalonkan ini tidak akan mempunyai masalah dari segi sokongan kerana masyarakat sudah melihat cara kerja ayah atau ibu mereka dulu dan kita adalah masyarakat yang berpegang kepada peribahasa "bapa borek anak rintik," katanya.
Beliau memberi contoh kepimpinan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga anak bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Razak Hussin dan anak bekas Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn yang meninggalkan legasi kepimpinan pada diri anaknya, Datuk Seri Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran dan Ketua Pemuda UMNO.
"Parti pembangkang pun sama juga, macam Pas dan DAP, mereka pun ada unsur-unsur legasi ini yang saya rasa baik dari segi untuk menstabilkan parti," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Agus Yusoff berpandangan sekiranya pencalonan itu dibuat berasaskan anak itu sebagai yang terbaik daripada yang terbaik, maka ia adalah pemilihan yang tepat.
"Kalau mereka ini dipilih berasaskan kehendak akar umbi, apa salahnya jika semua setuju si polan jadi calon, ambil tempat bapa ke, bapa mertua ke, tempat abang ke, saya tak nampak masalahnya.
"Lagipun kita tak boleh nak nafikan hak mereka (anak) ini daripada menyertai politik semata- mata kerana bapa mereka dulu pemimpin. Mereka berhak bertanding sebagai individu yang ada karektor sendiri," katanya.
Bagaimanapun, katanya, rakyat juga harus melihat kepada pemilihan itu sama ada ia mempunyai unsur-unsur "dinasti politik".
"Kita tidak mahu wujud dinasti politik ini, iaitu kepimpinan dengan sengaja diturunkan daripada bapa kepada si anak. Ia budaya yang tidak sihat untuk perkembangan politik di sesebuah negara yang membangun seperti kita ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kewujudan dinasti dalam parti bukan saja mengekang perkembangan politik, malah membantutkan kelahiran pemimpin yang benar-benar berkaliber untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata, isu si anak atau menantu menumpang nama bapa atau bapa mertua juga tidak timbul kerana setiap calon muda perlu membuktikan keupayaan mereka apabila terpilih.
Apa pun pandangan, yang jelas pilihan raya umum pada 8 Mac ini unik kerana menampilkan paling ramai anak pemimpin dan bekas pemimpin politik bertanding.
Nama yang disahkan bertanding bagi BN termasuklah anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz yang akan bertanding di Jerlun, Kedah; anak bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, Datuk Ling Hee Leong (Gopeng); dan anak bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Lim Si Pin yang akan bertanding di Parlimen Batu.
Anak pemimpin parti pembangkang pula termasuk anak penasihat DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng di Parlimen Bagan manakala anak Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar dijangka bertanding kawasan Lembah Pantai. Anak lelaki kedua Karpal Singh yang juga pengerusi DAP, Gobind Deo Singh dijangka bertanding kerusi Parlimen Puchong.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment
komen anda sangat dialu-aluan