-->

Tuesday, February 26, 2008

Jangan izin pengundi hantu hampiri tempat undi
Jangan izin pengundi hantu hampiri tempat undi
Abdul Halim Mohd Rashid
Sun Feb 24, 08 4:04:47 am MYT



Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi memberi amaran serta peringatan tegas kepada para pengundi hantu (pengundi luar) agar tidak datang sebagai pengundi di Terengganu.



"Kita minta polis jangan beri perlindungan kepada pengundi hantu yang dibawa masuk ke Terengganu.

"Kita juga akan ekori dengan cermat supaya tidak ada yang mengundi dua kali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kali ini," tegasnya.

Adakah amaran Presiden PAS itu mempunyai kaitan dengan ketenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh ketika ahli-ahli partinya sendiri menunjuk perasaan memberontak keputusannya mengetepikan calon-calon pujaan mereka?

Ketika Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar membayangkan bahawa rasa tidak puas hati tetap berterusan, Idris tetap berkeyakinan dengan apa yang beliau dakwa sebagai "Dynamic Winning Team".

Tidak puas hati

"Apa sahaja boleh kita kata tetapi hakikatnya tindakan menggugurkan calon yang berpotensi sudah menular di peringkat akar umbi dan mereka mula menunjukkan rasa tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat," Ketua Umno Bahagian Marang yang tidak dicalonkan semula itu dipetik sebagai berkata oleh sebuah akhbar ketika ditanya mengenai kenyataan serba yakin Idris yang mendakwa rasa tidak puas hati yang berlaku sekarang hanya bersifat sementara.

Menurut Abdul Rahman, bukan beliau sahaja yang kecewa, sebaliknya perasaan itu turut sama dirasai oleh sebahagian besar rakyat Terengganu.

Beliau berkata, rakyat terutama ahli Umno di peringkat akar umbi begitu kecewa dengan tindakan menggugurkan begitu ramai calon yang berpotensi.

''Walaupun tindakan menggugurkan saya dan beberapa rakan lain dianggap sebagai suatu perkara remeh dan sementara tetapi kita bimbang perasaan ini akan terus terpendam dan menyebabkan mood atau moral ahli Umno akan merosot lebih-lebih lagi pada saat penting dan kritikal ini," ujarnya.

Mengenai hasil pertemuan ketua-ketua Umno bahagian dengan Idris, Abdul Rahman berkata, hampir kesemua mereka menyuarakan rasa tidak puas hati namun tiada penjelasan kukuh yang diberikan.

Menurutnya, perasaan tidak puas hati itu timbul berikutan ketua-ketua bahagian tidak dilibatkan sama dalam proses pemilihan calon.

''Malah tiada seorang pun Ketua Bahagian bersetuju dengan calon yang ada kerana mereka berasakan barisan calon yang ada harus munasabah dan bersesuaian," katanya.

Namun Idris tetap yakin akan menang. Malah, nampak lebih yakin apabila berkata: "Biasalah pada mula-mula sahaja, bila dah lama ia akan kendurlah". Undi pos

Mengapa Idris begitu yakin? Sebab itu dibangkitkan sebelum ini, apa kaitan amaran Presiden PAS mengenai pengundi luar atau disebut pengundi hantu oleh sesetengah orang itu dengan keyakinan Idris itu?

Dalam berita bertajuk "Who gains most from longer campaign period?", Malaysiakini melaporkan, tempoh kempen yang lebih lama akan memberikan masa yang lebih lama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengedar dan memungut undi-undi pos, yang mana banyak yang tidak dikembalikan dalam pilihan raya 2004.

Dilaporkan bahawa sehingga 67,000 undi pos bagi pemilihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan tidak dikembalikan dalampilihan raya 2004 itu.

Jika telahan itu benar, adakah Idris tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu?

Itu mengenai undi pos. Memanglah, nampak tidak signifikan perkara itu. Tetapi, bukankah undi pos sangat penting bagi kawasan-kawasan yang begitu marginal perbezaan undi di antara calon-calon yang bertanding?

Lebih dari itu, siapa kata undi pos tidak membantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai kemenangan selesa di Pekan dalam pilihan raya 2004 lalu? Sedangkan, dalam tahun 1999, Najib hanya menang 241 undi sahaja. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mungkin lebih tahu mengenai majoriti 241 undi itu. Operasi khas

Lebih dari itu, walaupun telah baca beratus kali sekalipun, tolong baca lagi analisa Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) di Terengganu dalam pilihan raya 2004 lalu.

Menurut beliau, pilihanraya umum 2004 menyaksikan undi yang dipungut oleh calon-calon Barisan Aternatif (BA) di seluruh Terengganu hanya merosot sebanyak 9,103 undi.

Dalam tahun 1999, katanya, BA menerima 180,239 undi manakala dalam tahun 2004 pula 171,136 undi.

Perbezaannya hanya 9,103 undi sahaja. Jumlah kemorosotan ‘undi rakyat’ itu sangat kecil dan tidak memungkinkan Umno dan BN memerintah Terengganu.

"Bagaimana Umno boleh menang?" soal beliau.

Beliau mendedahkan, selepas pilihanraya 1999, ada ‘pihak tertentu’ telah membawa masuk orang bukan Terengganu untuk mendaftar sebagai pengundi di Terengganu. Terengganu menyaksikan kenaikan peratus pengundi yang luar biasa dalam tempoh tiga tahun berkenaan, iaitu sebanyak 17.7 peratus "dan ini jauh melebihi purata kebangsaan".

Pengundi baru, kata beliau, bertambah sebanyak 68,585 orang. Undi BA merosot sebanyak 9,103 undi tetapi undi BN meningkat sebanyak 93,249 undi berbanding 1999, katanya lagi.

"Jika kita tolak 9,103 undi yang dulunya mengundi BA dan sekarang mengundi BN (93,249 tolak 9,103 = 84,146). Undi BN tidak termasuk pertambahan ‘undi rakyat’ sebanyak 9,103 undi tadi telah meningkat sebanyak 84,146 undi!

"Angka ini melebihi angka pertambahan pengundi baru seramai 68,585 orang! Misteri ini tidak dapat dijawab walaupun mengambil kira pertambahan secara mendadak peratus keluar mengundi iaitu sebanyak 25.1 peratus berbanding pilihanraya sebelumnya. Jika semua peratus keluar mengundi yang bertambah dilonggokkan untuk BN, iaitu seramai 11,279 undi, masih belum dapat menjawab bagaimana Umno/BN mendapat pertambahan sebanyak 84,146 undi berkenaan," Exco Kerajaan Kelantan itu mendedahkan.

Dan, sehingga kini masih belum terjawab soalan Husam: "Bukankah ini semua meninggalkan misteri yang perlu dijawab oleh SPR?"

"Apatah lagi, jika kita menyemak semula senarai pengundi di Terengganu berasaskan kod kad pengenalan, kita dapati seramai 70,602 orang pengundi adalah bukan dilahirkan di Terengganu tetapi mendaftar di Terengganu.

"Adakah ini bermakna Umno/BN menang di Terengganu dengan satu ‘operasi khas’ dan bukan dengan suara rakyat?" tanya Husam. Cara-cara haram

Jangan lupa, bekas Perdana Menteri TunDr Mahathir Mohamad berkata, pilihanraya umum kali ini "boleh jadi" yang paling kotor dan menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan "cara-cara haram" untuk mempengaruhi pengundi.

Apabila diminta membuktikan dakwaannya tentang kemungkinan berlakunya pembelian undi, Dr Mahathir menjawab, kebimbangannya itu berdasarkan pengalamannya dalam pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu pada 2006 serta sewaktu pilihanraya kecil tahun lalu.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangka amalam ini akan berterusan sewaktu pilihanraya umum," katanya.

Jika para pengundi di Terenganu telah faham apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dan apa yang cuba dinyatakan oleh Husam, bantulah negeri anda untuk mendapatkan kerajaan sendiri - bukan pemerintahan Khairy Jamaluddin dan Datuk Patrick Lim Soo Kit atau Patrick Badawi seperti yang didedahkan oleh Dr Mahathir.

Jangan izinkan pengundi hantu menghampiri tempat mengundi! Cetak

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?