-->

Tuesday, January 13, 2009

Sidang Parlimen Khas Bukti Keprihatinan Rakyat
TOLAK tepi perbezaan fahaman politik. Itu gambaran keseluruhan sidang khas Dewan Rakyat yang berlangsung semalam.Nada ahli-ahli Parlimen amat sederhana biar pun kadang-kadang sarat dengan simpati serta emosi lantaran tidak sanggup lagi melihat penderitaan penduduk di wilayah Gaza yang menjadi mangsa kegilaan rejim Zionis. Sidang khas yang bermula pukul 2.30 petang itu dihujani pelbagai buah fikiran mengenai bagaimana penderitaan penduduk Gaza sekurang-kurangnya dapat diringankan. Ahli-ahli Parlimen tidak jemu atau mungkin memanfaatkan elaun yang diterima hari ini sepenuhnya sehingga pukul 8.00 malam masih ramai yang bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan.

Seperti juga umat manusia lain di dunia yang tidak henti-henti mengutuk serangan Israel ke atas Palestin menerusi siri demonstrasi berterusan sejak lebih dua minggu lalu, rakyat Malaysia tidak pernah ketinggalan meluahkan kebencian terhadap keangkuhan Perdana Menteri negara Yahudi itu, Ehud Olmert serta sekutunya Presiden George W. Bush yang tinggal beberapa hari lagi untuk menunjukkan kuasanya.

Menariknya sidang yang berlangsung dalam suasana harmoni itu turut dihadiri lebih 30 diplomat asing, semestinya Duta Palestin ke Malaysia, Abd. ElAziz Abu Ghoush menjadi tumpuan utama kerana isu yang dibincangkan oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia berkait rapat dengan negaranya yang tidak putus-putus berhadapan dengan ancaman Israel sejak tahun 1948 lagi.

Apatah lagi Malaysia menjadi negara pertama menganjurkan sidang khas Dewan Rakyat selepas berusaha menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas yang resolusinya tercemar gara-gara keangkuhan Israel enggan mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh 14 negara dengan AS mengambil sikap berkecuali.

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memanggil sidang khas tanpa perlu didesak oleh mana-mana pihak itu sememangnya menunjukkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap isu Palestin yang bukannya sedikit.

Negara-negara Asia Barat sendiri tidak mengambil langkah sedemikian rupa jauh sekali rakan-rakan di Barat yang barisan pemimpinnya seperti merestui pelakuan Israel membunuh warga Palestin dan memusnahkan negara tersebut yang saiznya semakin mengecil gara-gara keghairahan 'penjajah' baru ingin meluaskan wilayahnya.

Sebab itu kalangan ahli-ahli Parlimen sama ada mewakili Barisan Nasional (BN) dan gabungan pembangkang tidak teragak-agak untuk berterima kasih kepada kerajaan kerana mengusahakan pertemuan yang disifatkan amat kena pada masanya selain restu yang diberikan kepada rakyat untuk berdemonstrasi secara aman bagi menunjukkan bantahan terhadap keganasan Israel.

Semangat yang ditunjukkan oleh kesemua ahli Parlimen yang hadir pada sidang khas ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Pelbagai cadangan dikemukakan biar pun ada di antaranya telah pun diketengahkan sebelum ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk melihat hak rakyat Palestin yang telah 'diratah' oleh rejim Zionis dikembalikan kepada pemiliknya.

Hakikatnya, kekecewaan melihat segala saranan dan cadangan untuk melihat kanak-kanak di Palestin berlari-lari tanpa ada ketakutan manakala warganya bebas menjalankan urusan harian mendorong ahli-ahli Parlimen menyimpan rapi perbezaan pendapat serta lontaran kata-kata yang menyanggahi Peraturan Mesyuarat bagi mengelak matlamat murni kerajaan tercalar.

Kesemuanya itu membuktikan bahawa apabila menyentuh isu-isu kemanusiaan, penyokong kerajaan dan pakatan pembangkang tidak pernah malu atau keberatan untuk duduk semeja dan bersama-sama melampias minda mengemukakan cadangan yang semestinya diberi perhatian oleh Duta Palestin ke Malaysia.

Tidak mustahil ada perkara yang boleh dipelajari oleh barisan diplomat asing dari sebuah negara kecil bernama Malaysia yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum tetapi mampu bersatu apabila timbul keperluan seperti sekarang ini.

Biar pun ada kalangan ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan secara lembut apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia untuk mengubah nasib rakyat Palestin lantaran bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sendiri gagal menjadi orang tengah konflik Israel-Palestin, namun itu tidak bermakna segala usaha Malaysia mesti diletakkan tanda noktah.

Sebaliknya barisan pemimpin negara mesti meneruskan usaha membela nasib rakyat Palestin dan membuktikan keprihatinan ini timbul bukan kerana tindakan terbaru tentera Israel menggempur dan meranapkan Palestin tetapi lebih daripada itu.

Jika ahli-ahli Parlimen mengusulkan supaya gaji mereka dipotong untuk disumbangkan kepada tabung Palestin sebagai simbolik simpati terhadap penduduk di negara itu, maka laksanakanlah langkah seperti itu.

Jika mereka melaung-laungkan supaya tindakan memboikot produk keluaran Israel dan AS dilakukan, maka tunjukkanlah komitmen untuk berbuat demikian.

Hakikatnya, mesti ada tindakan-tindakan lain yang lebih besar selain penganjuran sidang khas Dewan Rakyat untuk menzahirkan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kekejaman rakyat Palestin yang tidak boleh dibiarkan secara berterusan.

Langkah sekecil itu boleh saja menjadi bukti bahawa segenap rakyat Malaysia daripada rakyat marhaen hinggalah ke pemimpin tertinggi sememangnya mahu darah rakyat Palestin berhenti mengalir kerana ditembusi peluru tentera rejim Zionis.


Sumber: Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?