-->

Thursday, February 5, 2009

Bukan Mudah Menjaga Saudara Baru
KISAH yang dipaparkan di bawah ini mungkin lain daripada apa yang pernah anda baca. Bukan kisah rumah tangga, masalah anak-anak dengan ibu bapanya ataupun kisah andartu mahupun duda dan ibu tunggal yang kesunyian. Apa lagi kisah suami yang sedang diamuk cinta yang ganas. Bukan juga kisah penderitaan isteri yang sakit jiwa dengan perangai suami mereka yang kaki pukul.

Sebaliknya menceritakan pengalaman Kamaruddin yang telah sekian lama terpisah dengan temannya Saudara Baru. Kamaruddin juga menceritakan pengalaman pahitnya untuk menikahkan Saudara Baru itu mengikut undang-undang dan syarat negara ini.

Dalam e-mel yang dikirimkan Kamaruddin mengharapkan kisah yang diceritakan ini dapat menjadi iktibar di samping membuat kita berfikir adakah kita sendiri telah menyusahkan kehidupan Saudara Baru dengan kerenah birokerasi ataupun kita merasa malas untuk mengambil berat masalah yang dihadapi oleh Saudara Baru ini.

``Apa yang saya ceritakan dibawah ini adalah pengalaman saya yang membantu seorang saudara baru, segala-galanya bermula dengan minat dan inisiataf saya sendiri ingin menabur bakti kepada saudara seagama, bukan sekadar mencari pahala, tetapi membuat kebajikan kepada masyakat yang ingin mendekati Islam yang dicintai ini.



``Kebiasaannya setiap hujung minggu saya dan rakan-rakan akan melakukan ziarah kepada saudara seagama untuk bercerita tentang Islam dan kebaikannya baik untuk diri sendiri dan masyarakat supaya kita memperbetulkan diri bukan untuk mengajar, tetapi untuk kita sama ingat mengingatkan demi kebaikan bersama.

``Kerana kita sedia maklum untuk bercerita tentang dunia semua orang amat arif tetapi untuk bercerita tentang benda-benda ghaib kita kena sentiasa bercerita supaya peringatan sentiasa ada dalam diri kita.

``Pada suatu petang saya dan beberapa orang rakan kumpulan menziarahi sebuah rumah tak perlulah saya ceritakan di mana dan kami memberi salam. Tuan rumah keluar. Apa yang kami agak terkejut rupa paras tuan rumah seiras seorang Cina. Ketika itu kami fikir kami tersalah rumah. Bukan rumah orang Melayu.

``Dia menjawap salam dan menjemput kami masuk. Hilang rasa terkejut, kerana fikirkan dia masih orang Melayu berwajah seakan seorang Cina. Tetapi setelah perkenalkan diri jelaslah dia seorang saudara baru bernama Lokman.

``Kepada kami dia ceritakan dia telah memeluk Islam ketika menuntut di United Kingdom dua tahun sebelum pulang ke tanah air. Kerana begitu tertarik dengan ceritanya, saya kerap menziarahi Lokman dan sejak itu kami menjadi kawan rapat.



``Dalam masa yang sama saya mencuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab saya melaksanakan haknya sebagai Saudara Baru di negeri ini. Sebenarnya seperti kebanyakan Saudara Baru hasrat Lokman untuk memeluk agama Islam mendapat tentangan hebat dari kaum keluarganya sendiri terutama dari bapanya.

``Saya cuba fahami keadaan dan masalahnya disamping menasihatinya banyak bersabar. Kami sering berjumpa di masjid selepas solat maghrib dan isya bertanya khabar.

``Suatu hari saya terkejut apabila mendapati rumah Lokman kosong tiada penghuninya. Semua barang-barang dan perabut dalam rumah itu juga tidak ada. Bermacam-macam persoalan bermain di minda. Esok malamnya saya mendapat panggilan telefon dari Lokman. Dia memberitahu bapanya datang ke rumahnya dan menuntut dia pulang ke kampungnya di utara semenanjung dengan segera. Pada malam itu dia bergaduh besar dengan bapanya.

``Lokman datang dari keluarga yang berada. Bapanya memberi dia kata putus supaya dia meninggalkan Malaysia selama 3 tahun dan menetap di Singapura. Dan satu lagi syaratnya sekiranya dalam masa tersebut Lokman masih nekad sebagai seorang Islam, maka bapanya tak akan mengganggu lagi.

``Daripada apa yang dicerita, saya dapat tafsirkan bahawa bapanya telah tahu Lokman telah berada di dalam suasana masjid dan Islam. Dan tindakan bapanya menyuruh dia menetap di Singapura mungkin supaya ada perubahan hidup Lokman nanti.

``Bapa Lokman juga mengarahkannya supaya tinggal dan bekerja di Singapura. Buat sementara waktu sebelum dia mendapat kerja tetap yang sesuai maka segala perbelanjaan dan sara hidup semasa berada di perantauan di tanggung oleh bapanya.


``Cerita Lokman membuat saya menjadi risau sebab kebetulan kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadhan. Bagaimana puasa dan ibadatnya yang lain dan macam mana dia dapat melaksanakan semua itu. Selang beberapa hari Lokman menalipon saya dan memberitahu dia sudah menyewa bilik keluarga Cina dan dia masih mencari pekerjaan.

``Saya beritahu Lokman bahawa apa yang berlaku adalah ujian Allah. Kerana Allah amat sayangkan Lokman dan saya terus mensihatinya supaya jangan beranggapan untuk menjadi seorang yang beragama Islam terasa sangat susah.

``Untuk mengurangkan rasa resah di hati boleh dikatakan tiap-tiap malam dia menalipon saya. Dan pada setiap kali dia menalipon saya tiada perkataan lain dapat saya ucap kecuali banyak bersabar. Oleh kerana suasana dah berubah Lokman mengaku bahawa dia telah meninggalkan puasa selama beberapa hari.

``Saya pernah beritahu lokman kalau ingin mencari pilihan hidup carilah isteri sebangsa supaya ayahnya tidak menuduh Lokman menukar agama semata-mata kerana ingin bernikah dengan wanita Melayu. Moga-moga kebencian bapanya sedikit reda sekiranya dia mendapat menantu Cina, kerana masih banyak masyarakat Cina tidak dapat membezakan dua perkara yang amat berbeza iaitu antara Islam dan Melayu.



``Suatu hari saya berpeluang bekerja ke Johor Bharu. Saya ambil kesempatan menziarah Lokman di Singapura. Kebetulan saya pergi bersama arwah kawan saya. Tujuan saya sememangnya untuk melihat keadaan Lokman di negara itu.

``Bagi saya Lokman sudah seperti adik sendiri. Kami bertemu di sebuah masjid tabligh di Singapura supaya senang di perkenalkan kepada orang Islam tempatan untuk sentiasa berhubung dengan Lokman. Keadaan Lokman memang berubah, tubuhnya sedikit kurus dan wajahnya jelas dalam kerunsingan. Seperti biasa saya pohon supaya dia banyak bersabar. Saya tahu berat mata memandang berat lagi bahu Lokman memikul.

``Lokman kemudian beritahu dia ingin bernikah dengan wanita Cina yang belum lagi beragama Islam. Saya beritahunya syarat-syarat yang dia perlu patuhi. Keluarga Lokman gembira bila diberitahu dia ingin bernikah dengan wanita yang mereka kenali dari keluarga berada juga.

``Kebetulan mereka bertemu di Singapura dan wanita tersebut penduduk tetap Australia. Lokman membuat keputusan lepas nikah untuk berhijrah ke Australia. Boleh dikatakan setiap malam Lokman talipon mendapat pandangan tentang perkahwinannya nanti.

``Semakin hari saya menjadi semakin buntu dan menganggap masaalah yang Lokman hadapi seumpama masaalah saya sendiri. Sementara itu pada pandangan keluarganya Lokman sudah tidak serius lagi dengan Islam. Saya juga beritahu Lokman untuk menyukakan hati keluarganya walaupun dalam keadaan penuh terpaksa. Saya nasihatkan dia ikut sahaja adat perkahwinannya walau pun dibuat bukan mengikut lunas-lunas Islam. Cuma nasihat saya jangan bersatu dengan isterinya sebab dia belum halal.

``Pada masa yang sama saya berjumpa seorang imam di tempat tinggal saya di Petaling Jaya, dan saya ceritakan keadaan Lokman dan minta beliau kalau boleh uruskan soal pernikahan Lokman secara Islam.

``Malangnya permintaan saya tidak semudah yang di sangka sebab banyak birokerasi yang terpaksa Lokman tempuhi. Saya berasa teramat kecil hati sebab mengapa mesti menyusahkan satu perkahwinan yang dibuat dengan niat baik.

``Malam berikutnya Lokman menalipon tujuannya datang ke rumah saya agar pernikahan dilaksanakan di Malaysia. Malangnya dengan rasa sedih saya terpaksa beritahu Lokman agar terus bersabar dan menjelaskan bahawa dia perlu tukar identiti Islam agar apa yang terjadi kelak dari segi tuntutan anak dan mayat dapat di perjelaskan kemudiannya. Alhamdulillah Lokman faham dan sedar tanggungjawap barunya.

``Selang beberapa minggu Lokman pun berhijrah ke Auatralia bersama isterinya yang belum lagi sah. Jiwa saya masih tertekan. Kebetulan pada malam tersebut Lokman telah menalipon saya dari Australia beritahu keadaannya di sana dan bagaimana untuk mengatasi masaalah pernikahannya itu.

``Dengan izin Allah kebetulan aruah kawan saya telah pergi ke Australia berkursus. Saya beritahu aruah supaya mencari Lokman di sana sekiranya sempat dan carilah imam di masjid terdekat untuk bantu menyelesaikan masaalahnya.

``Sekembal inya aruah ke tanah air dia memberitahu dia tak sempat mencari Lokman tetapi mendapat alamat masjid terdekat. Apabila Lokman menalipon dari Australia saya beritahu Lokman supaya mencari masjid tersebut dan berjumpa dengan imam di sana dan ceritakan segala masaalah yang sedang dia hadapi.

``Alhamdulillah selang seminggu Lokman menjadi suami isteri yang sah dinikahkan di sebuah masjid di Australia. Lokman telah menalipon dan menyampaikan berita gembira itu kepada saya. Walaupun Lokman bukan adik-beradik saya, tetapi beritanya membuatkan saya berasa begitu gembira.

``Peristiwa ini berlaku 10 tahun lalu. Tetapi sekarang saya telah kehilangan Lokman. Saya tidak tahu di mana dia kini. Saya sudah beberapa kali pindah dan beberapa kali kad ucapan yang saya hantar kepada Lokman di Perth, Australia tidak mendapat balasan.

``Mungkin kini Lokman telah beranak pinak dan bahagia setelah puas mengharungi ujian. Sehingga kini saya masih teringatkan Lokman apakah dia masih Lokman yang saya kenal dahulu. Harapan dan doa saya semoga Lokman menjadi insan yang beriman dan beramal soleh. Sekiranya Lokman berpeluang membaca coretan saya ini di Perth hubungi Puan Maimunah untuk mendapat alamat dan e-mel saya.

Di sini saya juga ingin mengingatkan kawan-kawan semua bukan senang menjaga saudara baru sekiranya diri kita sendiri tiada persediaan rohani dan jasmani.’’ Demikian cerita Kamaruddin tentang pengalaman pahit manis bersama Saudara Baru. Pendek kata jangan mudah kita mengislam seseorang jika kita tidak menjaga kebajikannya.

1 comments:

♡ Eibu June's ♡ said...

Semoga kite sentiasa di bawah rahmat dan keredhaanNya

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?