-->

Wednesday, February 4, 2009

Malu penghalang terjebak perbuatan mungkar


Oleh Mohd Adid Ab Rahman

MALU adalah sifat terpuji kerana sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan disebabkan sifat malu menghalang seseorang melakukan kesalahan serta kemungkaran.


Malu juga akan meninggikan darjat keimanan seseorang seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan yang boleh dibuat apabila melihat kemungkaran seperti rasuah dan pergaulan bebas ialah mereka sudah hilang sifat malu kerana tergamak melakukan perbuatan dilarang Allah.

Hilang malu menjadikan seseorang melakukan maksiat sesuka hati seperti dijelaskan sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Jika engkau tidak rasa malu, perbuatlah apa saja yang engkau mahu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Bukhari)

Perasaan tidak takut dosa atau azab Allah hanya ada pada mereka yang kering rasa malu dalam jiwa untuk melakukan dosa, malah tidak menghiraukan pandangan orang lain.

Demi menjaga kesucian maruah, masyarakat dan agama, maka setiap individu Muslim perlu menghiasi jiwanya dengan malu serta menganggap sifat itu perkara yang sangat penting perlu ditekankan dalam pembinaan akhlak terpuji.

Mereka yang mempunyai rasa malu termasuk golongan orang beriman kerana malu sebahagian tanda iman seperti dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya malu dan keimanan saling berkait, jika salah satunya dikeluarkan yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis riwayat Baihaqi) Diriwayatkan ketika Rasulullah SAW melewati seorang Ansar yang sedang menasihati saudaranya mengenai rasa malu, maka Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Biarlah ia memiliki rasa malu kerana malu itu termasuk dalam keimanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya dengan wujudnya rasa malu, seseorang tidak tergamak melakukan hal yang ditegah Islam seperti dinyatakan pendakwah, Amru Khalid dari Mesir dalam tulisannya Akhlaq al-Mukmin:

“Jiwa (diri) tidak mampu untuk melakukan perbuatan jelek atau sesuatu yang tidak baik. Diri tidak kuat untuk melakukannya. Seorang pemalu tidak sanggup melihat dirinya terhina di hadapan Allah, di hadapan manusia atau di hadapan diri sendiri.”

Begitulah bernilainya sifat malu seperti mutiara yang mencantikkan akhlak dan sekali gus menjadi benteng diri, tidak mudah melakukan sebarang maksiat yang dimurkai Allah.

Jika kita renung kisah diceritakan al-Quran mengenai Nabi Yusuf, walaupun diajak Zulaikha melakukan perkara terlarang sambil menutup pintu bilik, Baginda tidak tergoda (ketika itu peluang mereka melakukannya terbuka luas) kerana dihalang rasa malu bersumber daripada telaga keimanan sehingga kehormatan dan kemuliaan sebagai insan berpangkat nabi tidak sedikit tercemar.

Kisah itu terpelihara dalam kitab suci bermaksud:

“Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu, seraya berkata: Marilah ke sini. Yusuf berkata: Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku sudah memperlakukan aku dengan baik. Sesungguhnya orang yang zalim tiada akan beruntung.” (Surah Yusuf, ayat 23)

Rasulullah SAW menghuraikan dengan jelas mengenai malu kepada Allah melalui sabda Baginda yang bermaksud:

“Milikilah rasa malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kami (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Alhamdulillah kami sudah memiliki rasa malu. Rasulullah bersabda: Bukan sekadar itu, tetapi barang siapa yang malu kepada dengan sesungguhnya, hendaknya menjaga kepalanya dan apa yang ada di dalamnya (mata, telinga, lidah, mulut dan muka), hendaklah ia menjaga perut dan apa yang didalamnya, hendaknya ia mengingat mati dan hari kehancuran. Siapa menginginkan akhirat ia akan meninggalkan hiasan dunia. Siapa yang mengerjakan itu semua bererti sudah malu kepada Allah dengan sesungguhnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sebagai insan yang dimuliakan Allah, kita perlu selalu memelihara maruah diri dengan rasa malu. Apabila tindakan bijak diambil, terhindar daripada mencipta dosa sama ada secara zahir atau batin. Apabila diri sudah tidak tahu malu, maka pasti akan dipandang hina, jijik, tidak berharga serta dibenci masyarakat.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah jika ingin menghancurkan seseorang, Ia akan mencabut rasa malu dari dirinya. Apabila rasa malu itu dicabut (daripadanya), maka engkau akan menemuinya sebagai seorang yang dibenci dan menjijikkan.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Malu adalah sifat utama Mukmim yang menghasilkan kebaikan dan menjadi perisai daripada melakukan perkara bertentangan ajaran Islam selain terhalang daripada mengikut hawa nafsu.

Namun, malu melakukan ketaatan kepada Allah adalah malu yang dilarang serta tercela seperti malu untuk menutup aurat, malu mengerjakan solat dan melakukan kebaikan diwajibkan Islam. Jadilah pemalu yang sejati, semoga kita akan dikasihi dan diredai Allah.

2 comments:

erisya nor said...

blog yang menarik dan unik!

yusri zahir said...

xder apa2..biasa2 je...unik kat mana tu..?huhu~

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?