-->

Friday, February 6, 2009

Tatu: Sikap Umat Islam hampir membunuh saudara baru
copyright from HermanSamsudeen
anas-phoonSikap jahil segelintir umat Islam di utara tanahair hampir-hampir menyebabkan seorang saudara baru kita menemui ajalnya. Anas Phoon Abdulllah, 30 seorang saudara baru kita nekad mengelar lengan kanan bagi membuang tatu yang dibuat oleh ayahnya sebelum beliau memeluk Islam.


Tindakan yang didorong oleh tekanan perasaan ekoran cemuhan masyarakat Islam terhadap dirinya itu seolah-olah menunjukan Islam ini agama yang tiada perikemanusian dan tolak ansur. Jika itulah yang difikirkan oleh sesetengah pihak, ternyata mereka salah.

Ketidakfahaman kebanyakkan orang Islam tentang hukum tatu ini menyebabkan ramai bukan Islam yang ingin memeluk Islam membatalkan niat mereka kerana takut untuk membuang tatu itu.

Kita pernah juga dengar saudara baru kita menyimbah asid pada tubuh mereka untuk membuang tatu.

Hakikatnya tatu sememangnya dilarang oleh Allah dan Rasulullah;

Dalam Hadits riwayat Ibnu Umar radhiallahu anhu.: Rasulullah shallallahu alaihi wasallam mengutuk wanita yang menyambungkan rambut seorang wanita dan wanita yang minta disambungkan rambutnya, orang yang membuatkan tatu dan orang yang meminta dibuatkan tatu (Shahih Muslim : 3965)

Sememangnya bagi mereka yang mempunyai Tatu dibadan wajib menghilangkannya, kecualilah jika proses untuk menghilangkan itu boleh membawa maut.

Dalam kes seperti Anas Phoon, umat Islam seharusnya memberikan sokongan dan panduan padanya. Lagipun tatu itu bukanlah atas kehendak beliau tetapi kerana ayah beliau sebelum memeluk Islam lagi. Memandangkan proses membuang tatu itu hampir menyebabkan beliau maut, maka tindakan sewajarnya adalah bertaubat dan mohon Allah terima segala amalan.

Apa yang penting disisi Allah adalah amalan kita. Soal rupa bentuk tubuh dan apa yang ada pada tubuh adakalanya diluar kawalan kita. Islam memberikan pilihan untuk mereka yang bertatu untuk membuangnya atau tidak asal sahaja ia tidak merbahaya.

Apa yang Rasulullah anjurkan adalah supaya mereka yang tidak bertatu untuk tidak memperbuatnya. Maka bila yang baru masuk Islam, kita berilah mereka pilihan dan nasihat bukannya menghukum atau menghinanya.

Seandainya Anas Phoon meninggal dunia, InsyaAllah syurga menantinya. Tapi bagi yang mencemuhnya nantikanlah azab Allah jika kamu enggan bertaubat dan minta maaf padanya.

Saudara baru kita perlulah dibantu kerana mereka telah melakukan pengorbanan besar termasuklah disisihkan oleh keluarga dan sahabat-sahabatnya seperti kes Anas Phoon ini.

Jika umat Islam yang ada faham tentang hukum Islam yang sebenar, InsyaAllah kejadian seperti ini tidak berlaku dan lebih ramai lagi orang bukan Islam berminat untuk memeluk Islam.

Semoga Allah melindungi sdr. Anas Phoon dan menjadikan beliau muslim yang soleh serta mengembalikan keluarga beliau dalam keadaan yang beriman.

———————->
Petikan Metro : Salah kita!

Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Akibat tertekan dengan cemuhan segelintir masyarakat Islam kerana memiliki tatu, seorang mualaf mengelar lengan kanannya untuk menghilangkan tatu warisan keluarganya itu lebih lima kali dengan menggunakan pisau cukur, semalam.

Perbuatan Anas Phoon Abdulllah, 30, mengelar lengannya nyaris membawa maut apabila dia kehilangan banyak darah.

Difahamkan, tatu terbabit dimilikinya lebih 10 tahun lalu sebelum dia memeluk Islam.

Apa yang menyedihkan Anas, kehadirannya untuk menghayati ajaran Islam bukan saja kurang disenangi segelintir masyarakat, malah turut disisih keluarganya sendiri.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Anas, seorang peniaga minyak wangi nekad mengelar lengannya di belakang tandas sebuah masjid di Telok Kechai, Kuala Kedah, selepas berputus asa dengan penghinaan masyarakat serta nasib menimpa dirinya.

Menurut rakannya, Mohd Firdaus Razali, 22, Anas pernah beberapa kali mengelar lengannya untuk membuang tatu itu yang menjadi punca tindakan segelintir masyarakat menghinanya.

“Malah, dia sering menangis setiap kali menceritakan pengalamannya kepada saya yang dicerca masyarakat.

“Tidak cukup dengan itu, Anas sedih apabila kembali daripada menziarahi keluarganya di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, empat hari lalu. Ini disebabkan dia tidak disenangi anggota keluarganya,” katanya yang mula mengenali Anas sejak setahun lalu.

Mohd Firdaus berkata, tindakan Anas pada malam kejadian menggambarkan kekecewaannya memuncak akibat memendam perasaan sejak sekian lama menanggung masalah menimpa dirinya.

Bagaimanapun, keprihatinan Mohd Firdaus menyelamatkan Anas apabila menyedari dia tidak muncul di gerai mereka seperti biasa.

Katanya, dia menghubungi Anas beberapa kali dan sebaik panggilannya dijawab, rakannya itu memohon maaf seolah-olah sudah melakukan kesilapan besar.

“Dia (Anas) berulang kali mendakwa melakukan kesalahan dalam nada terputus-putus seperti seorang sedang menahan kesakitan. Selepas didesak, Anas kemudian memberitahu saya tempat dia berada sebelum mematikan talian telefon.

“Saya segera bergegas ke sana dan mendapati Anas sudah terkulai layu di belakang tandas masjid itu selain lengan dan pakaiannya dipenuhi darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Chengai, dekat sini, semalam.

Dia segera menghubungi rakan lain sebelum berlari memasuki bilik Anas bagi mendapatkan kain.

Sekembali semula kepada Anas, dia mendapati mangsa seperti nyawa ikan dan mulutnya tidak putus-putus menyebut Allah.

“Saya segera membalut tangannya bagi menghentikan pendarahan itu sebelum rakan lain datang dan mengusung Anas masuk ke bilik,” katanya.

Anas segera dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat mengalami pendarahan dan luka serius.

Mohd Firdaus berkata, Anas pernah memberitahunya bahawa tatu pada lengan kanannya itu dibuat ketika dia berumur belasan tahun yang menjadi tradisi keluarganya.

Mangsa memeluk Islam ketika berusia 20 tahun selepas tertarik dengan cara hidup Islam.

Dia hairan simbol tatu itu menjadi isu besar sehingga memberi tekanan kepada kehidupan harian Anas.

“Sepatutnya masyarakat memberi panduan kepadanya yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Memang ada orang memberi sumbangan kepada Anas yang menerimanya sebagai rakan baru dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan masjid turut membantu Anas dengan memberi sebuah bilik tidur selepas melihat kesungguhan Anas mendalami cara hidup Islam.

Justeru, dia berharap tiada pihak lagi mencemuh Anas hanya kerana tatu itu, sebaliknya memberi sokongan serta bimbingan untuk menghayati ajaran Islam sebenar.



---
kalam editor,
ini yang saya takuti berlaku kepada saudara baru kita. Keinginan terhadap Islam yang kuat mungkin menjadi lemah atau hilang mungkin disebabkan umat Islam sendiri. Hanya harapan yang wujud dihati kecil ini agar semua umat Islam memahami mehnah saudara baru kita dan memahami uslub kita berdakwah kepada mereka. Moga2 Allah menguatkan hati saudara baru kita lantaran memiliki Syurga yang didambakan.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?