-->

Tuesday, August 21, 2007

BERANIKAH TOK PA ROMBAK AUKU?
Oleh Mohd Sayuti Omar

Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed telah mengumumkan rancangannya untuk menyusun semula Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Langkah itu diambil katanya dengan niat untuk menaikkan kembali mutu dan kedudukan universiti di negara ini.

Kenyataan atau alasan Mustapa itu, menggambarkan bahawa kedudukan IPT (Awam) di negara ini begitu teruk sekali, dan sekaligus beliau cuba mencerminkan pembawaan beliau ke kementerian yang sebelum ini dipegang oleh Shafie Salleh itu mampu untuk memulihkan kelemahan itu. Dalam kosakata lain beliau cuba menunjukkan bahawa beliau adalah arkitek baru dalam dunia pendidikan!

Mampukah Mustapa untuk berbuat demikian, dan apakah beliau mempunyai lampu ajaib untuk mengubah keadaan yang berlaku sekarang ini?

Seperti mana yang dilaporkan, di antara rancangan Mustapa ialah untuk meminda beberapa bahagian di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku 1971). Barangkali semua orang akan terkejut (tidak percaya?), di samping, tidak kurang juga yang suka mendengar kenyataan beliau itu.

Yang tentu gembira ialah budak-budak universiti yang selama ini terkongkong dan terkurung oleh akta berkenaan. Bukan puluhan, malah ribuan kali budak-budak universiti memprotes dan mendesak termasuk mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan agar akta yang disifatkan zalim itu dibebaskan dari membelenggui mereka.

Tidak cukup itu, badan-badan politik oposisi dan NGO juga turut sama memprotes dan meminta akta yang memandulkan mahasiswa itu dihapuskan terus.

Sudah tentu apabila Mustapa berkata begitu ia melegakan dan memberi sedikit sinar kepada budak-budak universiti. Tetapi kepada pemerhati, kenyataan atau janji seperti itu sebenarnya sesuatu yang sudah basi dan 'belengah'. Selalunya begitulah bila naik seorang menteri pendidikan/pengajian tinggi baru, mereka akan memberi harapan baru dan mengulas apa juga topik yang menjadi perhatian umum, teristimewa sekali Auku kerana ia mendapat perhatian serius.

Sebenarnya, budak-budak universiti meletakkan harapan besar kepada Mustapa. Tentu sekali mereka tidak mahu kehadiran Mustapa itu hanya sebagai persalinan untuk mengubahkan badan menteri saja, sedangkan pemikiran dan pendekatannya sama. Dan kenyataan Mustapa itu adalah dikira pengucapan bernas sejak menjadi menteri itu.

Tanpa memihak kepada mana-mana - baik budak universiti atau kerajaan, seharusnya Auku dibebaskan atau dimansuhkan terus. Banyak baiknya akta itu dimansuhkan daripada terus dikekalkan. Walaupun niat dan falsafah penggubalannya kira-kira 35 tahun lalu bertujuan baik, namun dari segi praktikalnya ternyata ia memberi impak buruk kepada percambahan intelektual di universiti.

Betapa disebabkan wujudnya akta berkenaan, mahasiswa kita tidak mempunyai sengat dan keyakinan diri. Aktiviti di kampus yang sepatutnya melatih mereka untuk muncul menjadi pemimpin dinamik negara, telah dihalang oleh akta berkenaan. Sedar atau tidak, keadaan mahasiswa kita kini semakin lemah dan tidak mempunyai daya kreativiti serta semangat kepimpinan yang tinggi.

Tekanan yang dikenakan ke atas mereka menerusi akta itu juga menjadi mereka malas untuk melibatkan diri dalam bidang sosial dan pertubuhan. Keadaan ini telah merugikan negara yang di mana matlamat penubuhan universiti untuk melahirkan manusia berketerampilan di dalam kepimpinan tidak kesampaian.

Lebih teruk dari itu, disebabkan akta berkenaan juga, siswa kita bukan saja pengecut, merasa kurang keyakinan diri, tetapi menjadi pengampu buta huruf dan buta warna. Mereka ?nggih? kepada apa saja yang disuarakan oleh pihak kerajaan tanpa memahami apakah natijah daripada perbuatan mereka. Ada kalanya mereka terpaksa bersetuju di atas sesuatu yang mereka tidak bersetuju dan ini menjadikan mereka sakit jiwa.

Tindakan meragui dan mengawal mereka juga menjadikan mahasiswa kita tidak ubah seperti kanak-kanak di tadika. Hanya kalau pun membezakan mereka, mereka tidak diminta agar mengenakan pakaian seragam sepanjang berada di sekolah (kampus).

Kelesuan gerakan mahasiswa hari ini dalam membantu masyarakat juga sangat jelas sekali. Dan kesan daripada wujudnya akta itu juga menyebabkan negara ketandusan pemimpin pelapis yang lahir dari universiti. Hakikat ini nyata, sebelum akta itu dikuatkuasa, ramai siswa kita muncul menjadi pemimpin terkenal negara, baik dalam politik maupun perniagaan.

Boleh dikatakan semua pemimpin yang mencipta nama hari ini adalah graduan yang dikeluarkan oleh universiti sekitar tahun awal 70-an. Sebaliknya selepas dekad itu, tidak ramai siswa universiti yang muncul menjadi pemimpin politik yang memerlukan mereka yang berjiwa kental dan berani.

Jadi berdasarkan hakikat demikian adalah wajar kalau Mustapa di dalam rancangannya itu, terus menghapuskan akta berkenaan. Kerajaan seharusnya berani dan bersikap gentleman di dalam hal ini. Kerajaan tidak perlu takut kepada kebangkitan pelajar apa lagi dengan membayangkan mereka akan mengugat kerajaan.

Kalau kerajaan yang diterajui Abdullah Ahmad Badawi kini telus dan benar-benar ingin memenuhi aspirasi rakyat, tidak ada sebab untuk mahasiswa berarak ke jalan raya seperti tahun-tahun 1970-an. Mahasiswa adalah manusia rasional yang boleh menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Kalau kerajaan bersih dan mengambil berat kepada kepentingan rakyat, mahasiswa akan menyokong dan tidak berlakulah pemberontakan!

Itulah harapan kita kepada Mustapa Mohamed. Tetapi apakah berlaku demikian? Beranikah Mustapa untuk melakukan setidak-tidaknya melonggarkan sedikit ikatan ke atas mahasiswa menerusi akta berkenaan? Itulah beberapa pertanyaan yang sebenarnya jawaban sudah ada kepada kita.

Daripada pengalaman, serta pemerhatian kepada daya tadbir, gaya kerja dan juga kredibiliti Mustapa di beberapa kementerian dan juga agensi kerajaan yang didudukinya sudah menjelaskan kepada umum siapa dia Mustapa sebenarnya dan apakah yang beliau lakukan ke atas kementerian itu, khasnya mahasiswa.

Secara peribadi saya tidak terfikir kalau Mustapa bersedia untuk melakukan perubahan dinamik ke atas Auku, sebaliknya apa yang saya nampak beliau akan menarikkan lagi ikatan (simpulan) ke atas mahasiswa dengan megemaskan akta berkenaan untuk benar-benar menjadikan mahasiswa sebagai sang kakak tua atau terkukur usang kepada kerajaan.

Sama-samalah kita tengok dan perhatikan apakah yang Mustapa dapat lakukan!

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?