-->

Sunday, September 2, 2007

kelebihan dan kehebatan
Salah satu bulan dalam Islam yang mempunyai kelebihan dan keutamaan selain bulan Ramadan ialah bulan Syaaban. Sebelum memasuki bulan suci Ramadan, iaitu bulan yang sangat ditunggu-tunggu kehadirannya oleh seluruh kaum muslimin dan muslimat yang beriman dan bertaqwa, terlebih dahulu mereka akan menempuh bulan Syaaban, iaitu bulan yang tidak kurang kelebihannya, di mana bulan tersebut boleh dimanfaatkan oleh orang-orang yang mengharapkan pahala dan keredaan Allah subhanahu wata'ala dan ini dapatlah dikatakan bahawa bulan Syaaban itu adalah pintu gerbang untuk memasuki bulan Ramadan al-Mubarak.
Jika dalam bulan Rejab, kaum muslimin dan muslimat menyucikan badan dari segala noda dan dosa, maka pada bulan Syaaban mereka membersihkan hati, sedangkan bulan Ramadan adalah kesempatan bagi menyucikan jiwa dan raga. Menurut baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bulan Syaaban banyak sekali mengandungi keutamaan dan kebaikan kerana nilai kebajikan akan dilipatgandakan bagi mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah atau amalan-amalan yang baik.

Oleh kerana kelebihan yang ada dalam bulan Syaaban itu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah manfaatkan peluang iaitu untuk meningkatkan prestasi ibadah dan amal soleh berbanding bulan-bulan yang lain, sehingga baginda seolah-olah tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan-bulan yang lain. Lantaran kelebihan baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam mengagumi dan menghormati bulan Syaaban sehingga bulan ini baginda sebut sebagai bulan Rasulullah.

Bulan Syaaban adalah bulan yang terletak di antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rejab padanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam di Israk Mikrajkan dan bulan Ramadan pula padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan ibadat puasa Ramadan salah satu dari rukun Islam Kelima.

Ketiga-tiga bulan tersebut berhubung kait rapat kerana sesungguhnya orang yang menyucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan menyucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang menyucikan hatinya pada bulan Syaaban akan menyucikan rohnya pada bulan Ramadan.

Pada pertengahan bulan Syaaban telah berlaku satu peristiwa besar dan bersejarah kepada diri baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan bagi kaum muslimin dan muslimat, iaitu peristiwa mengubah arah hala kiblat kaum muslimin dan muslimat dari hala menghadap masjid al-Aqsa di Baitul muqaddis kepada arah hala Masjid al-Haram (Kaabah) di Mekah al-Mukarramah.

Salah satu kegiatan ibadah yang perlu dilakukan dalam bulan Syaaban ialah memperbanyakkan puasa sunat, sama ada puasa sunat khas Syaaban, puasa sunat Isnin dan Khamis ataupun puasa sunat qada. Perkara tersebut telah dipraktikkan sendiri oleh Rasulullah sallallahu Alaihi wasallam sebagaimana hadis baginda yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Daripada Aisyah radiallahuanha, katanya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyempurnakan puasa dalam satu bulan, melainkan bulan Ramadan dan aku tidak melihat baginda dalam mana-mana bulan lain lebih banyak berpuasa melainkan dalam bulan Syaaban."

Oleh sebab bulan Syaaban adalah antara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tertentu, maka wajar sekali jangan kita biarkannya berlalu sahaja tanpa mengerjakan amal soleh yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Di antara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan di dalam bulan Syaaban itu adalah seperti berikut, antaranya :

1. Berpuasa.

2. Banyak melakukan amal kebajikan dan tingkatkan amal taqwa kepada Allah.

3. Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa.

4. Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca al-Qur'an, bertaubat, beristighfar dan sebagainya.

5. Memperbanyakkan solat sunat.

6. Menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim.

7. Memohon restu ke hadrat Allah bagi keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

8. Memohon restu ke hadrat Allah semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara.

9. Berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah di setiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.

Oleh itu, marilah kita berusaha menghidupkan dan manfaatkan bulan-bulan yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan khususnya bulan Syaaban ini, kerana barang siapa yang menghidupkan bulan tersebut maka hatinya tidak akan mati di kala hati semua orang mati. Mudah-mudahan kita semua akan sentiasa berada di dalam lindungan Allah subhanahu wata'ala dan mendapat hidayah serta keredaan-Nya jua.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?