-->

Monday, September 17, 2007

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

1) Makan dan minum dengan bebas setelah
batal puasa dengan sengaja (bukan kerana
uzur yang diterima Islam).

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang
batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur
seperti mengeluarkan mani secara
sengaja, merokok, makan dan minum. Ia
dilarang untuk makan dan minum lagi atau
melakukan apa jua perkara yang
membatalkan puasa yang lain sepanjang
hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi,
hlm 112). Ia dikira denda yang pertama
baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di
dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan
(batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki
waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam
kerana malas bangun di akhir malam .

Jelasnya, individu yang melakukan amalan
ini terhalang dari mendapat keberkatan
dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi
SAW malah bercanggah dengan sunnah
baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut
bahasanya adalah waktu terakhir di
hujung malam. Para Ulama pula menyebut
waktunya adalah 1/6 terakhir malam.
(Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar
menegaskan melewatkan sahur adalah lebih
mampu mencapai objektif yang diletakkan
oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum
sahaja tanpa ibadah lain .

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini,
waktu tersebut pada hakikatnya adalah
antara waktu terbaik untuk beristigfar
dan menunaikan solat malam. Firman Allah
ketika memuji orang mukmin ertinya : "
dan ketika waktu-waktu bersahur itu
mereka meminta ampun dan beristighfar"
(Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus
selepas terawih .

Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu
yang terbaik bagi solat witir adalah
penutup segala solat sunat di sesuatu
hari itu berdasarkan hadith ertinya
"Jadikanlah solat sunat witir sebagai
solat kamu yang terakhir dalam satu
malam". (Fath al-Bari, no 936).
Sememangnya tidak salah untuk melakukan
witir selepas terawih, cuma sekiranya
seseorang itu yakin akan kemampuannya
untuk bangun bersahur dan boleh
melakukan solat sunat selepas itu, maka
adalah lebih elok ia melewatkan witirnya
di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia adalah satu kesilapan yang maha
besar. Memang benar, solat bukanlah
syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun
Islam yang menjadi tonggak kepada
keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng'
solat dengan sengaja akan menyebabkan
pahala puasa seseorang itu menjadi
'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh
berjemaah sebagaimana Terawih .

Ini jelas suatu kelompongan yang ada
dalam masyarakat tatakala berpuasa.
Ramai yang lupa dan tidak mengetahui
kelebihan besar semua solat fardhu
berbanding solat sunat, teruatamnya
solat subuh berjemaah yang disebutkan
oleh Nabi SAW bagi orang yang
mendirikannya secara berjemaah, maka
beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid
dengan niat inginkan meriah .

Malanglah mereka kerana setiap amalan di
kira dengan niat, jika niat utama
seseorang itu ( samada lelaki atau
wanita) hadir ke masjid adalah untuk
meriah dan bukannya atas dasar keimanan
dan mengharap ganjaran redha Allah
sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi
SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari.
Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu
dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam
kerja-kerja di siang hari dengan alasan
berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di
pejabat dengan niat ibadat pastinya
menambahkan lagi pahala. Justeru, umat
Islam sewajarnya memperaktifkan
produktiviti mereka dan bukan
mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari
dengan alasan ia adalah ibadat .

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan
bahawa hadith yang menyebut berkenaan
tidur orang berpuasa itu ibadat adalah
amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ;
Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai
'lampu merah' bagi sahur .

Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya
tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren'
yang di cadangkan oleh beberapa ulama
demi mengingatkan bahawa waktu sahur
sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu
tamat untuk makan sahur, tetapi waktu
amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang
memberi alasan lewat bangun dan sudah
masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa
pada hari itu. Waktu yang disepakti
ulama merupakan waktu penamat sahur
adalah sejurus masuk fajar sadiq
(subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di
masjid tanpa menjaga aurat .

Ini nyata apabila ramai antara wanita
walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap
terdedah da didedahkan berjalan dan naik
tangga masjid di hadapan jemaah lelaki.
Tatkala itu, fadhilat mereka solat di
rumah adalah lebih tinggi dari
mendatangkan fitnah buat lelaki ketika
di masjid.


12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala
berpuasa dan berbuka .

Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap
dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW
telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di
tolak doa mereka, pemimpin yang adil,
individu berpuasa sehingga berbuka dan
doa orang yang di zalimi" ( Riwayat
At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi.
Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul
tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang
berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" (
Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi :
Sanadnya sohih)

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?