-->

Wednesday, September 19, 2007

mengapa tarbiyyah?
Islam adalah penuh isi. Isinya semuanya
berguna. Gunanya adalah untuk manusia
kekal sebagai manusia sebagaimana ia
diciptakan seawal kejadiannya.
Kejadiannya adalah sebagai sebaik - baik
ciptaan oleh tuhan pencipta di alam
ciptaannya. Jika manusia tidak
mengekalkannya, maka ia boleh bertukar
menjadi seburuk - buruk dan sehina -
hina makhluk di mata penciptanya.

Deminya Islam diturunkan. Islam adalah
Al Quran dan RasuluLlah sallaLlahu
alaihi wasallam. Al Quran adalah isi
yang sempurna pengajarannya sedang
RasuluLlah adalah pembaca, pengajar dan
pendidik manusia yang menerima Al Quran
sebagai petunjuknya. Maka ia adalah
Islam yang bermaksud sebuah
kesempurnaan. Sebabnya, Al Quran adalah
kalam Allah dalam surah - surah yang
dibacakan ke atas hambaNya yang
diciptakan. RasuluLlah pula adalah
utusanNya dari langit yang sengaja
disucikan daripada noda demi sebuah
pengajaran, qudwah dan ikutan yang sempurna.

Tiada yang mengenal manusia selain
Allah. Dia menciptakan manusia dan alam
yang mengelilinginya dan
mempengaruhinya. Manusia tewas kepada
apa yang mempengaruhinya dalam hidupnya.
Ia terumbang ambing di antara unsur baik
dan unsure jahat yang mengasak
kehidupannya. Hasilnya, lahir insan yang
begitu tinggi peribadinya dan lahir juga
insan yang begitu rendah peribadinya.
Kemudian bayangkanlah betapa luasnya
ruang yang menjarakkan antara lapisan -
lapisan di antara kedua - duanya yang
menjadi petunjuk kemulian dan kehinaan
manusia.

Bagaimana manusia mampu hidup dalam
dunia yang serba asing ini? Manusia
hanya bertahan hidup 70 tahun dalam
kehidupan raya yang umurnya telah
melangkau juta - juta tahun. Banjaran
Titiwangsa itu telah menyaksikan datuk
kita yang pertama menjejak Tanah Melayu
ini beribu tahun dulu sedang kita ini
mujurlah sempat melihat Tok Janggut
pada potret syahidnya yang mulia. Mana
ilmu kita yang tinggi itu untuk
mengenal erti kehidupan semesta raya ini?

Manusia karam dalam kegelapan kejahilan.
Mereka mewarisi kejahilan temurun jauh
ke depan mendahului pusaka ilmu yang
sedikit. Di mana harus dimulakan ilmu
ini? Pastinya ia mesti bermula dari mula
iaitu dari mula Adam alaihis salam
diciptakan atau dari mula beruk kera
datuk Darwin diciptakan. Inilah ilmu
pertama yang didambakan setiap kita
iaitu dari mana kita, mengapa kita di
sini dan ke mana kita selepas ini? Siapa
Darwin untuk menjawab soalan ini? Adakah
dia disemat sakti untuk kembali ke perut
ibunya untuk menyelami kehidupan di alam
rahim lalu menerobos laluan malaikat ke
alam ruh sebelum ditiupkan ke rahim ibu?
Itukah Darwin dalam pengenalannya?

Maksudnya adalah pencarian dalam
kegelapan. Berani yang membuta tuli. Apa
ertinya selain kesesatan yang bertambah
dan kekalahan yang mengecewakan.

Tetapi manusia tidak dibiarkan begitu
selamanya. Ada tangan yang menghulur.
Ada pertolongan yang tiba. Ada keajaiban
yang hebat. Maka lahir manusia yang
tidak dilihat kekecewaannya lantaran
pengetahuannya yang hebat mengenai
kehidupan. Dia hidup dalam dunia yang
benar. Pegangannya benar. Pendiriannya
benar. Cakapannya benar. Tindakannya
benar dan ajakannya adalah benar. Benar
adalah kebenaran dan kebenaran itulah al
haq. Al haq adalah mutiara kehidupan dan
tiangnya.

Mengapa lahir manusia seperti ini dalam
kelam duniawi ini? Itulah kerana
keajaiban yang dimaksudkan. Kerana
pertolongan yang tiba dari pencipta
manusia yang mengetahui segalanya
mengenai manusia. Dialah Allah tuhan
yang menciptakan segalanya. Tiada
sesiapa sebelum dan selepasNya.

Allah memberi kita sinar yang memancar.
Dialah cahaya langit dan bumi. Sinar
itulah Al Quran dan tubuh qudwah
sallaLlahu alaihi wasallam.

Al Quran adalah isi yang penuh. Di
dalamnya pengajaran yang penuh kebenaran
yang berguna. RasuluLlah adalah
utusanNya. Baginda membacanya,
mengajarnya dan menyucikan manusia
daripada kelam kejahilan dan dosa.

Manusia adalah ruh yang dibalut tanah.
Ruh adalah dari sisi Allah, diturunkan
lalu ditiupkan ke dalam kerangka dari
tanah yang diuji kesempunaannya sebagai
ciptaan terbaik. Manusia adalah ruh
langit yang bertandang buat sementara di
bumi ini.

Ia mulia kerana ia adalah dari sisi
Allah. Maka, mengenali ruh adalah sebaik
- baik ilmu untuk manusia. Allah memberi
kita ilmu yang sedikit tetapi mencukupi
untuk mengenal diri dan kehidupan secara
yang benar dan membahagiakan.

Jika kita memahami ini, kita akan lebih
mudah untuk mengerti mengapa ilmu
pendidikan hati dan jiwa menjadi begitu
penting dan mesti. Tarbiyyah adalah inti
pengajaran Al Quran yang melengkapkan
pengajaran akidah dan syariat. Kita
bergerak dan berfikir pada laluan dan
lenggok hati yang berbagai - bagai. Di
situlah jatuh bangun mausia berterusan.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?