-->

Monday, September 17, 2007

Mengorek Telinga/Hidung Tidak Membatalkan Puasa
Persoalan 1: Mengorek Telinga/HidungTidak Membatalkan Puasa

Terdapatnya kepelbagaian pendapat dalam
hal memasukkan sesuatu ke dalam rongga
badan membatalkan puasa. Antara yang
berpendapat memasukkan sesuatu didalam
rongga tidak membatalkan puasa adalah
Syaikh Attiyah Saqr (mantan Ketua Lajnah
Fatwa al-Azhar), Dr. Yusuf al-Qardhawi
(Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syaikh
Mohammad Salih Al-Munajjid, Dr. Muzammil
Siddiqi (Ketua Majlis Fiqh Amerika
Utara) dan ramai lagi.

Dalam membahaskan mengenai
perkara-perkara yang membatalkan
puasa,Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:

Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah
memperluas pembahasan hal-hal yang
membatalkan puasa sedemikian rupa
sehingga saya tidak yakin hal-hal
tersebut pernah terfikir di benak
seorang jua daripada para sahabat Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam, yakni
orang-orang yang menyaksikan secara
langsung penurunan al-Quran, yang
memahami secara terus pesanan Allah dan
Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman
dan yang berpegang teguh kepadanya
dengan sebaik-baiknya.

Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan
wilayah pembahasan akan hal-hal yang
dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha
Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57
perkara manakala fuqaha Mazhab
al-Syafie tidak kalah banyaknya.
Sejumlah ulama masa kini bahkan
memperincikan hal-hal yang dapat
membatalkan puasa secara aneh. Mereka
membuat kaedah-kaedah lalu membangun di
atasnya cabang-cabang persoalan yang
tidak terhitung bilangannya. Namun
kaedah-kaedah itu sendiri tidak
didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat
daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ada di
antara mereka yang berkata bahawa
kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil
umpamanya, ke dalam rongga badan orang
yang berpuasa akan membatalkan puasanya.
[Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh
Maruf Abdul Jalil dan rakan-rakan
dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia,
Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Sememangnya tiada dalil jelas dari
al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang
daripada mengorek hidung ataupun
telinga. Bagi yang berpendapat ianya
membatalkan mereka bersandar kepada dalil:

Sempurnakanlah wudhu dan
bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air
ke dalam hidung (dan menghembusnya)
kecuali jika kamu sedang berpuasa.
[Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai
sahih oleh al-Albani di dalam Shahih
Sunan Ibn Majah hadis no: 333 (Kitab
Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke
dalam hidung).]

Daripada sabda Rasulullah s.a.w
menyedut air ke dalam hidung (dan
menghembusnya) kecuali jika kamu sedang
berpuasa. Difahami sebagai dilarang
menyedut air ke dalam hidung ketika
sedang berpuasa. Jika dimasukkan air
maka perbuatan tersebut membatalkan
puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan
kepada semua rongga tubuh berdasarkan
qiyas (analogi).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana
pengecualian yang dimaksudkan oleh
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bukan ditujukan kepada menyedut air ke
dalam hidung tetapi kepada
bersungguh-sungguh dalam penyedutan
tersebut. Dalam erti kata lain yang
dimaksudkan oleh Rasulullah ialah,
apabila berwudhu dalam keadaan
berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh
menyedut air ke dalam hidung kerana
dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh
ke dalam sehingga sampai ke tenggorok
dan ditelan sebagai minuman. [Yusuf
al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117.
Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak
Membatalkan Puasa, Jahabersa]

PERKARA YANG JELAS MEMBATALKAN PUASA

Perkara yang sememangnya jelas
membatalkan puasa adalah sepeti dalam
firman Allah:

Maka sekarang (1) setubuhilah
isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa
yang telah ditetapkan oleh Allah bagi
kamu; dan (2) makanlah serta (3)
minumlah sehingga nyata kepada kamu
benang putih (cahaya siang) dari benang
hitam kegelapan malam), iaitu waktu
fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu
sehingga waktu malam
(maghrib).[al-Baqarah 2:187]

Dan kalau dilihat jelas bahawa mengorek
telinga atau memasukkan sesuatu ke dalam
rongga badan tidak termasuk dalam
perkara-perkara yang ditegah ketika
berpuasa. Adapun persetubuhan sekalipun
bukanlah perbuatan makan atau minum
tetapi larangannya disebut secara jelas
di dalam ayat di atas. Juga di dalam
sabda Rasulullah shallallahu alaihi
wasallam:

Setiap amal anak Adam adalah bagi
dirinyakecuali puasa maka ia adalah
untuk Aku dan Aku sendiri akan
membalasnya. Dia (anak Adam)
meninggalkan makanan kerana Aku dan
meninggalkan minuman kerana Aku dan
meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan
meninggalkan isterinya (tidak
bersetubuh) kerana Aku. [Dikeluarkan
oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya
hadis no: 1897 dan dinilai sahih oleh
Muhammad Mustafa al-Azami.]

Hadis di atas juga menjadi dalil mengapa
merokok, penyalahgunaan dadah dan segala
yang sewaktu dengannya yang secara
psikologi memberikan kepuasan atau
kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau
menghilangkan dahaga bagi nafsu,
membatalkan puasa. Sekalipun ianya tidak
mengenyangkan, menghilangkan dahaga atau
perbuatan bersetubuh.

Kesimpulan Pandangan 1

Sebagai kesimpulan mengenai isu mengorek
telinga ketika berpuasa saya ingin
menukilkan fatwa Syaikh Attiyah Saqr:

Puasa tidak terbatal dengan meletakkan
jari ke dalam telinga atau kerana
membersihkannya dengan cotton pad atau
dengan larutan. Memandangkan tiada yang
dapat meresap melalui gegendang telinga
dan sampai kepada kepala, yang mana
ianya juga bukan organ menerima makanan
yang menyuburkan tubuh badan. [rujuk:
http://www.islamonline.net ]

Di atas hujah-hujah yang sama
ulama-ulama mutakhir menyatakan
perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam
rongga badan (sekiranya ia tidak sampai
ke perut) tidak membatalkan puasa.

Persoalan 2: Berendam Dalam Kolam
Sewaktu Berpuasa

Saya percaya apa yang dimaksudkan frasa
di atas adalah membasahkan diri atau
mandi terutamanya berulang kali kerana
tidak tahan panas atau mengelakkan
kelesuan ketika berpuasa. Perbuatan
membasahkan diri kerana tidak tahan
panas atau kerana kelesuan adalah
dibolehkan berdasarkan sebuah hadis, Abu
Bakar bin Abd al-Rahman radhiallahu
'anh berkata:

Aku melihat Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah
tempat), baginda menyiram air ke
kepalanya sedangkan pada waktu itu
baginda berpuasa. Yang demikian itu
kerana kehausan atau kepanasan.
[Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai
sahih oleh al-Albani di dalam Sahih
Sunan Abu Daud hadis no: 2365 (Kitab
puasa, Bab orang berpuasa yang disiram
ke atasnya air).]

Berkata al-Imam Syams al-Haq al-Azhim
rahimahullah:

Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa
dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang
merasai kepanasan untuk menyiram air ke
atas sebahagian badannya atau
keseluruhan badannya. Ini merupakan
pendapat jumhur dan mereka tidak
membezakan antara mandi kerana suasana
genting, sekadar perlu atau tanpa
apa-apa alasan sekalipun. [Aun al-Mabud
Syarh Sunan Abu Daud, jld. 6, ms. 395.]

Dalam membahaskan bab mandi bagi orang
yang berpuasa di dalam Sahih al-Bukhari,
Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa
Ibn al-Manayyar berkata:

Imam Bukhari bermaksud membantah mereka
yang memakruhkan orang yang berpuasa
untuk mandi. Kerana apabila pendapat itu
berdasarkan kekhuatiran air akan masuk
ke tenggorok, maka tertolak dengan
keterangan yang membolehkan
berkumur-kumur dan menggosok gigi serta
mencicipi makanan. Apabila tidak disukai
dengan alasan kemewahan, maka
sesugguhnya kaum salaf menyukai orang
yang berpuasa untuk tampil terawat,
indah, memakai celak atau yang
sepertinya. Atas dasar itulah ia (Imam
al-Bukhari-pen) menukil atsar-atsar
tersebut pada bab ini (babmandi bagi
orang yang berpuasa-pen). [Fath al-Bari,
Bab Mandi orang Yang Berpuasa, ms. 171]

BERENDAM DI DALAM BATH TUB, KOLAM,
TAKUNGAN AIR?


Perbuatan merendamkan diri ketika
berpuasa kerana kepanasan bukanlah
perbuatan pelik tetapi pernah dilakukan
oleh sahabat Nabi sendiri. Anas bin
Malik berkata:

Sesungguhnya aku memiliki penampungan
air yang aku masuk ke dalamnya dan aku
sedang berpuasa.[ Fath al-Bari, Bab
Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 167]

Ibn Hajar al-Asqalani dalam menjelaskan
mengenai atsar itu berkata:

Seakan-akan penampungan tersebut
dipenuhi air, sehingga apabila udara
panas, maka dia masuk ke dalamnya untuk
mendinginkan badan. [Fath al-Bari, Bab
Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 172]

Saya harap penjelasan daripada saya yang
tidak tinggi ilmunya ini dapat
meleraikan kemusykilan atau kekeliruan
yang wujud. Moga kita bersama dapat
manfaat insyaAllah

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?