-->

Wednesday, December 5, 2007

DUNIA Iran tiada senjata nuklear
RAKAN SERANTAU: Ahmadinejad (kanan) berjalan bersama Raja Abdullah memasuki dewan persidangan di Doha. kelmarin.



Laporan perisikan AS beri tamparan hebat kepada Presiden Bush

TEHERAN: Iran semalam mengalu-alukan penilaian baru perisikan Amerika Syarikat yang menyatakan ia tidak membina senjata nuklear, sekali gus menjadi bukti program nuklearnya bertujuan aman dan menggesa Washington mengubah dasar mahukan sekatan baru dikenakan ke atas Iran.

Rumusan memeranjatkan Anggaran Perisikan Kebangsaan baru itu mendorong desakan supaya rundingan diadakan berhubung program nuklear negara itu. Laporan berkenaan - tersasar jauh dari dakwaan perisikan Amerika bahawa Teheran membangunkan senjata nuklear secara aktif - akan meremehkan usaha pentadbiran Presiden George W Bush untuk menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) mengenakan sekatan selanjutnya ke atas Iran.



Jurucakap Kementerian Luar Iran, Mohammad Ali Hosseini, berkata dalam satu kenyataan laporan itu membuktikan kenyataan Bush - yang selalu bercakap mengenai ancaman serius program nuklear Iran - tidak berasas dan fiksyen semata-mata.

Bush, bagaimanapun tetap tidak berpuas hati dan menggesa masyarakat antarabangsa terus menekan Teheran dan berkata laporan perisikan bahawa Iran menggantung usaha membangunkan bom nuklear menunjukkan terdapat peluang bagi negara itu mencipta senjata berkenaan.

“Saya menilai laporan itu sebagai amaran bahawa mereka memiliki program itu, mereka menggantung program berkenaan. Itu sebabnya ia adalah satu amaran mereka akan memulakan semula program itu.

“Iran bahaya, memang bahaya dan akan menjadi lebih bahaya jika mereka memiliki pengetahuan bagaimana membina bom nuklear,” katanya dalam sidang akhbar di Washington sehari selepas agensi perisikan menyiarkan penilaian yang bertentangan dengan keyakinan pentadbirannya bahawa Iran membina bom nuklear.

Sementara itu di DOHA, Presiden Mahmud Ahmadinejad mencadangkan agar negara Arab dan Iran menubuhkan kumpulan serantau yang bebas daripada pengaruh asing.

Beliau melontar buah fikirannya kelmarin menjelang sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang julung kali mempelawa Teheran menghadiri persidangannya.

Anggota GCC iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang mengumpulkan negara Arab yang mempunyai hubungan rapat dengan Washington dan menjalin kerjasama dengan tentera Amerika Syarikat, berkemungkinan besar tidak menerima cadangan berkenaan.

“Kami mahukan keamanan dan keselamatan tanpa pengaruh asing,” kata Ahmadinejad yang sebelum itu berjalan berpegang tangan dengan Raja Abdullah dari Arab Saudi memasuki dewan persidangan. - AP/AFP

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?