-->

Saturday, December 1, 2007

Penguin Malaysia




Oleh Hamzah Osman






Spesies burung yang sebelum ini menghuni benua Antartika berjaya ditetaskan secara semula jadi selepas pengeraman 35 hari di Langkawi

PENGUIN kini boleh menetas di Malaysia. Usaha membiakkan hidupan marin antartika itu menjadi kenyataan menjelang jam 10 pagi pada 9 September lalu di Underwater World Langkawi (UWL) di Pantai Chenang, Langkawi.

Kejayaan itu berkat kesabaran 90 kakitangan pusat pelancongan termasyhur itu selama empat tahun untuk membiakkan spesies burung tidak boleh terbang yang sebelum ini cuma menjadi penghuni tetap di Antartika.



Lebih mengagumkan anak penguin dari spesies `Rockhopper' berjaya ditetaskan dalam sarang terbuka selepas melalui proses pengeraman selama 35 hari oleh induknya.

Benua Antartika adalah tempat paling sejuk di muka bumi dengan suhu mencapai -85 hingga -90 darjah Celsius pada musim sejuk dan pada musim panas pula mencatat 30 darjah Celsius, yang mana jauh berbeza dengan suhu di negara ini.

Kejayaan itu dipercayai yang pertama di negara ini, walaupun tahun lalu UWL pernah mencipta kejutan membiakkan 11 penguin daripada spesies `Black-Footed' berasal dari Afrika Selatan menerusi pengeraman inkubator.

Timbalan Pengurus Besar UWL, Mohd Hafizuddin Abdullah, berkata kejayaan menetaskan penguin seberat kira-kira 89 gram menerusi kaedah semula jadi itu membuktikan semangat `Malaysia Boleh'.

"Pada 9 September lalu tercatat satu lagi sejarah paling membanggakan kami di UWL apabila anak penguin jenis `Rockhopper' yang terkenal dengan jambul kuning dan bulu mata lebat berjaya ditetaskan.

"Diikuti dua hari kemudian seekor lagi anak penguin jenis sama ditetaskan menjadikan jumlah keseluruhan penguin `Rockhopper' dimiliki UWL kini sebanyak 21 ekor," katanya ketika ditemui di pusat pelancongan itu.

Mohd Hafizuddin berkata, penguin `Rockhopper' memiliki tabiat unik apabila membina sarangnya di tempat terbuka, ini berbeza dengan penguin `Black-Footed' yang membina sarang berbentuk seperti gua.

Tinjauan pula mendapati, penguin `Rockhopper' membina sarang menggunakan himpunan ranting dan serpihan kayu, batu karang serta kerikil yang sebelum itu dikumpul kakitangan UWL di pekarangan Penguinarium berharga RM30 juta itu.

Difahamkan, penguin `Rockhopper' juga mempunyai satu musim pembiakan setiap tahun dan akan bertelur sebanyak dua biji pada satu masa dengan perbezaan antara tiga dan lima hari bagi telur pertama dan kedua.

Bagaimanapun, hanya telur yang kedua saja mendapat perhatian induk jantan untuk menjalani proses pengeraman, manakala telur yang pertama biasanya bersaiz lebih kecil akan dimusnahkan induk betina.

Sepanjang tempoh pengeraman, penguin jantan mengambil tanggung jawab sepenuhnya untuk mengeram, manakala penguin betina dilihat berkeliaran di sekitar sarang atau berenang dengan suhu air mencecah 15 darjah Celsius.

Kuratur Kanan UWL, Tan Ean Kok, berkata sehingga kini penguin `Rockhopper' dipercayai adalah penguin terkecil di kalangan penguin yang berjambul dengan memiliki ketinggian kira-kira 47 sentimeter (sm) dan beratnya sekitar tiga kilogram.

Sehingga kini, katanya, ada kira-kira 17 spesies penguin di seluruh dunia dan pada peringkat permulaan ini UWL hanya memberi tumpuan memelihara dua spesies saja iaitu `Rockhopper' dan `Black-Footed'.

"Penguin `Rockhopper' berasal daripada rangkaian pulau kecil yang tersebar luas di kawasan perairan sub-antartika, khususnya di kepulauan Tristan De Cunha, manakala penguin `Black-Footed' dari Afrika Selatan.

"Diet semula jadi adalah ikan kecil dan sotong, manakala di UWL penguin dewasa berusia antara tiga dan lima tahun disajikan ikan selayang dan kembung dua kali sehari iaitu pada jam 10 pagi dan 3 petang," katanya.

Beliau berkata, penguin dewasa mampu menghabiskan antara 300-400 gram (gm) ikan sehari, sekali gus menjadikan tugas memastikan semua haiwan itu mendapat makanan secukupnya agak rumit dan perlukan ketelitian.

"Penempatan penguin pertama di Langkawi dilakukan UWL pada 15 Disember 2003 dengan ketibaan 19 penguin jenis `Rockhopper' dan 17 `Black-Footed' dari Johannesburg, Afrika Selatan menerusi penerbangan selama 16 jam.

"Sebaik tiba di Langkawi penguin itu dibawa ke UWL dan diletakkan dalam sebuah bilik khas seluas 570 kaki persegi bersuhu 7-11 darjah Celsius untuk dikuarantin," katanya.

Kini, `Rockhopper' dan `Black-Footed' yang ditempatkan dalam tangki khas dan dilengkapi sistem sokongan hidup yang menepati standard Jabatan Pertanian, Amerika Syarikat menjadi tarikan utama pengunjung ke pusat itu.

Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi UWL, Siti Raudhah Shaari, berkata sebagai tarikan baru di pusat pelancongan itu, ruang yang menempatkan penguin terbabit sentiasa sesak dengan pengunjung biarpun bukan pada musim cuti persekolahan.

"Namun, pengunjung jangan sesekali memasang impian untuk mendekati atau memberi haiwan ini makan kerana ia begitu sensitif dan tidak boleh didekati secara terus dengan manusia.

"Malah, petugas kami yang memberi makan atau merawat kesihatan penguin ini perlu memakai pakaian khas kerana bimbang kuman yang ada di badan manusia menjangkiti haiwan berkenaan," katanya.

Pembiakan penguin di UWL



15 Disember 2003 penempatan pertama membabitkan 17 penguin jenis `Blackfooted' dan 19 `Rockhopper' diterbangkan dari Johannesburg, Afrika Selatan.


Setiap seekor berharga RM26,000 dan sebaik tiba di UWL haiwan itu ditempatkan dalam bilik khas bersuhu bawah 15 darjah Celsius.


Penguin `Blackfooted' berasal dari Pulau Tristan de Cunha, Afrika Selatan, manakala `Rockhopper' dari perairan Sub-Antartika.


Induk `Blackfooted' mula bertelur pada awal Februari 2006 dan menetas menerusi kaedah inkubator pada pertengahan Mac tahun itu.


Induk `Rockhopper 'mula bertelur pada awal Ogos 2006 dan menetas menerusi kaedah pengeraman semula jadi pada 9 September lalu.


Tempoh pengeraman inkubator selama 40 hari, manakala pengeraman semula jadi oleh penguin jantan cuma 35 hari.


Mengikut putaran hayat, seekor penguin mampu bertelur dua kali setahun, antara Februari dan Mac serta Ogos dan September dan ia akan mula bertelur ketika berusia antara enam dan 12 tahun, selain mampu hidup sehingga 25 tahun.


Lebih setahun lalu, sebanyak 10 telur penguin `Blackfooted' dan dua `Rockhopper' berjaya ditetaskan menerusi kaedah inkubator dan pengeraman semula jadi oleh pasangan induk masing-masing di UWL.


Jumlah semasa penguin yang dimiliki UWL ialah 21 `Rockhopper' dan 28 `Blackfooted'.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?