-->

Saturday, December 1, 2007

'Spiderman' 7 kali jatuh bangunan
Oleh Ziauddin Sharuddin

SIAPA yang tidak kenal Spiderman, watak popular dari komik Marvel yang dipindahkan ke layar perak hingga mengaut keuntungan lumayan apabila ditayangkan di seluruh dunia.

Kehandalan Spiderman memanjat bangunan sebenarnya bukan khayalan. Dalam dunia sebenar, memang wujud orang labah-labah yang kini terkenal sebagai penakluk bangunan pencakar langit.

Alain Robert yang menewaskan lebih 70 struktur gergasi berbekalkan dua belah tangan dan kasut mendaki digelar Spiderman kerana selain suka memanjat bangunan, dia memakai kostum watak terkenal itu.



Sebut saja di mana bangunan tinggi yang tidak dipanjat. Setiap kali ada bangunan baru mencatat rekod dunia sebagai yang tertinggi dunia, Robert pasti akan turut mencatat sejarah dengan memanjat bangunan itu.

Bangunan kebanggaan negara, Menara Berkembar Petronas, tidak terkecuali cuba ditaklukinya. Walaupun pihak berkuasa menjangka kehadirannya pada 1997, Robert menggunakan strategi dengan muncul pada awal pagi.

Dia cuba memanjat bangunan tertinggi di dunia ketika itu hingga tingkat 88, tetapi hanya mampu pergi ke tingkat 60 apabila anggota keselamatan menunggu di situ.

Pada 20 Mac lalu, bagi menandakan ulang tahun ke-10 percubaannya menewaskan Menara Berkembar Petronas, Robert cuba memanjat bangunan terkenal itu, tetapi usahanya terkandas dengan cara sama di tingkat 60.

Pada 4 September lalu, dia memanjat pencakar langit tertinggi di Eropah, iaitu Menara Persekutuan setinggi 243 meter di Moscow, tetapi ditahan anggota keselamatan.

Bagaimanapun, kemahiran dan keberanian Robert diiktiraf apabila dijemput untuk memanjat bangunan seperti Bank Pusat Abu Dhabi setinggi 199 meter pada Februari 2003 dengan disaksikan kira-kira 100,000 penonton.

Sebelum bangunan tertinggi di dunia sekarang, Taipei 101 di Taiwan dirasmikan pada 2004, Robert terlebih dulu memanjat dengan kebenaran pihak berkuasa negara itu. Walaupun mempunyai ketinggian 508 meter, ini tidak menjadi masalah kepadanya.

Bagaimanapun tidak seperti perancangannya, hujan lebat menyebabkan pendakian yang sepatut hanya mengambil masa dua jam menjadi empat jam.

Dia juga menerima bayaran AS$18,000 (RM60,000) sebagai bayaran promosi filem Spiderman untuk rangkaian televisyen Sky Movies dengan memanjat bangunan Lloyd's di London setinggi 95 meter pada Mei 2003.

Bagaimanapun wang bukan segala-galanya. Apabila Amerika Syarikat menakluk Iraq, dia memanjat bangunan ibu pejabat syarikat petroleum gergasi Perancis, Total S.A di pinggir Paris untuk membantah tindakan kuasa besar dunia itu.

Memanjat atau mendaki sudah menjadi darah daging Robert. Ketika kecil, dia mendaki bukit sekitar rumahnya. Bagaimanapun, faktor yang menyebabkannya mendaki secara serius berlaku ketika dia berusia 12 tahun.

Pada suatu hari, dia terlupa membawa kunci untuk masuk ke dalam pangsapuri setinggi lapan tingkat. Dia tidak mahu menunggu ibu bapa pulang dan terus memanjat bangunan itu.

Apakah yang menyebabkan Robert begitu hebat? Rahsianya adalah kemahiran teknik mendaki yang membolehkannya menggunakan bahagian dinding dan tingkap bangunan yang menonjol untuk dipegang.

Selain itu, ketinggian hanya 1.65 meter (5”5”) dan ringan menyebabkannya pantas ketika memanjat. Ketika memanjat, dia membawa beg kecil yang diikat di pinggang mengandungi serbuk kapur yang biasa digunakan pendaki untuk menyerap peluh.

Robert bukan Spiderman layar perak yang tidak akan terjatuh dan cedera parah. Sekurang-kurangnya tujuh kali dia terjatuh dengan kemalangan paling teruk berlaku pada 29 September 1982.

Dalam kejadian itu, dia tidak sedar diri selama lima hari dan banyak anggota tubuhnya patah serta menjalani enam pembedahan. Kecederaannya menyebabkan doktor meramalkan Robert lumpuh separuh badan dan tidak mungkin boleh mendaki lagi.

Bagaimanapun enam bulan selepas itu, Robert kembali kepada aktiviti mendaki bangunan dan gunung.

Bagi orang biasa, Robert boleh dianggap berani dan mungkin juga gila. Bagaimanapun, naluri manusianya menyebabkan dia juga berkahwin dan mempunyai tiga anak. Apabila kudrat manusia tidak lagi mengizinkan, anaknya yang kini turut berlatih bersamanya mungkin akan menjadi penggantinya.

FAKTA: Alain Robert



Dilahirkan di Valence, Drome, Perancis pada 7 Ogos 1962.


Mula memanjat bangunan pada usia 12 tahun.


Berjaya memanjat lebih 70 struktur gergasi di seluruh dunia meliputi bangunan dan menara.


Digelar Spiderman kerana memakai kostum watak popular komik Marvel.


Sering ditangkap kerana memanjat bangunan tanpa kebenaran, tetapi ini menyebabkannya terkenal.


Dua kali cuba menawan puncak Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat pada 1997 dan 2007. Hanya berjaya ke tingkat 60.


Terjatuh dari bangunan sebanyak tujuh kali.


Mempunyai tiga anak. Mereka juga berminat dan berlatih bersamanya mendaki gunung dan memanjat bangunan.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?