-->

Saturday, December 1, 2007

Hotel dalam laut



Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Pembinaan Poseidon dan Hydropolis dijangka cetus 'kegilaan' baru industri pelancongan dunia


SUDAH jemu menginap di hotel mewah dengan peralatan bilik mandi bersalut emas atau bilik yang menawarkan konsep koboi?


Hotel sentiasa cuba menonjolkan kelainan untuk menarik pelanggan menyebabkan ada hotel cuba menampilkan kemewahan tidak terbatas atau setiap bilik mempunyai konsep unik yang berbeza supaya pelanggan merasai nilai eksklusif.


Percubaan mewujudkan kelainan sudah menjadi perkara biasa dalam industri perhotelan. Bagaimanapun, industri ini mencapai tahap luar biasa apabila dua hotel dalam laut dirancang dibina di Lautan Pasifik Selatan dan Teluk Parsi.


Idea ini pertama kali ditimbulkan oleh Presiden US Submarines Inc., Bruce Jones, dengan pusat peranginan Poseidon di Pulau Eleuthera, Bahamas,


Hotel itu dirancang kira-kira 15 meter dalam laut dan bersambung ke tanah besar melalui dua terowong serta tangga bergerak dengan tekanan di dalamnya sama seperti darat.


Mempunyai restoran sendiri, sebuah bar dan 20 bilik besar dengan dinding akrilik lut cahaya menghadap taman batu karang yang boleh disuluh lampu pada waktu malam.


Jones berkata, tetamu boleh melihat pelbagai jenis ikan tropika, tuna dan penyu. Jika bernasib baik, dapat menatap ikan jerung dari dalam bilik hotel yang selesa atau ketika berada dalam jakuzi masing-masing.


"Mereka akan menikmati perkhidmatan lima bintang dengan pemandangan dunia dalam laut yang amat menarik. Lebih penting ialah pelanggan tidak perlu memakai pakaian selam untuk tiba ke bilik mewah mereka,” katanya.


Bagaimanapun, hasrat Jones untuk merealisasikan projeknya di Bahamas tidak tercapai kerana perundingan dengan pemilik pulau itu menemui kebuntuan dan selepas setahun tiada penyelesaian, Jones terpaksa beralih ke lokasi lain.


Jones akhirnya berjaya menemui pulau baru berhampiran Fiji dan jika semua berjalan lancar, Poseidon baru berharga RM270 juta akan dibina kira-kira 4.5 meter dalam laut.


Projek itu membabitkan kira-kira 2,000 meter persegi bilik dengan setiap bilik membolehkan tetamu melihat laut yang kaya dengan batu karang.


Jones yang menghabiskan masa 17 tahun bekerja sebagai pereka bentuk, ubah suai dan menjual kapal selam, yakin hotel yang dirancang itu akan menjadi kenyataan pada September 2008 walaupun beberapa projek seperti itu menemui kegagalan sebelum ini.


Dia yakin mereka yang berminat merasai pengalaman yang tidak akan ditemui di tempat lain di dunia, akan mendapati pengalaman di hotel itu berpadanan dengan nilai wang dibelanjakan


Bagaimanapun, Poseidon bukan hanya satu-satu hotel yang akan dibina dalam laut. Hotel ini mempunyai pesaing hebat yang menawarkan konsep yang sama, iaitu Hydropolis Underwater Hotel and Resort yang dirancang dibina di Dubai.


Hydropolis bertaraf 10 bintang dengan kos dianggarkan kira-kira RM1.8 bilion itu dirancang dibina kira-kira 20 meter dalam perairan Teluk Parsi di luar Pantai Jumeira, Dubai. Keluasan projek adalah kira-kira 260 hektar.


Hotel itu dirancang mempunyai tiga bahagian, iaitu kompleks daratan yang akan menerima tetamu. Kompleks ini dihubungkan ke kawasan utama hotel melalui terowong dan alat pengangkutan ialah kereta api.


Sebanyak 220 bilik mewah dibina yang menawarkan pemandangan indah seperti ikan dan hidupan laut lain berenang.


Hotel ini dirancang dibuka akhir tahun ini, tetapi terpaksa ditangguh kerana faktor kos dan isu alam sekitar seperti kesan projek terhadap hidupan laut menyebabkan pembukaan hotel dijadualkan semula pada 2009.


Sudah pasti mereka yang mempunyai banyak wang ternanti-nanti untuk menjadi tetamu pertama menginap hotel dalam laut. Bagi mereka, wang bukan lagi ukuran, tetapi pengalaman berada dalam laut menjadi rebutan.


Mungkin apabila hotel dalam laut menjadi realiti dan perkara biasa, ada pemaju yang akan membina hotel di angkasa lepas. Jika pelancongan angkasa lepas sudah menjadi realiti, bukan mustahil pelaburan besar dibuat untuk membina hotel angkasa lepas.


FAKTA: Hotel dalam laut




Dua projek hotel dalam laut dirancang, iaitu Poseidon di Fiji dan Hydropolis di Dubai.



Kedudukan bilik membolehkan penginap melihat hidupan laut.



Projek Poseidon menghadapi masalah lokasi di Bahamas awal dan dipindahkan ke Fiji.



Projek Hydropolis sepatut siap tahun tahun ini, tetapi dijadualkan semula pada 2009.



Kedua-dua projek mempunyai kemudahan yang sama seperti hotel di daratan



Hotel dalam laut Poseidon dijangka bertaraf lima bintang, manakala Hydropolis 10 bintang.



Kos Poseidon dianggarkan RM270 juta, manakala Hydropolis lebih mahal, iaitu RM1.8 bilion.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?