
KULIM: Sekumpulan penduduk Kampung Pondok Labu, dekat sini, yang mengadakan rondaan mencegah jenayah, berjaya menggagalkan cubaan beberapa lelaki untuk mencuri seekor lembu di kampung berkenaan, tengah malam kelmarin.
Kejayaan penduduk itu juga dijangka menyelesaikan misteri kehilangan beberapa ekor ternakan terbabit di kampung berkenaan sejak lebih sebulan lalu, yang dipercayai dilakukan kumpulan pencuri sama.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ialah bagaimana pencuri itu dapat melarikan lembu hanya menggunakan sebuah Proton Wira, kerana tentu sukar untuk mereka memasukkan ternakan berkenaan ke dalam kereta terbabit.
Seorang penduduk berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, beberapa lelaki yang membuat rondaan cegah jenayah di kampung itu berjaya mengesan kegiatan pencuri terbabit di sebuah kebun kelapa sawit.
Katanya, selepas melihat sebuah kereta yang mencurigakan di kebun itu, mereka bertindak mengejarnya menyebabkan pencuri terbabit cuba memecut untuk melarikan diri tetapi gagal mengawal kenderaan menyebabkannya terbabas lalu melanggar sebatang pokok kelapa sawit.
"Menyedari dikejar penduduk kampung, pencuri terbabit kemudian meninggalkan kereta mereka dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau yang enggan dikenali berkata, penduduk kampung yang mengejar pencuri terbabit terkejut apabila mendapati seekor lembu disumbatkan di bahagian tempat duduk belakang Proton Wira itu, dipercayai untuk dibawa ke satu lokasi tersembunyi untuk disembelih.
Selepas gagal mengesan pencuri itu katanya, penduduk kampung kemudian melaporkan kejadian kepada polis. Penduduk kampung itu mengadakan rondaan cegah jenayah sejak kira-kira sebulan lalu bagi membanteras kegiatan mencuri lembu yang semakin berleluasa.
Beliau berkata, polis memberitahu beberapa penduduk kampung bahawa kegiatan mencuri lembu itu dipercayai lakukan sekumpulan individu kerana agak sukar untuk memasukkan ternakan berkenaan ke dalam sebuah kereta.
Bagaimanapun, pencuri terbabit dikatakan menanggalkan tempat duduk belakang kereta bagi memudahkan mereka menyumbat haiwan itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.
0 comments:
Post a Comment
komen anda sangat dialu-aluan