-->

Wednesday, January 14, 2009

Bisnes Dunia: Jualan kereta mewah bertahan
Model baru SLR ‘Stirling Moss’ perkukuh jenama Mercedes

JIKA anda mempunyai sejuta dolar Amerika Syarikat (AS) untuk dibelanjakan bagi membeli kereta, anda mungkin tergolong di kalangan beberapa individu yang berpeluang membeli sebuah daripada 75 unit Mercedes SLR 'Stirling Moss' baru.

Bagaimanapun keutamaan menempah SLR baru itu yang akan mula dijual Jun ini adalah kepada pemilik SLR model terdahulu yang dijual pada harga AS$300,000 (RM1.05 juta), kata jurucakap Mercedes pada pameran automotif Detroit.

Justeru, orang kaya baru, mereka yang baru memenangi loteri dan golongan seumpamanya hanya boleh bermimpi untuk memandu kereta itu.

Dalam pasaran automotif yang sedang mengalami kejatuhan dramatik seperti di AS dan seluruh dunia, jenama kereta mewah seperti Bentley, Maserati, Lamborghini, Jaguar, Maybach dan Rolls Royce masih mencatatkan jualan kukuh, meningkat antara lapan peratus dan 50 peratus khususnya di negara yang ekonominya sedang meningkat seperti di Eropah Timur.

Jaguar, yang kini dimiliki syarikat automotif India, Tata, menjual 65,000 unit kereta berharga antara AS$30,000 (RM105,000) dan AS$60,000 (RM210,000) pada 2008, naik lapan peratus berbanding tahun sebelumnya, kata pengarah pemasaran globalnya, CJ O’Donnell.

“Seperti mereka yang lain, sudah tentu kami berasa kesan krisis, tetapi Jaguar tidak perlu menjual sehingga berjuta-juta unit kereta untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Britain masih kekal pasaran utama Jaguar, tetapi permintaannya di Amerika semakin meningkat.

Ahad lalu, Pengarah Eksekutif Jaguar, Michael Drisco melancarkan model terbaru syarikat itu, XF yang boleh memecut sehingga 362 kilometer sejam.

“Kereta ini boleh membuatkan wanita bahagia,” katanya sambil menambah beliau agak yakin dengan masa depan model itu.

Ia adalah untuk pasaran khusus dan tersendiri.

Seperti kebanyakan model eksklusif lain, hanya beberapa unit saja dikeluarkan. - AFP

“Kami menjual 2,430 Lamborghini pada 2008, naik enam peratus, dan kami mempunyai 122 pengedar, lebih 50 daripada 2007,” kata Ketua Eksekutifnya, Stefan Winkelmann pada pelancaran Gallardo LP 560 di pameran kereta Detroit.

“Lamborghini adalah gaya, Lamborghini adalah gaya hidup,” katanya sambil menambah pengeluar kereta kini lebih banyak menghasilkan kereta mengikut kehendak pembeli bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin unik.

“Kami menghasilkan kereta secara individu,” katanya.

Langkah itu membolehkan kereta sports mewah buatan Itali yang menjadi idaman itu boleh dijual sehingga AS$200,000 (RM700,000), kata pengarah jualannya, Enrico Maffeo.

AS adalah pasaran terbesar Lamborghini dengan 950 unit kenderaan itu dijual di negara itu pada 2007, tetapi jualannya jatuh sedikit kepada 750 tahun lalu dengan jualan tertinggi adalah di Eropah berjumlah 1,000 unit, kata Maffeo.

Di AS antara pemilik kereta mewah itu adalah bintang Hollywood, beberapa penyanyi rap dan peguam ternama yang kebanyakannya tinggal di New York, California dan Florida.

“Di tempat lain, kami menjual kebanyakannya di Itali, Jerman, Britain dan Switzerland. Di Russia walaupun keadaan jalan dan cuacanya agak teruk, tetapi kami masih menjual kira-kira sedozen kenderaan itu di negara berkenaan,” tambah Maffeo. - AFP

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?