-->

artikel yang agak menarik

Feb/25

akal 'veteran'..hebat x?

Monday, February 25, 2008
salam sahabat..malam ni rasa letih lak...xtau la kenapa...maybe banyak tido...huhu...rancang nak gunting rambut ari ni..tapi x potong2 gak..ishk2....bak kata kawan saya yang banyak celoteh...rambut saya dah macam cangkul...ada plak mcm tu...
Oct/10

Hargai apa yang ada

Sunday, October 10, 2010
Semalam keluar pergi jalan2 dengan kawan.. dah lama x berjalan. sebelum balik Malaysia, teringin nak kuar berjalan n kenal dengan seseorang. Alhamdulillah, dah berjalan n berkenalan..sekarang dah puas.. kepala pon dah ringan sbb 1 urusan dah selesai.
Showing posts with label dunia perniagaan. Show all posts
Showing posts with label dunia perniagaan. Show all posts

Thursday, February 12, 2009

R&D: Kenderaan masa depan
Penyelidik UIAM cipta Golleq sebagai pengangkutan pilihan atasi masalah lalu lintas

KESESAKAN lalu lintas dan kemudahan tempat letak kereta terhad dalam kampus antara masalah yang sering dihadapi kebanyakan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Masalah itu lebih ketara kini kerana kebanyakan pelajar lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam sehingga mewujudkan persaingan mendapatkan tempat letak kereta.

Biarpun pelbagai langkah diambil pihak universiti, termasuk menyediakan perkhidmatan bas, ramai pelajar menjadikan kenderaan sendiri khususnya motosikal sebagai pengangkutan pilihan yang turut mengundang masalah lain seperti pencemaran alam sekitar dan bunyi.

Menyedari permasalahan itu, penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Husin bersama pelajar jurusan Reka Bentuk Perindustrian, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Mohamad Fairuz Abdul Rahim, menemui inovasi baru untuk mengatasinya dikenali sebagai Golleq.



MUHAMMAD menunjukkan sebahagian sijil
dan pingat yang dimenangi menerusi Golleq.

Muhammad yang juga Ketua Jabatan Seni Gunaan dan Reka Bentuk kuliyyah berkenaan, berkata Golleq sesuai digunakan untuk pengangkutan pelajar dalam kampus yang dibangun menggunakan pendekatan dan teknologi magnetic levitation serta gyroscope.




PENGGUNAAN Golleq mampu mengurangkan
masalah kesesakan lalu lintas dalam kampus.


Katanya, teknologi magnetic levitation membolehkan alat itu terapung, manakala gyroscope pula berfungsi mengimbangi kedudukan pemandu apabila ia bergerak.

"Secara fizikal, Golleq lebih kurang sama dengan alat pengangkutan alternatif dikenali Segway yang kini semakin meluas digunakan di luar negara khususnya untuk tujuan rekreasi, sukan lasak, ketenteraan dan kepolisan.

"Cara pemanduan kedua-duanya lebih kurang sama tetapi yang membezakannya ialah pergerakan Golleq dibantu bebola yang dipasang di bahagian bawah alat itu, manakala Segway pula bergerak menggunakan dua roda," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Mengambil nama perkataan bahasa Melayu, 'golek' yang bermaksud berpusing, Muhammad menjelaskan, reka bentuk Golleq dibangun menggunakan besi ringan sebagai komponen utama.

Selain itu, katanya, Golleq menggunakan kuasa bateri lithium-ion yang boleh dicas semula bagi membolehkannya bergerak dengan kelajuan kurang 40 km sejam, selain berupaya menampung berat pemandu antara 60 hingga 70 kg.

Beliau berkata, keupayaan menampung berat badan pemandu amat dititikberatkan bagi mengelakkan penggunaan kuasa berlebihan yang boleh menjejaskan kelajuan alat itu.

Muhammad berkata, Golleq juga boleh dilipat untuk tujuan penyimpanan dan memudahkan ia dibawa, selain dilengkapi sistem keselamatan tersendiri serta kunci tanpa wayar yang turut berfungsi sebagai alat penggera.

Sambil menyifatkan Golleq sebagai inovasi pengangkutan masa depan, beliau berkata, penggunaan alat itu bersifat santai dan tidak membahayakan pengguna.

"Potensi penggunaan alat ini amat luas, bukan hanya untuk pelajar universiti, malah boleh diaplikasikan sebagai pengangkutan alternatif dalam kompleks beli-belah, keselamatan dan syarikat produksi.

"Sebagai pengangkutan bersifat futuristik, saya yakin inovasi ini mampu membuka mata banyak pihak untuk mengenalinya sekali gus memperbanyakkan kemudahan pengangkutan sedia ada di negara ini," katanya.

Muhammad berkata, pihaknya merancang untuk menambah baik inovasi itu dari aspek teknikal, selain membuka peluang pihak luar khususnya industri berkaitan bekerjasama mengetengahkannya kepada pasaran tempatan mahupun luar negara.

Katanya, penyelidikan yang dijalankan sejak 2007 itu buat julung kali meraih Hadiah Separa Utama (Semi Grand Prize) pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa, Seoul, Korea, pertengahan Disember lalu dan pingat perak pada International Invention & Technology Exhibition 2008, Kuala Lumpur.



Fakta Golleq

  1. Mod pengangkutan alternatif dalam kampus
  2. Bergerak sejauh 40 km sejam
  3. Berupaya menampung berat pemandu antara 60 hingga 70 kg
  4. Dilengkapi sistem keselamatan tersendiri dan kunci tanpa wayar yang turut berfungsi sebagai alat penggera
  5. Menggunakan besi ringan sebagai komponen utama serta boleh dilipat untuk dibawa ke mana saja
Sekatan ekonomi Amerika pemangkin kejayaan Iran
'TONGKAT sakti' pemimpin Iran terus memeranjatkan dunia, apa lagi selepas ia melancarkan satelit komunikasi yang pertama ke orbit minggu lalu ' satu lagi mercu tanda bagi meraikan ulang tahun Revolusi Iran ke-30 pada setiap 11 Februari.

Laluan ditempuh rakyat Iran selepas membebaskan diri daripada pemerintahan diktator Shah Iran pada 1979 penuh onak dan duri. Satu persatu cabaran dihadapi dan paling memeritkan sekatan ekonomi yang dikenakan kuasa dunia ke atas kepemimpinan Islam yang berani menumbangkan pemerintah yang pro-Amerika.

Duta Iran ke Malaysia, Mehdi Khandaqh Abadi, berkata sebelum revolusi pada 1979, rakyat Iran langsung tidak mempunyai sebarang kebebasan. Segala pergerakan dan tindak-tanduk mereka tertakluk kepada kehendak Shah Iran.

"Ketika itu tidak ada kebebasan bersuara, meluahkan perasaan atau menikmati kebebasan untuk mencipta kehebatan dalam dunia ilmu dan teknologi seperti negara lain.

"Suasana berubah selepas revolusi yang meletakkan Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin pertama Republik Islam Iran. Dunia boleh melihat, walaupun rakyat kami ditekan dengan pelbagai tindakan serta sekatan, kami bukan lagi satu bangsa yang lemah, sebaliknya kami menjadikan setiap rintangan sebagai peluang untuk mencipta kejayaan lebih besar," katanya.

Revolusi Iran pada Februari 1979 menyaksikan pemerintahan Shah Iran, Reza Pahlavi, yang pro-Amerika ditumbangkan rakyatnya sendiri dan menggantikan kuasa diktator itu dengan Khomeini, seorang ulama yang anti-Amerika.

Kewujudan Republik Islam Iran menaikkan kemarahan Amerika Syarikat dan pertelingkahan antara kedua-dua negara berlaku tidak lama selepas revolusi berakhir.

"Apa yang penting dalam perubahan pemerintahan ini ialah sokongan ke atas isu Palestin, yang mana jika Shah Iran bukan saja menyokong, malah memberi bantuan kepada Israel selepas rakyat merampas kuasa, kami pula memberi sokongan dan bantuan kepada Palestin," katanya mengenai perubahan dasar yang diperkenalkan kepemimpinan Khomeini selepas 1979.

Perubahan tidak berhenti setakat itu. Landskap pemerintahan, pertahanan, ekonomi dan sosial turut mengalami perubahan besar, terutama selepas pertelingkahan dengan Amerika, berikutan tindakan kuasa dunia itu memberi perlindungan kepada Shah Iran yang mencetus kemarahan sekumpulan pelajar Iran menawan Kedutaan Amerika di Teheran, pada 4 November, 1979.

Kumpulan yang menjadi pengikut setia Khomeini itu menawan 52 diplomat Amerika dan menahan mereka selama 444 hari. Tindakan itu dilihat ramai sebagai tamparan kepada Amerika apa lagi beberapa operasi menyelamat mereka gagal.

Krisis berakhir dengan kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Algiers di Algeria pada 19 Januari 1981, tetapi kesannya meninggalkan impak mendalam ke atas hubungan diplomatik dan ekonomi Iran.

Ketika zaman pemerintahan Shah Iran, Amerika adalah rakan dagang utama Iran dalam bidang ekonomi dan pertahanan serta terbabit aktif dalam proses pemodenan infrastruktur dan industri di Iran. Lebih 30,000 rakyat Amerika bekerja di Iran ketika itu.

Bagaimanapun, suasana dan kepesatan kemajuan Iran terencat selepas revolusi terutama selepas seluruh aset Kerajaan Iran dibekukan ketika golongan pelajar menawan Kedutaan Amerika di Teheran.

Namun, selepas Perjanjian Algiers, sebahagian daripada aset itu diserahkan semula, tetapi hubungan dengan Amerika semakin buruk apabila kuasa dunia itu mengenakan sekatan ke atas Iran untuk membeli makanan, produk perubatan dan barang ganti.

Sekatan ke atas Iran dikenakan sejak 1995, apabila Kerajaan Amerika melarang mana-mana syarikatnya mengadakan sebarang hubungan dagang dengan Iran dan pada masa sama, mengharamkan kontrak untuk membiayai pembangunan sumber minyak di Iran.

Daripada Akta Sekatan Iran dan Libya pada 1996, Kongres Amerika mengubahnya menjadi Akta Sekatan Iran (ISA) pada 2006 dan ia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011.

"Tetapi apa yang berlaku ada hikmahnya. Kami menjadikan sekatan itu sebagai satu peluang untuk menjadi negara yang boleh berdiri di atas kaki sendiri. Hari ini kami tidak lagi menjadi pengimport gandum utama dari Australia, tetapi menanam sendiri gandum dan pelbagai produk pertanian lain.

"Kekuatan kami dalam bidang sains dan teknologi semakin menyerlah, industri perubatan kami mencipta banyak penawar, termasuk untuk penyakit kanser dan Aids dan industri pembangunan nuklear untuk tujuan pembangunan.

"Walaupun terus dikenakan tindakan dengan pelbagai fitnah, terutama dari Amerika, tidak ada siapa pun termasuk badan penyiasat IAEA boleh membuat laporan bahawa ada teknologi nuklear kami digunakan untuk tujuan jahat.

"Terbaru, Iran menjadi negara Islam pertama melancarkan satelit komunikasi ke orbit. Ini semua menjadikan ulang tahun ke-30 revolusi ini diraikan dengan penuh kesyukuran kerana rakyat kami terus bersatu menjulang demokrasi yang kami kecapi pertama kali pada 11 Februari 1979," katanya.

Monday, February 9, 2009

Sime Darby pindah pusat R&D benih
Kesukaran syarikat dapatkan kawasan sesuai di Perlis punca Kedah dipilih
KESUKARAN mendapatkan kawasan tanaman benih bersesuaian adalah punca utama Sime Darby Bhd memindahkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Benih dari Perlis ke Kedah, kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zubir Murshid.

"Ketika NCER dilancarkan pada 2007, kami bercadang membina pusat benih di Perlis tetapi ia mengambil masa lebih daripada setahun untuk mencari kawasan sesuai.

"Bukan Sime Darby tidak mahu membina di sana tetapi kerajaan negeri (Perlis) tidak boleh menyediakan tanah sesuai," katanya selepas taklimat media mengenai pelancaran projek pembekalan sumber air bawah tanah dan penanam padi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada Julai 2007, jelasnya, selaras dengan pelancaran NCER, pihaknya bercadang membina pusat benih bernilai RM40 juta di Kampung Surau, Utan Aji, Perlis.

Ia dijangka berpotensi menjadi pemangkin untuk industri bioteknologi negara, selain melonjakkan imej negeri terkecil itu sebagai hab penyelidikan benih bertaraf dunia.

Selain itu, ia juga diharap dapat mengurangkan penggantungan negara kepada sumber benih dari luar yang kini dianggarkan membabitkan belanja sehingga RM100 juta setahun.

Bagaimanapun, Ahmad Zubir berkata, baru-baru ini lokasinya terpaksa dipindahkan ke Bukit Tangga, Changlun, Kedah, berhampiran kawasan projek jagung manis susulan kesukaran mendapat kawasan tanaman benih yang sesuai di Perlis.

Katanya, untuk melaksanakan projek pertanian di NCER, syarikat itu komited untuk membantu membangunkan penduduk tempatan tetapi kadang kala agak sukar mendapat maklum balas.

"Sebilangan kerajaan negeri juga tidak serius untuk melaksanakan projek. Mungkin kerana ia adalah projek pertanian bukan projek mega projek yang 'glamour'," tegasnya.

Beliau menambah, tujuan utama pelaksanaan NCER adalah untuk meningkatkan kualiti serta taraf hidup penduduk luar bandar, dan yakin Sime Darby mampu melaksanakannya menerusi pembangunan bidang pertanian.

"Bagi kes pusat benih, kawasan yang dicadang itu langsung tidak boleh ditanam biji benih dan apabila kami mengemuka masalah itu, kerajaan negeri mencadangkan beberapa kawasan baru.

"Bagaimanapun, apabila kami menemui kawasan sesuai, harga tanah di kawasan itu didapati melambung tiga kali ganda, hanya kerana 'kami adalah Sime Darby'," katanya.

Ahmad Zubir berkata, susulan penangguhan pembinaan yang terlalu lama, pihaknya sebagai perancangan utama NCER mengemukakan masalah itu dalam mesyuarat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

"Apabila kami menyatakan masalah kami. NCIA mempertimbangkan perkara itu dan kemudian, Mardi pula mencadangkan tanah mereka di Kedah (Bukit Tangga).

"Ia adalah keputusan yang dibincangkan di peringkat NCIA bukan keputusan bersendirian Sime Darby," katanya.

Selain itu, konglomerat turut menyatakan kekecewaan dalam melaksanakan insentif projek tanaman jagung manis di Bukit Tangga, antara komponen dalam pelan induk NCER susulan kurang penyertaan penduduk tempatan.

"Kami sudah melabur sehingga RM12 juta dalam projek jagung di Kedah. Idea projek jagung itu adalah untuk menyokong dan menjana pendapatan petani tempatan.

"Kami bercadang untuk melatih 60 petani setiap enam bulan, namun ia cuma disertai oleh 12 orang dan selepas sebulan semua 'hilang'," katanya.


Celcom mahu lancar 24 khidmat tambah nilai
CELCOM (Malaysia) Bhd yakin pelan strategik yang dilaksanakan khusus bagi menambah nilai perkhidmatan sedia ada mampu membuka semula ruang pasaran perkhidmatan telekomunikasi kini mencapai tahap tepu.

Ketua Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata bagi tujuan itu, pihaknya berhasrat melancarkan 24 perkhidmatan tambah nilai yang dibangunkan oleh pemenang Cabaran Pembangunan Perisian anjuran 'League Of Extraordinary Developers Challenge 2008 (LEDC)' sepanjang tahun ini.

Katanya, Celcom menawarkan pasaran bagi setiap pembangunan perisian yang diusahakan oleh pemenang dan hanya menetapkan perkongsian keuntungan sebanyak 20 peratus untuk perkhidmatan syarikat terbabit.

"Kita yakin ia (perisian tambah nilai) akan membawa keuntungan besar kepada syarikat berdasarkan maklum balas pengguna, malahan syarikat besar seperti Khazanah Nasional Bhd, Petronas, CIMB Group serta syarikat tempatan lain menunjukkan minat dan sudah bersama kita.

"Kebanyakan syarikat ketika ini mahukan perkhidmatan tambah nilai yang akan menguntungkan mereka dan kita (Celcom) mahu menjadi syarikat pertama yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai menepati keperluan mereka serta pengguna lain," katanya selepas majlis pengumuman pemenang LEDC, di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

Sebanyak lima pemenang LEDC kumpulan pertama diumumkan berdasarkan kriteria masing-masing iaitu Blue Horus Solution Sdn Bhd, Iridea (M) Sdn Bhd, Buzznet Sdn Bhd, Sabsebolo Sdn Bhd dan Seednet Sdn Bhd.

HPA sasar buka 20 restoran RFC
Program pengembangan dilaksana susulan sambutan baik cawangan pertama
HPA Industries Sdn Bhd (HPA), syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang terkenal dengan produk Kopi Radix, mensasar untuk membuka 20 restoran Radix Fried Chicken (RFC) di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

Pengarah Urusannya, Ismail Ahmad, berkata program pengembangan itu susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai untuk cawangan pertama RFC yang dibuka di Lagenda Heights, Sungai Petani, Kedah, Jun tahun lalu.

Katanya, kewujudan RFC akan merancakkan lagi industri makanan segera yang mempunyai potensi yang cukup luas untuk diusahakan di negara ini.

Beliau berkata, syarikat itu menawarkan francais kepada 500,000 ahlinya di seluruh negara untuk membuka RFC melalui kaedah perkongsian mudharabah yang mana modal diperlukan bagi sesebuah restoran adalah hampir RM1.5 juta, bergantung kepada lokasi.

"Usaha sama dibuat mengikut kaedah perkongsian mudharabah yang mana RFC bertindak sebagai pihak yang mengurus (modal dan pentadbiran), sementara pemodal bertindak sebagai penyumbang modal saja.

"Nisbah keuntungan yang ditawarkan RFC ialah ialah 50:50 antara HPA dan pemodal. Keuntungan pula berdasarkan untung bersih bulanan," katanya selepas perasmian cawangan kedua RFC oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Shahab Perdana, Alor Setar, kelmarin.

Ismail menjelaskan, semua produk digunakan di RFC, termasuk sos dan minuman adalah keluaran HPA yang berasaskan herba dan bebas daripada bahan kimia.

Katanya, RFC menggunakan ayam organik yang diternak sendiri HPA dan dijamin bebas daripada vaksin kerana menggunakan herba sebagai makanannya seperti daun mambu, kunyit dan tongkat Ali.

Selain ayam goreng asli dan pedas yang menggunakan ramuan herba terpilih, RFC juga menyediakan pelbagai set makanan lain termasuk burger, sosej, kentang goreng dan putar, sayur bermayonis dan ais krim.

RFC turut menyediakan minuman Kopi Radix, Cola Radix, Sarsi Radix selain jus roselle dan mangga.

"Kewujudan RFC juga membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang berminat untuk bekerja di setiap cawangan yang diwujudkan.

"Kita juga bersedia menimbang untuk mendapatkan ayam organik yang diusahakan oleh penternak tempatan, sekiranya ia mengikut standard yang ditetapkan," katanya.

Ismail menambah, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya akan membuka cawangan ketiga RFC di Kepala Batas, Pulau Pinang.

HPA kini memiliki empat kilang serba moden dan mengusahakan ladang ternakan ayam, itik, lembu dan kambing organik selain herba rossele, pegaga, misai kucing, jagung, serai dan pisang seluas 200 hektar untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi.


sumber: bharian

Pertumbuhan Negara Teluk susut
Pendapatan eksport minyak mentah dijangka hilang kira-kira AS$300 bilion

PERTUMBUHAN ekonomi negara pengeksport minyak di kalangan Negara Teluk diunjurkan susut hampir separuh kepada 3.5 peratus tahun ini berikutan pengurangan pendapatan kira-kira AS$300 bilion daripada eksport minyak mentah, kata Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Arab Saudi dan lima negara jirannya dalam kumpulan pengeksport terbesar dunia di rantau berkenaan kemungkinan mencatatkan defisit 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding lebihan 22.8 peratus daripada KDNK pada 2008, kata IMF.

"Pertumbuhan KDNK sebenar pada 2009 untuk Negara Teluk � termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Oman dan Bahrain � akan susut daripada 6.8 peratus tahun lalu," kata Pengarah IMF bagi Asia Barat dan Asia Tengah, Masood Ahmed, dalam kenyataan di Dubai, semalam.

"Kelembapan ekonomi global akan dengan jelas memberi kesan ketara ke atas pertumbuhan menerusi penurunan dalam eksport, pelan-congan, pengiriman wang dan kos kredit yang tinggi.

"Bagaimanapun, perbelanjaan oleh pengeksport minyak akan mengurangkan kesan ke atas negara yang mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang rapat," kata Ahmed.

Negara pengeksport minyak Asia Barat kemungkinan mencatat defisit akaun sehingga AS$30 bilion pada 2009 selepas merekodkan lebihan AS$400 bilion tahun lalu, kata IMF.

Banyak negara di rantau Teluk mengekalkan perbelanjaan awam yang tinggi tahun ini, walaupun ia akan menjurus mereka defisit untuk menyokong ekonomi mereka, ketika krisis kewangan global mengheret negara maju ke dalam keme-lesetan.

"Dengan terus berbelanja, negara pengeksport minyak memberi sumbangan besar dalam menyokong permintaan global dan bertindak sebagai penstabil ketika kelembapan global," kata Ahmed.

Beliau memberi amaran risiko tinjauan masa depan 'adalah menjurus ke arah menurun' susulan pertumbuhan global yang perlahan kepada 0.5 peratus tahun ini.

"Kemelesetan ekonomi yang berpanjangan akan memberi kesan yang lebih teruk ke atas eksport, pelancongan dan pengiriman wang," katanya. � Reuters

sumber: BERITA HARIAN

Sunday, January 18, 2009

PTP tarik lebih banyak syarikat perkapalan asing


PELABUHAN Tanjung Pelepas.

Firma peruntuk RM4b tingkat kemudahan infrastruktur






PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, yang berada di kedudukan ke-17 di kalangan pelabuhan kontena paling sibuk di dunia, bakal menarik beberapa lagi syarikat perkapalan antarabangsa terkemuka menempatkan operasi di pelabuhan itu dengan satu daripadanya akan berbuat demikian tahun ini.

Meskipun sektor perkapalan dunia berasa keperitan ekoran tekanan kelembapan ekonomi global yang menyebabkan penurunan perdagangan, PTP, kini berada di landasan terbaik untuk memanfaatkan peluang ketika krisis yang berlaku ketika ini, kata seorang sumber yang rapat syarikat pengendali pelabuhan itu.

Katanya, sebagai terminal kontena terbesar negara, PTP melihat krisis itu menyediakan peluang terbaik menarik lebih banyak lagi syarikat asing menempatkan operasi mereka di situ.

"Justeru, syarikat itu akan membawa masuk beberapa lagi syarikat perkapalan asing dan kini berada sedang dalam peringkat akhir rundingan untuk membawa satu daripadanya tahun ini," katanya kepada Berita Harian.

Antara syarikat asing terkemuka yang beroperasi di PTP ketika ini adalah Evergreen dan Maersk.

Bagi menyediakan kemudahan kelas dunia yang dapat menarik lebih banyak lagi syarikat perkapalan asing beroperasi di situ, PTP difahamkan memperuntukkan RM4 bilion untuk pengembangan infrastrukturnya.

Antara lain, ia sedang menyiapkan kerja menebus guna tanah bagi pembinaan beberapa dermaga baru, yang mana dua daripadanya dijangkakan siap tidak lama lagi sementara dua lagi akan siap untuk digunakan menjelang 2011.

Tahun lalu, PTP merekodkan pengendalian kontena berjumlah 5.6 juta TEU dan kapasiti di pelabuhan itu dijangkakan meningkat kepada 9.5 juta TEU menjelang 2010 dengan siapnya pembinaan dua dermaga baru.

Jumlah kendalian bagi tahun kewangan 2009 turut dijangkakan meningkat berikutan penambahan jumlah kapasiti daripada beberapa pelanggan sedia adanya, terutama daripada MISC.

Mengulas mengenai rancangan pengendali pelabuhan itu, Ketua Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Vincent Khoo, berkata jika kemasukan syarikat perkapalan terkemuka itu menjadi kenyataan, ia bakal memberikan penambahan kapasiti PTP sebanyak dua juta TEU.

Bagaimanapun, katanya perkara ini tidak menjadi masalah kepada PTP kerana pengendali pelabuhan itu berupaya untuk menampung penambahan kapasiti baru bersandarkan kepada kemudahan terbaik dan bertaraf dunia yang dimilikinya.

"Ia bukan saja dapat menampung penambahan dua juta TEU, malah, berupaya menempatkan lagi ruang untuk sejuta lagi TEU dalam satu-satu masa," katanya.

Justeru, katanya, perkembangan ini bakal memberi impak positif terhadap tinjauan masa depan pengendali pelabuhan itu.

"Kerjasama 70:30 dengan MISC baru-baru ini akan memberi peluang kepada PTP untuk memanfaatkan hubungan eksklusif MISC dengan ahli syarikat perkapalan global lain dalam usaha menarik lebih banyak lagi kargo beroperasi di pelabuhan itu," jelasnya.
Pasaran saham dijangka pulih tahun ini
PASARAN saham di negara sedang berkembang, termasuk Malaysia dijangkakan pulih tahun ini berikutan meningkatnya pergerakan masuk dana asing, kedudukan rizab asing yang tinggi serta paras hutang yang rendah, kata pakar pengurus dana bagi pasaran baru muncul, Mark Mobius.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan yang baik itu, pertumbuhan ekonomi negara berkenaan turut diunjurkan kembali kukuh pada 2010, meskipun beberapa negara maju lain dijangkakan masih lagi mengalami kesan daripada kelembapan ekonomi global.

"Kami mengunjurkan tahun ini bakal menjadi tahun bagi pemulihan pasaran saham di pasaran negara sedang berkembang berikutan kelebihan mereka memiliki jumlah rizab tukaran asing besar, sementara 2010 adalah tahun untuk ekonomi kembali kukuh," kata Mobius yang juga Pengerusi Eksekutif Templeton Asset Management Ltd.

"Selain itu, kami turut melihat pergerakan masuk dana asing juga semakin meningkat, terutama di pasaran saham di negara berkenaan yang mana sektor pengguna dan komoditi menjadi dua segmen pilihan utama di kalangan dana asing di tengah ketidaktentuan ekonomi global ketika ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah mengenai pelaburan di pasaran negara sedang berkembang, dalam program Siri Kepimpinan Pengurusan Kekayaan Citigold di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Tanpa mengesyorkan mana-mana saham yang berkait dengan segmen pengguna dan komoditi, Mobius berkata Templeton lebih menjurus kepada saham syarikat yang berkaitan komoditi seperti emas, besi, timah dan minyak sawit mentah.

Templeton adalah firma pengurusan dana terkemuka dunia yang kini mengurus dana bernilai kira-kira AS$30 bilion di dalam aset pasaran negara sedang berkembang.

Mobius berkata, dengan adanya kelebihan itu, pasaran negara sedang berkembang seharusnya berkebolehan mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi lebih tinggi berbanding negara maju.

Katanya, pasaran negara sedang berkembang dijangka merekodkan pertumbuhan purata ekonomi 2.4 peratus tahun ini berbanding penurunan 1.6 peratus di negara maju.

Bagi rizab tukaran asing, Mobius berkata, Asia, termasuk Malaysia telah menghimpunkan rizab asing yang agak besar, menjadikan negara itu berada di kedudukan terbaik untuk menangkis sebarang kesan kelembapan ekonomi luar.

Katanya, antara negara yang mempunyai rizab asing terbesar ialah China (AS$1.9 trilion), Russia (AS$437 bilion), Korea Selatan (AS$200 bilion, Taiwan (AS$281 bilion), dan India (AS$246 bilion).

Malaysia, setakat 31 Disember 2008 memiliki rizab asing berjumlah RM316.8 bilion (AS$91.4 bilion).
Malaysia lokasi pilihan khidmat penyumberan luar

CYBERJAYA berpotensi untuk menarik lebih banyak operasi firma teknologi terkemuka dunia.

Firma industri teknologi tak yakin selepas skandal penipuan di India



MALAYSIA, yang kini berada di tangga ketiga sebagai lokasi pilihan bagi perkhidmatan penyumberan luar (BPO), berupaya memperbaiki kedudukannya dalam masa terdekat ini susulan skandal penipuan yang melanda industri teknologi di India.

Penganalisis teknologi di OSK Research, Shin Kao Jack, skandal penipuan membabitkan Satyam Computer Services Ltd yang tercetus awal bulan ini menjejaskan keyakinan firma teknologi terkemuka dunia terhadap India yang sebelum ini amat popular dengan kecekapan dalam tadbir urus korporatnya.

"Sejak skandal Satyam Computer di India, ditambah pula dengan laporan yang menyatakan Wipro dan MegaSoft Consultants turut disenarai hitam oleh Bank Dunia, kini wujud satu keadaan yang mana firma teknologi terkemuka dunia waswas dengan syarikat BPO India.

"Mereka (firma teknologi terkemuka dunia) kini dikatakan sedang mencari opsyen untuk memindahkan operasi penyumberan luar mereka dan Malaysia adalah satu pilihan utama mereka," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Justeru, Shin berkata, Malaysia, menerusi Cyberjaya, yang memiliki sistem prasarana maklumat yang mantap, sumber tenaga kerja yang dinamik, polisi yang mesra pelabur dan kos yang rendah, bakal beroleh manfaat daripada skandal yang berlaku di India dan berpotensi untuk menarik lebih banyak lagi firma teknologi terkemuka menempatkan operasi mereka di Cyberjaya.

Skandal penipuan di India itu terdedah awal bulan ini apabila pengasas Satyam Computer yang juga bekas Pengerusinya, B Ramalinga Raju, berjanji untuk mendedahkan akaun syarikat berserta 'aset palsu dan tunai yang tidak pernah wujud' dalam satu surat luar biasa kepada lembaga pengarah syarikat.

Syarikat itu � yang kini bergelut untuk mengelak daripada bankrap � tidak lagi mampu menutup penipuan bernilai AS$1 bilion itu selepas rundingan bagi menyelamatkan syarikat yang bergelut itu ditutup, kata Raju dalam surat itu.

Raju meletakkan jawatannya di Satyam pada hari yang sama, bersama-sama dengan adiknya yang juga bekas Pengarah Urusan, B Rama Raju.

Kedua-dua beradik itu ditahan dan didakwa minggu lalu atas tuduhan konspirasi jenayah, penipuan, pecah amanah dan memalsukan dokumen.

Satyam Computer yang beribu pejabat di selatan negeri Andhra Pradesh, menggaji kira-kira 53,000 orang � di kalangan dua juta rakyat India yang bekerja dalam industri teknologi tinggi yang melonjak di negara itu yang mana tahun lalu menghasilkan pendapatan kira-kira AS$40 bilion.

Pelanggan syarikat itu termasuk beberapa syarikat utama dalam senarai Fortune 500, antaranya Nestle, General Electric dan Ford Motors.
Cawangan Forest' Secret dibuka di London, Jeddah
Usaha syarikat tembusi pasaran Eropah, Asia Barat, Afrika Utara

FOREST'SECRET, jenama produk kesihatan dan kecantikan yang mengkhusus dalam herba inovatif, bersedia untuk menembusi pasaran luar negara, terutama di Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara.

Forest'Secret Sdn Bhd adalah pemilik dan pencipta jenama Forest'Secret, jenama produk berasaskan herba premium.

Ia adalah anak syarikat milik penuh Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), syarikat pemegangan pelaburan francais dan pencipta jenama Perbadanan Nasional Bhd (PNS).

Ketua Eksekutifnya, Shahrul Azlan Zulkifli, berkata, syarikat itu menjangka dapat membuka cawangan di London dan Jeddah tahun ini.

"London akan menjadi pintu masuk yang sesuai ke Eropah, manakala Jeddah ke pasaran halal Asia Barat dan Afrika Utara.

"Kami memperhebatkan usaha untuk mendapatkan semua kelulusan dan pengesahan yang perlu untuk memasuki pasaran serta menyelesaikan kajian pasaran untuk kedua-dua pasaran itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Shahrul berkata, Mesir akan menjadi destinasi berikutnya memandangkan ia mempunyai pasaran lebih enam juta orang dengan bandar besar dan gaya hidup moden yang sesuai untuk jenama halal premium dalam kecantikan dan kesihatan.

Bagaimanapun, katanya pasaran di Arab Saudi sama besarnya dengan banyak bandar besar, malah bandar baru sedang dalam pembinaan yang akan menjadikan syarikat itu sibuk untuk beberapa tahun.

Katanya, usaha sekarang kini adalah untuk mendapatkan pemegang francais induk yang akan memperoleh hak dan menguruskan francais itu di Arab Saudi.

"Kami sentiasa meletakkan Forest'Secret sebagai jenama premium dan menetapkan harga produk kami pada pasaran kelas pertengahan dan atasan," katanya.

Dalam persekitaran ekonomi yang lembap, jenama pertengahan paling terjejas kerana golongan kelas pertengahan, akan sama ada mencari jenama secara besar-besaran atau bagi yang mempunyai lebih banyak wang akan mencari jenama premium yang menjadi lebih mampu dimiliki sekarang ini dengan harga mereka turun sedikit.

Shahrul berkata, syarikat itu tidak melihat kelembapan dalam permintaan pengguna, cuma mereka berbelanja secara berhemat disebabkan oleh ketidaktentu-an.

Mengenai persaingan dalam industri, beliau berkata, syarikat itu tidak bersaing dengan jenama tempatan.
Analisis Saham: Pertumbuhan VisDynamics diunjur perlahan
Industri semikonduktor berdepan risiko pemberhentian pekerja berikutan permintaan kurang

TINJAUAN industri semikonduktor tahun ini diunjurkan kurang memberangsangkan dengan keseluruhan pengeluaran dan permintaan dijangka berkurangan.

Industri itu berdepan risiko masalah pembuangan pekerja, manakala wujud kemungkinan syif operasi dikurangkan.

Ini tidak terkecuali buat VisDynamics Holdings Bhd yang terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk, memasang dan menguji peralatan bagi industri Peralatan Ujian Automatik (ATE) untuk sektor semikonduktor.

VisDynamics mencatat kerugian bersih RM799,000 pada suku kewangan keempat berakhir 31 Oktober 2008 berbanding keuntungan bersih RM496,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan suku dikaji susut 6.6 peratus kepada RM3.584 juta daripada RM3.837 juta.

Ia mencatat kerugian bersih terkumpul RM1.461 juta sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2008 berbanding keuntungan bersih RM295,000 sebelumnya.

Pendapatannya tahun kewangan lalu susut sedikit 3.1 peratus kepada RM9.311 juta daripada RM9.612 juta.

Keuntungannya pada tahun kewangan 2008 juga terjejas oleh perbelanjaan tambahan daripada kerja menaik taraf mesin.

Pada peringkat operasi, ia mencatat kerugian RM0.2 juta (sebelum perkara luar biasa) untuk suku dalam kajian berbanding keuntungan RM400,000 suku sama tahun sebelumnya.

Sungguhpun demikian, Standard & Poor's berpendapat prestasi kewangan VisDynamics tahun lalu adalah lebih baik daripada jangkaan kerana kerugian yang dicatatkan adalah lebih rendah daripada ramalan awal.

Mengambil kira tinjauan ekonomi global yang suram, permintaan daripada pelanggan VisDynamics dijangka kekal perlahan dalam tempoh terdekat.

Justeru, Standard & Poor's mengurangkan anggaran kerugian bersih RM0.2 juta untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Oktober 2009 daripada keuntungan bersih RM0.1 juta sebelum ini.

Dengan pembetulan harga saham VisDynamics, firma itu menaikkan cadangan kepada 'Jual' daripada 'Jual Padu' sebelumnya.

Harga sasaran 12-bulan pula dinaikkan kepada RM0.17 daripada RM0.13 sebelum ini.

Berikutan jangkaan syarikat berkenaan akan kekal menanggung kerugian dalam tahun kewangan semasa, metodologi penilaian Standard & Poor's disemak semula kepada asas P/B, berbanding campuran PER dan P/B sebelum ini.

Harga sasaran firma itu berdasarkan 0.7 kali penilaian P/B pada tahun kewangan semasa (berbanding campuran 7 kali PER dan satu kali penilaian P/B berdasarkan metodologi sebelum ini).

Mengambil kira kelembapan ekonomi dunia, tinjauan jangka pendek bagi industri ATE kekal lembap.

Sehubungan itu, Standard & Poor's mengekalkan pandangan yang prestasi harga saham VisDynamics berkemungkinan di bawah pasaran.

Risiko kepada cadangan dan harga sasaran berkenaan termasuklah pertumbuhan ekonomi global yang lebih cepat daripada jangkaan; peningkatan semua permintaan dalam sektor semikonduktor yang akan memberikan impak positif kepada pendapatan; dan penyusutan nilai ringgit, yang memberikan impak positif ke atas pendapatan syarikat.

Sementara itu, SJ Securities mencadangkan risiko kepada prestasi kewangan VisDynamics termasuklah penyusutan lanjut permintaan dalam sektor semikonduktor.

Ia menjangkakan tinjauan berkenaan akan berlanjutan kepada beberapa suku lagi tahun ini.

SJ Securities yang sebelum ini merendahkan ramalan awalnya ke atas syarikat berkenaan untuk mencerminkan persekitaran sebenar industri semikonduktor, telah menilai harga saham VisDynamics pada RM0.19 sesaham berdasarkan diskaun 20 peratus kepada aset bersih sesaham.

Harga saham VisDynamics ialah pada RM0.20 pada 2 Januari lalu dan mengekalkan aliran menurun.

Bagaimanapun, ada kemungkinan harganya sudah begitu hampir mencecah paras dasar.

Aliran bearis semasa dijangka berterusan dalam separuh pertama tahun ini.

Berdasarkan tiga kegawatan lalu, pasaran bearis akan berakhir pada atau selepas suku pertumbuhan KDNK terburuk, sebelum rali bulis bermula.
Dua kereta pada satu harga

DERETAN kereta tak dijual dekat Sheerness di Kent, Tenggara England. Jualan kereta baru di Britain menyaksikan kejatuhan 20 peratus Disember lalu.








Langkah radikal tangani keaan kejatuhan pasaran automotif Britain

KEJATUHAN ekonomi yang teruk mencetuskan beberapa tawaran jualan luar biasa di Britain, seperti dua kereta ditawarkan pada harga sebuah kereta.

Tawaran yang menarik itu diadakan oleh mereka yang yakin bahawa perkara seperti itu adalah sesuatu yang logik, demikian mengikut penjual kereta secara dalam talian, Broadspeed.com yang mendakwa berjaya menggegarkan pasaran dengan langkahnya yang radikal.

Alasan pemiliknya, Simon Empson adalah jika harga saham di pasaran saham jatuh sebanyak 40 peratus, maka harga barang pengguna juga perlu turut jatuh.

"Kemelesetan? Tiada kemelesetan, ia hanya keadaan harga yang tidak betul," kata Empson.

Berikutan itu, pada September lalu, laman webnya yang berpangkalan di Colchester yang terletak di tenggara England, memberi peluang kepada pelanggan memandu pulang dua kereta Subaru B9 baru dengan hanya membayar untuk harga sebuah kereta.

Tawaran itu menjadi popular dengan serta-merta.

Empson yang enggan menyatakan jumlah sebenar jualan, berkata beliau menjual 'beratus-ratus' kereta.

Beliau mengulangi taktik itu dua bulan lalu, kali ini dengan menawarkan dua kereta salon Dodge Avenger SXT lengkap dengan tempat duduk kulit dan pendingin hawa pada harga £20,000 (RM101,500), iaitu pada harga sebuah kereta.

Apabila media melaporkan tawaran itu, minat daripada pembeli datang mencurah-curah.

"Lebih daripada 10,000 orang cuba memasuki laman web kami setiap jam," kata Empson.

"Kereta Dodges itu berjaya dihabiskan dalam masa kurang daripada seminggu.

"Dengan diskaun yang kecil, mungkin kereta itu mengambil masa bertahun-tahun untuk dijual," katanya.

Tawaran terbaru beli satu, dapat satu model percuma Broadspeed adalah bagi model Kia Magentis yang mana dua kereta boleh dibeli pada harga £15,220 � dan Empson berkata dia bersedia melancarkan satu lagi tawaran 'daripada pengeluar besar yang menghadapi masalah kewangan'.

Pasaran katanya, adalah sangat teruk daripada mana-mana tempoh dalam tempoh sepuluh tahun lalu, yang menyebabkan pengeluar kereta sangat terdesak untuk menjual kenderaan baru.

Pada 2008, jualan kereta baru di Britain jatuh kepada paras terendahnya dalam tempoh 12 tahun dan Persatuan Pengeluar dan Pengedar Kenderaan Bermotor negara itu memberi amaran keadaan akan menjadi lebih buruk tahun ini apabila negara sedang menuju kemelesetan.

"Pada kebiasaannya, pengeluar mempunyai stok kereta tidak terjual bagi tempoh sebulan atau setengah bulan. Sekarang mereka mempunyai stok untuk enam bulan dengan setiap minggu ada penghantaran baru dengan 2,000 kereta," kata Empson.

Presiden Persatuan Automotif Britain (AA), Edmund King, berkata ramai pengedar kereta mempunyai banyak stok yang tidak boleh dialihkan.

"Berita baik kepada pengguna adalah ada banyak tawaran menakjubkan di luar sana," katanya.

Bagi pasaran hartanah yang turut terjejas, ada pemaju perumahan yang menawarkan untuk membayar bil elektrik untuk tempoh 12 bulan ke atas pemilik rumah baru.

Bagaimanapun, syarikat hartanah Fivewalk Homes menawarkan sesuatu yang lebih daripada itu, ia memberi kereta sports Aston Martin bernilai £110,000 kepada pembeli pertama sebuah daripada empat hartanah mewah yang dimajukannya di Eastbourne, terletak di tenggara pantai Britain. � AFP
Singapura turunkan lagi unjuran pertumbuhan
SINGAPURA yang dilanda kemelesetan akan menurunkan lagi unjuran pertumbuhan ekonominya bagi tahun ini disebabkan situasi global yang semakin buruk, kata Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong.

Ini bermakna unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu akan menjadi lebih rendah daripada dua peratus yang diunjurkan kerajaan pada dua minggu lalu.

Lee dalam kenyataannya yang disiarkan akhbar Straits Times, berkata langkah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi buat kali kedua dalam tempoh sebulan itu disebabkan perkembangan luar jangkaan seperti kejatuhan mendadak luar jangkaan nilai eksport utama bagi Disember sebanyak 21 peratus.

Beliau berkata, beberapa siri pertemuan antara ahli perniagaan dan kesatuan perdagangan turut mengesahkan tinjauan ekonomi yang lebih buruk itu.

"Situasi ketika ini adalah lebih muram berbanding pada Tahun Baru," katanya.

Beliau dipetik sebagai berkata, kren yang tidak bergerak di terminal kontena Singapura menandakan kejatuhan mendadak perdagangan global, dan ada sebuah syarikat yang mempunyai timbunan barang yang menyamai keluaran untuk tempoh enam bulan tetapi tiada pembeli.

Kebanyakan ahli ekonomi di sektor awam mengunjurkan kadar KDNK, iaitu nilai semua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara, akan menguncup sebanyak tiga peratus, dan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka berkata ia boleh jatuh sehingga lima peratus.

Lee berkata, angka pertumbuhan KDNK yang baru akan diumumkan sebelum pembentangan bajet negara itu Khamis ini.

Ramai menjangkakan bajet itu akan mengandungi langkah bagi membantu perniagaan dan rakyat negara itu berdepan dengan kemelesetan ekonomi. � AFP

Wednesday, January 14, 2009

Petronas, Proton komited bantu usahawan Muslim
Daya saing peserta industri petroleum, automotif dipertingkat

PETRONAS akan terus membantu usahawan Islam tempatan meningkatkan perniagaan mereka supaya dapat bersaing dengan usahawan lain, terutama dalam industri pembekalan minyak, kata Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Korporat Petronas, Ahmad Nizam Salleh.

Beliau berkata, ini terbukti apabila anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd, berjaya membantu melahirkan hampir 700 usahawan Islam sebagai pengusaha stesen minyak.

Katanya, sejak Petronas Dagangan ditubuhkan pada 1981 bagi memasarkan bahan bakar di stesen minyak miliknya, Petronas sehingga kini mempunyai hampir 950 stesen servis dan berjaya menguasai 44 peratus pasaran runcit minyak tempatan.

"Setakat akhir tahun lalu, ada seramai 750 pengusaha stesen minyak Petronas, yang mana lebih 90 peratus adalah daripada usahawan Islam," katanya dalam sesi soal jawab selepas pembentangan kertas pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mewakili Presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican membentangkan kertas kerja bertajuk 'Memperkasakan Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan Dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia'.

Mohd Hassan dalam kertas kerjanya berkata, bagi memastikan jenama minyak Petronas dapat bersaing lebih kompetitif dengan pesaing jenama petroleum lain, Petronas Dagangan akan terus membuat pembaharuan dan perubahan.

Ketika ini, Petronas beroperasi di lebih 30 negara yang operasi luar negaranya menyumbang kira-kira 40.3 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan kumpulan.

Sementara itu, Proton Holdings Bhd mewujudkan pelbagai peluang perniagaan kepada masyarakat Islam tempatan dan luar negara menerusi kejayaannya menyemarakkan industri automotif tempatan dan mengeksport kereta nasional ke -8 negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata sejak ditubuhkan 24 tahun lalu, Proton kini bukan saja mampu mereka bentuk dan menghasilkan sendiri kereta keluarannya, malah membangunkan ramai usahawan selaku vendor dan pengedarnya, sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Katanya, selepas yakin dengan keupayaan pasaran domestiknya, Proton kini agresif meneroka pasaran eksport dengan tumpuan terhadap pasaran tradisi seperti Afrika dan Asia Barat serta membangunkan pasaran pertumbuhan tinggi baru seperti China, India dan Indonesia.

"Proton melihat wujud potensi eksport besar di kalangan negara terbabit terutama Asia Barat dan negara Islam di Afrika Utara.

"Proton juga melihat peluang untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di negara terbabit dalam membantu memajukan ekonomi sesama negara Islam," katanya dalam kertas kerja bertajuk 'Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan Dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia'.

Antara negara Islam yang menjadi pasaran eksport Proton ialah Iran, Arab Saudi, Oman, Qatar, Mesir dan Indonesia.

Syed Zainal berkata, syarikat itu mempunyai kira-kira 12,000 kakitangan yang mana 90 peratus daripadanya adalah beragama Islam, selain turut memiliki syarikat automotif Lotus di United Kingdom yang memiliki 1,200 kakitangan dan beberapa cawangan di seluruh dunia.
MAS mansuh surcaj bahan api tambang domestik

KAPAL terbang MAS.

Langkah tingkat daya saing syarikat, rancakkan pelancongan

PENERBANGAN Malaysia (MAS) memansuhkan surcaj bahan api bagi tambang domestik berkuat kuasa hari ini selepas mengambil kira penurunan dalam harga minyak di pasaran dunia.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala, langkah itu juga bertujuan meningkatkan lagi daya saing syarikat penerbangan kebangsaan itu, selain membantu merancakkan sektor pelancongan domestik.






"Pemansuhan ini adalah sejajar dasar MAS yang sentiasa menawarkan harga tambang berdaya saing yang selalu dijadikan perbandingan oleh syarikat penerbangan lain.

"Pada kami, jumlah tambang keseluruhan yang dibayar penumpang mestilah berdaya saing, tidak kira sama ada ia hanya meliputi harga tambang atau gabungan antara harga tambang dengan surcaj. Jumlah tambang keseluruhan berkenaan yang penting," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.




Beliau berkata, pemansuhan surcaj bahan api itu akan menyaksikan harga tambang lebih murah bagi pakej MH Value Fares yang menawarkan empat pilihan tambang untuk penerbangan kelas ekonomi merangkumi pakej MHlow, MHbasic, MHsmart dan MHflex.

Selain mendapat faedah daripada pemansuhan surcaj bahan api, empat pilihan tambang itu turut menawarkan diskaun tambahan iaitu sehingga 70 peratus bagi MHlow, sehingga 50 peratus bagi MHbasic dan sehingga 20 peratus bagi MHsmart.


MAS sebelum ini menurunkan surcaj bahan api bagi penerbangan dari Malaysia ke Korea, Jepun, Paris, Hong Kong dan Singapura serta dari lain-lain stesen ke pelbagai destinasi.

Bagi penerbangan dari Malaysia, pengurangan itu adalah sebanyak RM126 (AS$36) untuk penerbangan ke Korea, RM105 (AS$30) ke Jepun, RM80.50 (AS$23) ke Paris, RM38.50 (AS$11) ke Hong Kong dan RM28 (AS$8) ke Singapura.

"Kami sentiasa menyemak semula surcaj ini supaya ia sejajar penanda aras surcaj bahan api antarabangsa supaya kami dapat memberikan saingan kepada pesaing.

"Di pasaran di mana ada syarikat penerbangan utama yang lain, kami akan menurunkan surcaj jika mereka menurunkannya. Di pasaran di mana MAS menjadi peneraju, kami akan menilai faktor permintaan dan penawaran penumpang," tambah Idris.

Beliau berkata, di sebalik kejatuhan harga minyak baru-baru ini, kos bahan api MAS masih tinggi apabila dibandingkan ketika surcaj bahan api mula diperkenalkan pada 2004.

"Bahan api kekal sebagai kos terbesar kami dan bil bahan api MAS bagi tahun kewangan 2008 akan menjadi lebih tinggi daripada 2007 kerana pengenaan surcaj bahan api hanya meliputi kira-kira 30 peratus daripada kos bahan api," katanya.

Syarikat penerbangan menggunakan minyak pesawat yang harganya adalah lebih tinggi berbanding minyak mentah.

Kelmarin, harga minyak pesawat adalah AS$60.60 setong berbanding harga minyak mentah pada AS$40.83 setong.
Tinjauan Pasaran: Tiada berita penggerak pasaran
Sentimen masih dipengaruhi kejatuhan Wall Street, kemelesetan global

HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup rendah semalam dengan pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan baru-baru ini, berikutan kekurangan berita yang boleh menggerakkan pasaran.

Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup pada 876.40, susut 4.10 mata, didahului kerugian saham berkaitan perladangan seperti IOI Corporation dan Kuala Lumpur Kepong. Indeks dibuka 3.65 mata lebih rendah pada 919.92 pagi semalam.

IOI Corporation merosot 20 sen kepada RM3.80 dan Kuala Lumpur Kepong turun 15 sen kepada RM9.85.

Peniaga juga mengaitkan sentimen lemah kepada kejatuhan semalaman Wall Street dan juga pasaran serantau, diketuai saham komoditi memandangkan kemelesetan global yang kian teruk menyebabkan permintaan rendah untuk bahan mentah.

Pada penutup, Indeks Perindustrian berkurangan 6.22 mata kepada 2,125.68, Indeks Kewangan susut 65.17 mata kepada 7,292.89 dan Indeks Perladangan lebih rendah 129.67 mata kepada 4,428.33.

Indeks FBMEmas turun 57.9 mata kepada 5,986.29, FBM30 kehilangan 50.68 mata kepada 5,896.9 dan FBMMesdaq merosot 37.02 mata kepada 3,317.46 tetapi FBM2BRD pula menokok 2.64 mata kepada 3,987.4.

Saham rugi mengatasi saham untung dengan 323 berbalas 158, sementara 189 kaunter tidak berubah, 583 tidak diniagakan dan 29 lagi digantung.

Jumlah dagangan lega kepada 515.745 juta saham bernilai RM760.196 juta daripada penutup kelmarin 574.572 juta saham bernilai RM896.536 juta.

Jumlah dagangan di Papan Utama merosot kepada 453.519 juta saham bernilai RM748.440 juta daripada penutup kelmarin iaitu 511.633 juta saham bernilai RM685.033 juta.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Papan Kedua menokok kepada 24.946 juta saham bernilai RM7.409 juta daripada 19.942 juta saham bernilai RM5.927 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq merosot kepada 8.782 juta saham bernilai RM1.889 juta daripada juta daripada 26.720 juta saham bernilai RM1.656 juta sebelumnya.

Untuk saham aktif, KNM turun 1.5 sen kepada 49 sen, Tebrau tidak berubah pada 51.5 sen, WCT susut tiga sen kepada RM1.12 dan KUB Malaysia lebih tinggi sebanyak satu sen kepada 31.5 sen.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Sime Darby kekal pada RM5.50, Tenaga Nasional merosot lima sen kepada RM6.45 dan Maybank susut 10 sen kepada RM5.60.

Berdasarkan sektoral, produk pengguna menguasai 7.382 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, produk perindustrian 73.016 juta, pembinaan 53.269 juta, urus niaga/perkhidmatan 136.237 juta, teknologi 4.890 juta, infrastruktur 16.733 juta, kewangan 30.361 juta, perhotelan 3.646 juta, hartanah 97.652 juta, perladangan 29.702 juta, perlombongan sifar, REITs 542,400, dan dana tertutup 87,000. - Bernama
Bisnes Dunia: Jualan kereta mewah bertahan
Model baru SLR ‘Stirling Moss’ perkukuh jenama Mercedes

JIKA anda mempunyai sejuta dolar Amerika Syarikat (AS) untuk dibelanjakan bagi membeli kereta, anda mungkin tergolong di kalangan beberapa individu yang berpeluang membeli sebuah daripada 75 unit Mercedes SLR 'Stirling Moss' baru.

Bagaimanapun keutamaan menempah SLR baru itu yang akan mula dijual Jun ini adalah kepada pemilik SLR model terdahulu yang dijual pada harga AS$300,000 (RM1.05 juta), kata jurucakap Mercedes pada pameran automotif Detroit.

Justeru, orang kaya baru, mereka yang baru memenangi loteri dan golongan seumpamanya hanya boleh bermimpi untuk memandu kereta itu.

Dalam pasaran automotif yang sedang mengalami kejatuhan dramatik seperti di AS dan seluruh dunia, jenama kereta mewah seperti Bentley, Maserati, Lamborghini, Jaguar, Maybach dan Rolls Royce masih mencatatkan jualan kukuh, meningkat antara lapan peratus dan 50 peratus khususnya di negara yang ekonominya sedang meningkat seperti di Eropah Timur.

Jaguar, yang kini dimiliki syarikat automotif India, Tata, menjual 65,000 unit kereta berharga antara AS$30,000 (RM105,000) dan AS$60,000 (RM210,000) pada 2008, naik lapan peratus berbanding tahun sebelumnya, kata pengarah pemasaran globalnya, CJ O’Donnell.

“Seperti mereka yang lain, sudah tentu kami berasa kesan krisis, tetapi Jaguar tidak perlu menjual sehingga berjuta-juta unit kereta untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Britain masih kekal pasaran utama Jaguar, tetapi permintaannya di Amerika semakin meningkat.

Ahad lalu, Pengarah Eksekutif Jaguar, Michael Drisco melancarkan model terbaru syarikat itu, XF yang boleh memecut sehingga 362 kilometer sejam.

“Kereta ini boleh membuatkan wanita bahagia,” katanya sambil menambah beliau agak yakin dengan masa depan model itu.

Ia adalah untuk pasaran khusus dan tersendiri.

Seperti kebanyakan model eksklusif lain, hanya beberapa unit saja dikeluarkan. - AFP

“Kami menjual 2,430 Lamborghini pada 2008, naik enam peratus, dan kami mempunyai 122 pengedar, lebih 50 daripada 2007,” kata Ketua Eksekutifnya, Stefan Winkelmann pada pelancaran Gallardo LP 560 di pameran kereta Detroit.

“Lamborghini adalah gaya, Lamborghini adalah gaya hidup,” katanya sambil menambah pengeluar kereta kini lebih banyak menghasilkan kereta mengikut kehendak pembeli bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin unik.

“Kami menghasilkan kereta secara individu,” katanya.

Langkah itu membolehkan kereta sports mewah buatan Itali yang menjadi idaman itu boleh dijual sehingga AS$200,000 (RM700,000), kata pengarah jualannya, Enrico Maffeo.

AS adalah pasaran terbesar Lamborghini dengan 950 unit kenderaan itu dijual di negara itu pada 2007, tetapi jualannya jatuh sedikit kepada 750 tahun lalu dengan jualan tertinggi adalah di Eropah berjumlah 1,000 unit, kata Maffeo.

Di AS antara pemilik kereta mewah itu adalah bintang Hollywood, beberapa penyanyi rap dan peguam ternama yang kebanyakannya tinggal di New York, California dan Florida.

“Di tempat lain, kami menjual kebanyakannya di Itali, Jerman, Britain dan Switzerland. Di Russia walaupun keadaan jalan dan cuacanya agak teruk, tetapi kami masih menjual kira-kira sedozen kenderaan itu di negara berkenaan,” tambah Maffeo. - AFP
Malaysia tempat ke-58 ekonomi paling bebas
MALAYSIA berada di tempat ke-58 senarai negara yang memiliki ekonomi paling bebas dalam Indeks Kebebasan Ekonomi 2009 yang diterbitkan The Wall Street Journal dan The Heritage Foundation.

Di kalangan 41 negara di Asia Pasifik pula, Malaysia di tempat kesembilan dalam senarai indeks itu yang membabitkan 183 negara.

Hong Kong menduduki tempat teratas senarai itu, diikuti oleh Singapura, Australia, Ireland dan dan New Zealand. Amerika Syarikat berada di tempat keenam, manakala United Kingdom kesembilan.

Mengikut laporan The Wall Street Journal dan The Heritage Foundation itu, Malaysia meraih 64.6 markah bagi kebebasan ekonomi, 0.7 mata lebih baik daripada tahun lalu berikutan peningkatan kebebasan dalam perdagangan dan perniagaannya.

Tahap kebebasan ekonomi dalam 10 kategori diberikan penarafan pada skala 0 hingga 100, yang mana lebih tinggi markahnya, lebih rendah tahap campur tangan kerajaan dalam pasaran.

Sepuluh kebebasan diukur ialah kebebasan perniagaan, kebebasan perdagangan, kebebasan pelaburan, kebebasan kewangan, hak harta intelek, kebebasan daripada rasuah dan kebebasan buruh.

Malaysia meraih markah di atas purata dunia dalam lapan daripada 10 kategori itu, iaitu kebebasan fiskal (83), saiz kerajaan (81.4), kebebasan kewangan (79.9), kebebasan perdagangan (78.2), kebebasan buruh (71.5), kebebasan perniagaan (70.8), kebebasan dari rasuah (51.0), dan hak harta intelek (50.0).

Dua kategori yang Malaysia meraih markah di bawah purata dunia pula ialah kebebasan pelaburan dan kebebasan kewangan, yang masing-masing ialah 40 mata.

Mengikut laporan itu, di sebalik transformasi yang agak besar dalam kebebasan kewangan, kerajaan masih campur tangan dalam sektor kewangan negara, termasuk mengenakan sedikit sekatan ke atas pembabitan asing.

"Orang asing boleh memiliki 100 peratus daripada jenis tertentu syarikat baru, tetapi kepentingan 30 peratus dalam firma sedia ada mestilah dimiliki orang Melayu, dan pemilikan asing disekat dalam kebanyakan sektor," katanya.
Pengilang biobahan api perlu mohon lesen baru
Permohonan mesti dibuat kepada kementerian menjelang April

SEMUA pemegang lesen pengilangan biobahan api perlu membuat permohonan semula lesen itu daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, kata Menterinya, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, ini berikutan berkuatkuasanya Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 pada 1 Ogos tahun lalu yang menyaksikan kementeriannya kini mengambil alih semua permohonan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

"Sebelum akta ini berkuat kuasa, semua permohonan lesen pengilangan biobahan api adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida), yang juga agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Pengalihan Keluaran Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di Bangi, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MPOB, Datuk Sabri Ahmad; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Chin berkata, sehingga 31 Oktober 2008, kerajaan mengeluarkan 91 lesen pengilangan untuk pengeluaran biobahan api daripada sawit dengan jumlah kapasiti tahunan 10.2 juta tan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 12 loji biobahan api sawit kini beroperasi dengan kapasiti 1.5 juta tan setahun, manakala ada empat lagi loji dengan kapasiti tahunan sebanyak 190,000 tan yang baru siap dibangunkan, tetapi masih di peringkat persediaan bagi pengeluaran secara komersial," katanya.

Beliau menambah, kementeriannya akan menghubungi semua 91 pemegang lesen itu untuk memohon semula mendapatkan lesen terbabit.

"Kami juga menjangkakan ada pemohon baru bagi mendapatkan lesen berkenaan sebelum tarikh tutup permohonannya pada akhir April ini," katanya sambil menambah jika pemegang lesen sedia ada tidak membuat permohonan baru, lesen mereka sebelum ini akan terbatal.

Pada 19 Disember tahun lalu, kerajaan bersetuju permohonan lesen biobahan api daripada sawit dibuka semula pada asas terhad sehingga akhir Disember tahun ini.

Keputusan itu membolehkan kementerian itu menimbang permohonan yang dibekukan sejak 29 Jun 2006, serta permohonan baru, tertakluk kepada syarat khusus yang perlu dipenuhi.

Mengulas mengenai jangkaan perangkaan pengeluaran sawit untuk tahun ini, Chin berkata, industri mungkin mencatatkan sedikit penurunan atau lebih kurang sama dengan tahun lalu.

"Pasaran buat masa ini masih baik, kerana pada awal tahun biasanya ada permintaan yang tinggi," katanya sambil menjangkakan harga minyak sawit mentah mungkin berlegar di sekitar RM1,900 hingga RM2,000 untuk tempoh masa panjang tahun ini.


copyright : berita harian
AirAsia perkenal dasar bagasi baru tiga saiz
SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia kini menawarkan satu dasar bagasi baru untuk pelanggan dalam talian yang membabitkan tiga saiz bagasi ketika membeli tempat duduk secara dalam talian berkuat kuasa semalam.

Bagi penerbangan domestik, pelanggan boleh memilih bagasi dari 'Supersize Regular' sehingga berat 15 kilogram (kg) dan membayar jumlah nominal RM5, 'Supersize Medium' sehingga 20kg pada harga RM43 atau 'Supersize Large' sehingga 25kg pada harga RM80.

Bagi sektor antarabangsa, caj yang dikenakan masing-masing ialah RM5, RM55 dan RM105 bagi 'Supersize Regular,' 'Supersize Medium' dan 'Supersize Large', katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Serantau Komersialnya, Kathleen Tan, berkata dengan pelaksanaan bagasi 'Supersize,' pelanggan kini tidak perlu membayar yuran pengendalian bagasi yang didaftar masuk sebanyak RM5 bagi setiap beg.

"Ini bermakna penumpang yang memilih 'Supersize Regular' boleh mendaftar masuk lebih daripada satu beg tetapi hanya perlu membayar RM5, asalkan jumlah berat tidak melebihi 15kg," katanya.

Beliau berkata, dasar bagasi yang sama dilaksanakan sebelum ini bagi penerbangan AirAsia X, dengan semakan semula kadar bagi pelaksanaan 'Supersize.'

"Mulai semalam, 'Supersize Regular' AirAsia X kekal pada kadar RM20 sebelum ini, manakala 'Supersize Medium' dan 'Supersize Large' kini masing-masing perlu bayar RM55 dan RM105," katanya.

copyright : berita harian

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?