-->

Wednesday, January 14, 2009

Pengilang biobahan api perlu mohon lesen baru
Permohonan mesti dibuat kepada kementerian menjelang April

SEMUA pemegang lesen pengilangan biobahan api perlu membuat permohonan semula lesen itu daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, kata Menterinya, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, ini berikutan berkuatkuasanya Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 pada 1 Ogos tahun lalu yang menyaksikan kementeriannya kini mengambil alih semua permohonan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

"Sebelum akta ini berkuat kuasa, semua permohonan lesen pengilangan biobahan api adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida), yang juga agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Pengalihan Keluaran Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di Bangi, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MPOB, Datuk Sabri Ahmad; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Chin berkata, sehingga 31 Oktober 2008, kerajaan mengeluarkan 91 lesen pengilangan untuk pengeluaran biobahan api daripada sawit dengan jumlah kapasiti tahunan 10.2 juta tan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 12 loji biobahan api sawit kini beroperasi dengan kapasiti 1.5 juta tan setahun, manakala ada empat lagi loji dengan kapasiti tahunan sebanyak 190,000 tan yang baru siap dibangunkan, tetapi masih di peringkat persediaan bagi pengeluaran secara komersial," katanya.

Beliau menambah, kementeriannya akan menghubungi semua 91 pemegang lesen itu untuk memohon semula mendapatkan lesen terbabit.

"Kami juga menjangkakan ada pemohon baru bagi mendapatkan lesen berkenaan sebelum tarikh tutup permohonannya pada akhir April ini," katanya sambil menambah jika pemegang lesen sedia ada tidak membuat permohonan baru, lesen mereka sebelum ini akan terbatal.

Pada 19 Disember tahun lalu, kerajaan bersetuju permohonan lesen biobahan api daripada sawit dibuka semula pada asas terhad sehingga akhir Disember tahun ini.

Keputusan itu membolehkan kementerian itu menimbang permohonan yang dibekukan sejak 29 Jun 2006, serta permohonan baru, tertakluk kepada syarat khusus yang perlu dipenuhi.

Mengulas mengenai jangkaan perangkaan pengeluaran sawit untuk tahun ini, Chin berkata, industri mungkin mencatatkan sedikit penurunan atau lebih kurang sama dengan tahun lalu.

"Pasaran buat masa ini masih baik, kerana pada awal tahun biasanya ada permintaan yang tinggi," katanya sambil menjangkakan harga minyak sawit mentah mungkin berlegar di sekitar RM1,900 hingga RM2,000 untuk tempoh masa panjang tahun ini.


copyright : berita harian

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?