-->

Tuesday, January 13, 2009

Sumbangan PMRAM Untuk Umat Palestin
Kisah perjuangan Palestin ini melalui onak dan duri yang begitu panjang sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Serangan terbaru Israel ke atas Gaza hanya merupakan salah satu episod penderitaan yang dialami oleh saudara kita di Palestin yang tiada kesudahan. Isu Palestin bukanlah isu yang baru dan bukan juga isu bangsa atau agama bahkan kini sudah merentasi isu kemanusiaan sejagat. Serangan ke atas Gaza tidak lebih sebagai untuk melepaskan dendam kesumat Israel ke atas umat Islam di sana. Memang betul tujuan mereka untuk menghapuskan gerakan Hamas di sana kerana Hamas telah berjaya membentuk kerajaan di Gaza.


Dengan dokongan yang begitu kuat dari masyarakat Gaza, Hamas telah berjaya memperolehi kemenangan dalam pilihanraya pertama yang disertainya sebelum ini. Oleh kerana itulah, masyarakat Gaza dizalimi kerana mereka dianggap ‘bersekongkol' dengan Hamas. ‘Kesalahan besar' masyarakat Gaza ini harus dihukum dan Israel telah menjadikan kesemua masyarakat Gaza itu sebagai musuh mereka-tidak hanya penyokong Hamas. Bahkan orang tua,wanita dan kanak-kanak kecil kesemuanya dibunuh tanpa belas kasihan.




Semalam, pemimpin tertinggi Hamas, Khaled Mashal telah mengeluarkan kenyataan sebagaimana disiarkan dalam Al-Jazeera dengan berkata, "Prinsip kita (Hamas) jelas. Kita tidak akan berganjak, kita tidak akan berundur atau menerima perjanjian yang berat sebelah seperti yang dicadangkan. Kerana apa yang dunia mahukan hanyalah bagi melihat kita (Hamas) menyerah kalah kepada musuh," tegas pemimpin utama Hamas itu yang hidup dalam buangan di Damsyik, Syria.

Dalam hal ini, PMRAM bersama masyarakat dunia mengecam dan mengutuk tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan ini. PMRAM juga menggesa agar kelesuan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dalam isu ini ditangani segera dan seharusnya OIC lebih berperanan. Apatah lagi apabila melihat reaksi dingin yang ditunjukkan oleh negara-negara Arab kebelakangan terutama negara yang bersebelahan dengan Gaza, Mesir. Manakala negara-negara Arab lain setakat ini hanya mengeluarkan kenyataan kecaman dan kutukan terhadap Israel itu. Adapun bagi beberapa buah negara Arab lain seperti Arab Saudi lebih mengambil sikap membisu. Bagi mereka itulah jalan selamat bagi memelihara hubungan diplomatik dengan sekutu Israel, Amerika Syarikat. Tunjuk perasaan diadakan di seluruh dunia bagi menyatakan kebersamaan mereka dalam isu ini termasuk di Pakistan, Britain, Indonesia, Kuwait dan tidak terkecuali negara kita Malaysia.

Bagaimana pula dengan PMRAM? Persoalan ini acapkali ditanya, antara lagi tentang sumbangan PMRAM kepada Palestin. Saya katakan bahawa PMRAM sebelum ini telah menubuhkan satu tabung yang dinamakan PROSMA atau singkatan kepada Projek Amal Sumbangan Palestin. PROSMA ini merupakan sebuah unit di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM yang diketuai Ustaz Khusaini Md.Yusof merangkap Naib Presiden III.


Menurut pengarahnya, Ustaz Muhammad Abdul Rahim Kamaruzzaman, PROSMA merupakan tabung yang bersifat "sepanjang masa" dan bukan bersifat sementara. Bahkan ia diwujudkan dan beroperasi sepanjang tahun.Hasil kutipannya akan diserahkan kepada umat Islam Palestin pada setiap akhir tahun. Tahun 2009 ini sudah masuk tahun ketiga PROSMA beroperasi. Usaha dan semangat gigih yang ditunjukkan oleh AJK penggerak PROSMA seharusnya dipuji atas kesungguhan mereka menggerakkan tabung ini melalui pelbagai aktiviti.



Untuk makluman, tahun pertama PROSMA ditubuhkan iaitu pada tahun 2007, hasil kutipannya mencecah LE22,000. Tahun kedua (2008) pula PROSMA mensasarkan LE30,000 dan PMRAM dimaklumkan hingga akhir tahun lalu kutipan yang diperolehi melebihi jumlah yang disasarkan. Demikianlah kesungguhan PMRAM dalam memperjuangkan isu Palestin. PMRAM tidak sekadar bercakap bahkan menterjemahkannya dalam bentuk program yang boleh dilihat pada hari ini.



Syukur kepada Allah, berkat sokongan ahli PMRAM sekalian, PROSMA dapat diteruskan untuk tahun yang ketiga tahun ini. Inilah antara sumbangan besar PMRAM bagi membantu saudara seakidah kita di Palestin. Bagi mereka yang bersimpati untuk menghulurkan bantuan kepada Tabung PROSMA ini boleh terus menghulurkan apa jua bentuk sumbangan terutamanya kewangan kepada tabung ini.


Semoga usaha kecil PMRAM ini akan dinilai oleh Allah sebagai satu bentuk amalan soleh yang akan dihitung di akhirat kelak. Kita sebagai masyarakat pelajar tidak mempunyai apa-apa kekuatan bagi membantu saudara kita di Palestin. Selain doa dan munajat dengan titisan air mata serta hati yang penuh ikhlas kepada Allah, kita masih ada peluang membantu mereka melalui tabung ini.

Selain itu, saya menyeru marilah sama-sama kita menyertai Kempen Sehati dan Simpati Terhadap Gaza yang dianjurkan oleh Mini Pavilion, sebuah lagi unit di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM. Kempen ini bagi menunjukkan sokongan dan simpati kita kepada mereka di Gaza. Mereka di sana menitiskan darah, akan tetapi kita di sini hanyalah menitiskan air mata dan wang ringgit untuk mereka.



Pengorbanan yang kecil ini seharusnya tidak boleh dipandang enteng. Saya menyeru sekalian mahasiswa dan mahasiswi sekalian, pengajian Islam atau perubatan agar mari kita sama-sama melakukan apa yang terdaya. Seandainya kita mampu untuk kumpulkan rakan-rakan kita melakukan solat hajat dan munajat kepada Allah, lakukanlah. Seandainya kita mempunyai kewangan yang lebih, sumbangkanlah untuk saudara kita.



Dalam tempoh menghadapi peperiksaan ini, semangat persaudaraan kita diuji. Itu hanyalah ujian dari Allah bagi melihat sejauh mana semangat persaudaraan kita terhadap saudara kita di Palestin. Bukankah kita baru saja menyambut sambutan memperingati Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah? Bukankah selepas tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar? Bukankah antara intipati hijrah itu ialah bagi membentuk persaudaraan? Tiada yang lebih mulia dari tali persaudaraan yang mengikat antara hati kita dengan hati saudara kita melainkan tali "Lailahaillah, Muhammad Rasulullah". Pertalian persaudaraan sesama Islam adalah lebih kuat dari pertalian darah kaum kerabat sendiri.

Teruskan munajat dan doa kita, bahkan jadikan ia amalan yang wajib kita lakukan saban hari. Hanya sekadar mendirikan solat hajat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Sekurang-kurangnya kita sudah lakukan sesuatu untuk saudara kita di Palestin sana. Seandainya ajal menjemput kita, kita akan mengadap Allah dengan hati yang tenang, akan dipermudahkan bagi kita apabila ditanya dalam kubur kelak "Siapakah saudara-saudara kamu?" Kita akan menjawab "Muslimin dan muslimat adalah saudaraku".



Kelak, apabila kita dikumpulkan di Mahsyar dan kita akan ditanya oleh Allah apakah yang kita lakukan sewaktu kita mengetahui keadaan saudara kita di Palestin? Mudah-mudahan waktu itu kita dapat menjawabnya dengan berkat usaha kecil yang kita lakukan di dunia sekarang ini. Ya Allah! Kami tidak memiliki apa-apa melainkan doa, maka doa ini untuk saudara-saudara kami.

Kepada mereka yang membaca atau terbaca tulisan ini, marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat para syuhada' yang terkorban dalam medan tempur Gaza..
اللهم تقبل شهدائهم واغفرلهم وارحمهم وعافهم واعف عنهم وأكرم نزلهم اللهم ادخلهم فسيح جناتك مع النبيين والأولياء والصالحين
ولا تحرمنا شفاعتهم يوم القيامة آمين
________________________________________________________________________________________________
penulis: Muhammad Abdul Malik Abdul Karim (Ketua BPP PMRAM 2008)
copyright : pmram.org

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?