-->

Monday, February 9, 2009

SEJARAH INTERNET
Internet merupakan satu rangkaian sedunia komputer yang tersambung bersama menerusi talian telefon....
Asal-usul internet bermula semasa Perang Dingin. Satu rangkaian telah dicipta untuk menghubungkan semua komputer tentera di sekitar Amerika Syarikat supaya sekiranya tercetus serangan nuklear, mesin tentera Amerika Syarikat masih dapat berfungsi. Mesin-mesin ini disambungkan melalui talian telefon. Dua mesin pertama telah disambungkan pada akhir tahun 1969.


Dalam 15 tahun pertama selepas terciptanya rangkaian ini, tapak yang tersambung hanyalah tapak-tapak tentera dan akademik. Pelbagai rangkaian telah didirikan termasuk ARPAnet yang menyambungkan universiti.universiti di Amerika Syarikat dan MILnet yang menyambungkan pangkalan-pangkalan tentera. ARPAnet (Advanced Research Project Agency) adalah salah satu bahagian Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat turut menghasilkan kaedah pensuisan paket (packet swiching) bagi menghubungkan pelbagai jenis komputer.
Menjelang tahun 1970, rangkaian komputer yang pertama menggunakan teknik pensuisan paket di Amerika Syarikat telah menghubungkan sistem komputer di University of California di Los Angeles (UCLA), University of California di Santa Barbara (UCSB), Stanford University dan University of Utah di Salt Lake City.



Pada 1972, terdapat 40 tapak rangkaian yang kecil dihubungkan kepada rangkaian ARPAnet. Ketika itu, rangkaian ini digunakan untuk menghantar fail teks yang kecil di antara pengguna. Kini ia lebih dikenali sebagai E-Mail dan semakin popular digunakan.




Pada awalnya piawai komunikasi yang asal dikenali sebagai NCP "Network Control Protocol". Setelah menkaji teknik yang lebih canggih piawai kualiti tinggi digunakan iaitu TCP/IP .TCP (Transmission Tranfer Protocol) dimana ia akan mengubah mesej kepada bentuk paket di sumber dan kemudiannya akan mengubah semula kebentuk mesej di destinasi. IP (Internet Protocol) pula mengendalikan alamat. ARPA bukan sahaja mempelopori NCP malah Ethernet, FDDI dan X.25.




Pada tahun 80-an, rangkaian-rangkaian ini mula disambungkan bersama. Kita boleh mengunjungi dari satu rangkaian ke satu rangkaian yang lain dan pada masa inilah istilah "internet" mula digunakan.

Pada masa itu juga, perkhidmatan internet capaian awam mula diwujudkan. Sehingga 1990, internet lebih banyak digunakan dalam bidang penyelidikan saintifik. Apabila penggunaan internet oleh komuniti saintifik semakin berleluasa, orang awam juga mula menyedari potensi internet sebagai sejenis medium komunikasi, hiburan dan pendidikan sedunia. Walaupun dimulakan sebagai sebuah rangkaian ketenteraan, kini terbuktilah internet mempunyai banyak kegunaan lain.

Jika dilihat dahulu, hanya terdapat 4 nod sahaja dalam rangkaian ARPAnet. Tetapi kini terdapat 10 ribu nod dalam internet, yang tersebar melebihi 42 negara seluruh dunia.
Pada hari ini, terdapat lebih daripada 40 juta pengguna internet di seluruh pelusok dunia.

Di Malaysia internet terlancar pada tahun 1987 apabila Institut Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) memulakan Rangkaian Komputer Malaysia atau RangKom. Kemudian Jaring yang diperkembangkan daripada RangKom dilancarkan pada tahun 1990.



SEJARAH RINGKAS INTERNET DI MALAYSIA


Pada tahun 1987, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.

Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING telah dirumuskan, dan ianya dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING.

MIMOS mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-Enam. JARING yang dihubungkan dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan kepada rangkaian Internet antarabangsa.

Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi kos efektif setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.

Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari
Singapura, Brunei, dan Thailand.

Dari segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 27 organisasi dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992. Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet melalui talian dail sahaja, sementara organisasi boleh mengakses melalui talian dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat.

Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail.

Dalam tahun 1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps. Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996 sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.

Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah. Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang.

Untuk membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.

Seterusnya, pada tanggal 7 November 1996 JARING telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Asia Internet Holding (AIH) dari Jepun bagi mempertingkatkan perkhidmatan Internet untuk pengguna tempatan dan Asia Pasifik. Rangkaian yang dinamakan JARING-A-Bone ini memudahkan pengguna Internet menghubungi halaman web di rantau Asia. Hubungan tersebut menyediakan akses lebih cepat dan secara terus bagi pengguna kepada negara-negara Asia yang dihubungkan dengan A-Bone. Pada bulan Mei 1997, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang meliputi lebih 150 negara.

Pada 11 Jun 1997, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET 97. Selanjutnya pada akhir tahun 1997, jumlah keahlian JARING meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.

Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin memerlukan perkhidmatan terbaik, maka pada 1 November 1996, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada pihak kerajaan.

Penggunaan Internet dijangka akan terus berkembang dengan cepatnya sebagai media komunikasi multimedia utama dunia yang akan membawa kita semua ke alaf ke 21. Kita amat bertuah kerana telah dapat mengenalpasti potensi Internet lebih 10 tahun dahulu berbanding dengan negara lain di rantau ini.




JARING



Apa itu JARING?
JARING adalah rangkaian komputer yang telah dibangunkan oleh MIMOS Berhad, Malaysia yang menghubungkan kepada rangkaian yang lain di serata dunia melalui talian sewaan disambungkan ke Amerika Syarikat/Kanada, Jepun dan Singapura. Kesemua rangkaian ini membentuk rangkaian komunikasi data yang besar dikenali sebagai "internet".

Objektif
1. Untuk menubuhkan rangkaian komunikasi data bersepadu.
2. Bagi meningkatkan aktiviti R&D.
3. Mempelajari dan menguji penggunaan teknologi komunikasi data dan kesan kepada aktiviti sosio-ekonomi.

Kenyataan projek
1. Menghubungkan internet secara global.
2. Pada kos yang termampu dan berpatutan.
3. Merangkumi rangkaian antarabangsa.
4. Tujuan menukar maklumat dan perkembangan lain.
5. Pembelajaran secara kreatif dan inovatif, penyelidikan dan aktiviti perniagaan.
6. Mempelopori dan membentuk masyarakat yang berinformasi.

Topologi (nod JARING)
Nod pensuisan JARING telah ditempatkan dikebanyakan bandar besar di Malaysia - Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Seremban, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Kota Kinabalu.
Di dalam kawasan Lembah Klang, nod-nod ditempatkan di Damansara, Brickfields, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Kajang dan Bangi.




PEMBANGUNAN JARING

Dengan meningkatnya minat dan publisiti tentang Internet di Malaysia sejak kebelakangan ini, Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi maklumat tentang arah-tuju pembangunan perkhidmatan Internet.

Pada hari ini, Kerajaan Malaysia melalui MIMOS adalah satu-satunya pembekal perkhidmatan penuh Internet di Malaysia - meliputi capaian dalam dan luar negeri dan kemudahan perkhidmatan nilai-tambah untuk pengguna komersial dan bukan-komersial. JARING ialah nama rangkaian Internet di Malaysia. Pengguna boleh mencapai JARING/Internet melalui talian dail, talian litar suwa sama ada jenis analog atau digital dan juga capaian melalui ISDN. JARING akan terus menggunakan teknologi terbaik untuk faedah pengguna Internet di Malaysia.

Kerajaan akan terus meningkatkan kawasan liputan perkhidmatan JARING di seluruh negara untuk menentukan kesamaan capaian dengan kos yang termampu untuk penduduk di dalam dan luar bandar. Rangkaian ini akan disepadukan sepenuhnya dengan pembangunan Bandaraya Bistari Putrajaya dan "Multimedia Supercorridor".

Keupayaan talian tulang belakang JARING akan juga diperkembangkan untuk menyokong aplikasi baru. Litar yang sedia ada sepanjang hampir 5,000 km dengan kelajuan 64, 128, 256, 512, 768 atau 1,536 kbps (bergantung kepada kawasan liputan) akan dipertingkatkan sehingga beberapa megabit sesaat (mbps) mengikut keperluan. Beberapa litar mungkin berkelajuan melebihi 100 mbps. Rangkaian tulang-belakang berkelajuan tinggi diperlukan untuk menyokong aplikasi multimedia untu transaksi komersial, pendidikan jarak jauh, perkhidmatan kesihatan dan pentadbiran kerajaan.


Dengan wujudnya aplikasi terbaru ini nanti, rangkaian kita akan menjadi setaraf, kalau tidak lebih baik, berbanding dengan rangkaian yang serupa di negara yang lebih maju.

JARING adalah satu-satunya rangkaian Internet di Malaysia yang mempunyai `gateway' antarabangsa untuk sambungan kepada rangkaian yang serupa di negara lain di seluruh dunia. Sambungan sekarang ialah melalui Amerika Syarikat menggunakan talian gentian optik berkelajuan tinggi. Satu talian baru yang berasingan sedang dirancangkan untuk memperkukuhkan sambungan peringkat antarabangsa.




DARI KILOBIT KE TERABIT

Jika kita imbas kembali bagaimana teknologi Internet dimulakan di Malaysia, maka kita akan mendapati bahawa teknologi Internet ini mulai dicuba pada tahun 1983/84. Pada masa itu hanya terdapat sebuah komputer mini sahaja, dengan lebar jalur (bandwidth) 0 bit. Pada tahun 1987, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan. Kelajuan pemindahan data ialah 1.2 hingga 9.6 kbps. Walaupun demikian, natijah terpenting ialah asas jaringan Internet mula bertapak di Malaysia.

Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64 kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian ini mengambil masa dua tahun sebelum menjadi sesak dengan jumlah pengguna yang semakin bertambah. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64 kbps. Peningkatan keupayaan ini dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian. Ia cuma bertahan selama setahun sahaja apabila lebar jalur tersebut turut penuh.

Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 di samping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah. Pada 11 Jun 1997, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps ke Amerika Syarikat yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET
97. JARING turut mempunyai beberapa talian 34Mbps tempatan.
Tahun Bandwidth 1987 1.2 – 9.6 kbps 14 NOV 1992 64 kbps 29 NOV 1994 1.5 Mbps 1995 1.536 Mbps 1995 2.048 Mbps 1997 34 Mbps 11 JUN 1997 45 Mbps OGOS 1999 60 Mbps Jika dibuat perbandingan terhadap teknologi lebar jalur yang semakin berkembang, maka kita akan dapati teknologi ini semakin meningkatkan kadar pemindahan data. Sekarang ini, pengguna rumah menyambungkan Internet melalui komputer peribadi (PC) dan talian telefon. Ini juga bermakna kebanyakan sambungan Internet di rumah adalah perlahan. Bagi menggambarkan kepentingan kelajuan, boleh dirujuk kepada masa yang diambil bagi menerima video 3.5 minit dengan menggunakan modem berkelajuan 28.8 kbps (ribu bit sesaat). Ia memakan masa selama 46 minit. Modem ini banyak digunakan oleh pengguna di rumah dan ia sangat perlahan bagi membawa kandungan multimedia.


Masa yang diambil bagi menerima klip video 3.5 minit dengan menggunakan teknologi berlainan
Jenis lebar jalur Masa pindahan Modem 28.8 kbps 46 minit ISDN 128 kbps 10 minit Modem kabel 4 Mbps 20 saat ADSL 8 Mbps 10 saat Modem kabel 10 Mbps 8 saat
Syarikat-syarikat telefon, satelit, penyedia perkhidmatan kabel, dan lain-lain sedang berusaha menghasilkan sambungan Internet yang lebih pantas. Teknologi lebar jalur terbaharu terus diperkenalkan, seperti ADSL (Asynchronous Digital Subscriber Line) yang membolehkan talian telefon tembaga menghantar data pada kelajuan 8 juta bit sesaat (Mbps). Pada kelajuan ini, pengguna dapat menerima video 3.5 minit dalam masa 10 saat.

Peningkatan bilangan pengguna Internet di seluruh dunia akan mengakibatkan lebar jalur yang sedia ada penuh dan tidak mampu menampung jumlah yang semakin bertambah. Dalam masa yang sama bilangan komputer dan peranti lain juga turut bertambah memenuhi Internet. Lebar jalur T1 dan E1 yang banyak pun tidak boleh memenuhi semua penggunaan Internet.

Dalam menangani perihal ini, wujud satu program yang dinamakan Internet generasi mendatang atau Next Generation Internet (NGI). Antara matlamat NGI ialah menyediakan penalaan (routing) dan pensuisan terabit, jaringan yang boleh mentadbir diri sendiri, dan testbed berkelajuan tinggi. Projek yang dimulakan di Amerika Syarikat ini menggabungkan ARPANET, CSNET, NSFNET, NASA dan pelbagai badan lagi.

Dari segi aktiviti pembangunan dan penyelidikan, projek ini bermatlamatkan untuk menghasilkan Internet II. Ia akan melibatkan pembinaan jaringan penyelidikan dan enterprise terkini untuk aktiviti penyelidikan dan aplikasi multimedia sepenuhnya. Aplikasi teknologi rangkaian dan protokol baru akan diperkenalkan dalam menghasilkan Internet II.

Oleh itu, satu revolusi bagi menampung keperluan lebar jalur Internet II telah dikenal pasti. Inilah revolusi yang dinamakan OC-12 dengan kapasiti kelajuan 622 megabit sesaat dan OC-192 dalam kapasiti kelajuan 10 gigabit sesaat. Melalui penggunaan sistem WDM (wavelength division multiplexing), sebanyak 16 OC-192 aliran bit akan diletakkan dalam setiap gentian optik. Ia akan menghasilkan kelajuan sebanyak 160 gigabit sesaat. Dengan bilangan saluran atau konduit yang sedia ada di tempat-tempat tertentu, muatan sebanyak 30 terabit dapat dihasilkan.

Melalui modem kabel selaju 10 Mbps, kita dapat mengambil video 3.5 minit hanya dalam masa 8 saat, bayangkan berapa banyak klip video dan kandungan multimedia dapat dipindahkan dengan kelajuan 30 terabit sesaat! Pihak yang membangunkan WDM juga turut bekerjasama dengan pihak Cisco, Juniper, Avivi dan syarikat router lain bagi menghasilkan router terabit.


8 comments:

pop said...

very nice but can improve u can write about pengenalan sejarah teknologi fokus all of this sub title there are very very goodla

Anonymous said...

boleh kah tambah tentang pengenalan ,sejarah,teknologi,dan fokus bagi tajuk perkembangan teknologi/komunikasi dan rangkaian di malaysia terima kasih byk byk

yusri zahir said...

hurm ... insya-Allah akan dicuba :) terima kasih bagi cadangan ...

Anonymous said...

Hi there, very nice article, but may I know where did you get these figures especially the bilangan pengguna in the early 1990s? Thanks!

axesteam said...
This comment has been removed by the author.
yusri zahir said...

:) just search on yahoo or google. type sejarah komputer and u will found many website but i forget which one.

Editor MajalahSains.Com said...

Salam..artikel ini sangat menarik. Mohon izin untuk dimuatkan kembali artikel ini ke MajalahSains.Com.

Sebelum itu, boleh saya tahu, adakah artikel ini original tulisan tuan atau di rujuk dari mana-mana website atau bahan rujukan yang lain. Terima kasih!

Unknown said...

sgt menarik..tp sape penulis asal artikle ni

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?