-->

Sunday, December 2, 2007

Hindraf melampau






Oleh Misiah Taib dan Badrul Hizar Ab Jabar







PM marah tuduhan Hindraf kerajaan lakukan pembersihan kaum

ALOR GAJAH: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat marah dengan tindakan Hindraf yang mendakwa Kerajaan Malaysia melakukan pembersihan etnik dan menyifatkan perbuatan itu pembohongan amat jahat.

Perdana Menteri yang mengakui jarang marah, berkata beliau sendiri akan meletak jawatan jika perkara seperti itu berlaku di Malaysia, sebuah negara yang sejak merdeka hingga sekarang, kerajaannya memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua kaum.



Tindakan Hindraf itu katanya, bertujuan mencetuskan perbalahan antara kaum, dengan cubaan memperdayakan majoriti masyarakat India yang tidak bersalah kononnya selama ini mereka ditekan dan ditindas.

"Saya rasa marah, sebenarnya saya jarang rasa marah tetapi ini tindakan yang tidak boleh dilayan sama sekali.

"Beritahu saya, apakah anda percaya pembersihan etnik berlaku di negara ini. Apakah ia berlaku di Malaysia? Saya akan meletak jawatan jika saya membenarkan ini berlaku. Ia tidak pernah berlaku di negara ini. Ini adalah satu pembohongan amat jahat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Perkampungan Hadhari peringkat negeri di Dataran Pantai Perkelahan Tanjung Bidara dekat sini, semalam. Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Abdullah berkata, tidak pernah berlaku perbalahan antara penganut Islam dan Hindu di Malaysia dan mengapa harus perkara seperti itu ditimbulkan. Ia berbau perkauman dan bertujuan memporak-perandakan keamanan, kestabilan serta kesejahteraan rakyat.

"Tindakan kumpulan ini bertujuan menggugat kepercayaan orang India terhadap kerajaan, terhadap Umno dan juga orang Melayu," katanya sambil menyifatkan Hindraf membuat pelbagai tohmahan tidak berasas sama sekali.

Beliau berkata, penghapusan etnik adalah seperti berlaku di Bosnia apabila pihak Serbia menyerang dan membuat segala-galanya supaya orang Bosnia tidak lagi wujud, tetapi di Malaysia perkara seperti itu tidak pernah berlaku.

Tindakan Hindraf katanya, yang membuat aduan mengenai masyarakat India di Malaysia kepada Kerajaan United Kingdom, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak antarabangsa lain, semata-mata bertujuan menimbulkan keadaan tidak tenteram dan perbalahan antara kaum.

"Sepanjang 50 tahun kita merdeka, orang India sudah menjalankan peranan mereka menjadi penyokong kuat Kerajaan Malaysia, kerajaan Barisan Nasional (BN). Tentu sekali mereka tahu kita bersifat adil dan saksama.

"Tapi hari ini nampaknya mereka (orang India) hendak diperdayakan oleh kumpulan Hindraf ini. Saya harap kaum India terutamanya, jangan benarkan diri diperdayakan mereka ini.

"Saya harap kaum lain juga tidak menunjukkan simpati kepada kumpulan terbabit. Saya harap orang Melayu bersabar kerana kerajaan dan pihak polis akan mengawasi apa juga tindakan kumpulan terbabit," katanya.

Abdullah juga memberi contoh di kawasannya, Kepala Batas, terdapat ramai masyarakat India dan beliau sendiri membantu mereka, termasuk memberikan wang untuk mereka membaiki kuil.

"Saya bantu sebab kita menghormati agama lain, dan mereka bukan bermusuh dengan kita, mereka duduk bersama-sama bermuafakat dengan elok dan bekerjasama, ini yang berlaku," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat Malaysia dan orang India sendiri tidak akan mudah terjebak dan percaya dengan pembohongan yang sengaja direka oleh Hindraf.

Ditanya apakah tindakan kerajaan terhadap hasrat pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam untuk mengadakan beberapa lagi perhimpunan bulan ini, beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut landasan undang-undang.

Sambil menyifatkan tindakan Hindraf sebagai cuba 'menangguk di air keroh' beliau berkata, negara ini mempunyai undang-undang dan perlembagaan yang mana semua pihak perlu mematuhinya dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan.

"Kita berjaya sebab kita mematuhinya, kita pegang kuat pada Rukun Negara, Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan," katanya.

Abdullah berharap rakyat Malaysia akan membuat penilaian dengan kenyataan seperti ini (oleh Hindraf) terutama sekali bagi kaum India yang diheret dan cuba diperdayakan kumpulan berkenaan.

Katanya, sejak sekian lama, kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada pelbagai permintaan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu untuk memperbaiki sosial dan ekonomi masyarakat India.

"Sama ada permintaan untuk menjadi senator, wakil rakyat, semua kita beri perhatian, kita beri sokongan. Orang India tahu ada kumpulan seperti Hindraf nak cucuk mereka dan nak buat bermacam kenyataan supaya mereka tidak seronok dengan kita," katanya yang tidak mahu Malaysia yang sedang membangun dengan baik digugat kumpulan itu.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang melucutkan kewarganegaraan anggota Hindraf, beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri berkata, melakukan demonstrasi jalanan kononnya untuk membuat perubahan dan tuntutan adalah cara tidak betul termasuk oleh kumpulan yang bergelar "BERSIH" mengenai pilihan raya, bulan lalu.

Pada pilihan raya akan datang, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya sudah menetapkan untuk menggunakan dakwat khas dan peti undi lutsinar bagi memastikan ketelusan.

"Tong peti undi yang lutsinar, semua orang tahu bila bawa ada kertas undi di dalamnya. Begitu juga untuk undi pos, orang lain pun boleh datang tengok, apa yang dilakukan ketika undi pos, semua nak periksa seolah-olah tak percaya pada siapa pun, mereka saja perlu dipercayai," katanya.

Perdana Menteri berkata, kalau Kerajaan Malaysia penipu, sudah lama ia diketepikan kerana rakyat bukan bodoh dan tidak boleh diperbodohkan.

Abdullah bagaimanapun mengakui masih ada kelemahan dan ada kerja yang belum dilaksanakan oleh kerajaan berkata: "mana ada pemimpin dalam dunia kata aku telah buat segala-galanya, semuanya sudah sempurna, tidak ada yang miskin, tidak ada yang melarat, tidak ada memerlukan bantuan."

Pembangunan katanya, adalah proses yang mengambil masa lama dengan memberikan contoh dasar pembasmian kemiskinan yang dimulakan sejak wujudnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan masih dilaksanakan sehingga hari ini.

"Ramai yang masih miskin, kita tidak boleh kata selepas 20 tahun DEB dilaksanakan maka berhenti segala-galanya, tak payah buat apa-apa lagi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?