-->

Sunday, December 2, 2007

Musharraf rancang fasa baru demokrasi Pakistan






Laporan Azman Abdul Hamid di Karachi, Pakistan


AKUR ARAHAN: Musharraf mengesat mata ketika menyampaikan ucapan selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden awam di Islamabad, Khamis lalu.



Penarikan perintah darurat langkah rencana program masa depan

PRESIDEN Pakistan, Pervez Musharraf selain menghadapi kritikan mengenai corak dan gaya kepemimpinannya, turut dihentam media, peguam, aktivis hak asasi, ahli politik pembangkang dan dunia luar berikutan tindakan antidemokratiknya.

Walaupun demikian, Musharraf tidak menunjukkan keresahan, sebaliknya mengambil langkah strategik menjawab kecaman demi kecaman berkenaan, terbaru dengan mengumumkan penarikan perintah darurat pada 16 Disember ini yang menyebabkan lawan politik buntu mencari sebab terus membidas.



Musharraf menunjukkan kepada semua bahawa beliau sudah ada program masa depan untuk pembangunan dan kemakmuran rakyat Pakistan. Malah, beliau sanggup melepaskan jawatan jika pengundian terbaru hanya menambah masalah.

Terbaru, akhbar The Dawn yang memiliki stesen televisyen Dawn News menyindir Musharraf apabila memuatkan satu muka penuh iklan bertajuk 'Wanted: A Highly Qualified Prime Minister For Pakistan' (Dikehendaki: Orang Paling Layak Memegang Jawatan Perdana Menteri Pakistan) dalam edisi Jumaat lalu, membabitkan satu program realiti televisyen.

"Ketika kita bergerak mengadakan pilihan raya 8 Januari 2008, kita ada sebab untuk percaya bahawa pemilihan Perdana Menteri sesuai mungkin dipengaruhi oleh politik 'udang di sebalik batu' atau Parlimen tergantung (kerana tiada majoriti)."



TUNJUK BANTAHAN: Seorang peguam bertindak membaling batu ke arah polis dalam tunjuk perasaan di Lahore, Khamis lalu.


"Apabila demokrasi gagal memberi hasil, atau tidak sempurna, media ada hak untuk campur tangan sewajarnya. Dawn News dengan bangganya mengumumkan pelancaran misi terbarunya. Kami kini memulakan usaha mencari Perdana Menteri paling sesuai menerusi program khas Enter The Prime Minister.

"Lelaki mahupun wanita yang tidak dikenali sama sekali boleh bertanding. Atau, ia boleh juga disertai ahli politik yang sepatutnya sudah lama diiktiraf kerana kewibawaannya, kecekapannya mahupun keupayaannya bertindak secara tidak jujur," katanya.

Jadi, apakah kriteria Perdana Menteri paling sesuai? Beliau sepatutnya berani menguatkuasakan undang-undang tanpa takut atau bersikap memihak, tetapi setiap langkah diambil secara bijaksana. Beliau semestinya pakar dalam proses merangka dasar dan mampu mengumpul sokongan popular bagi pelaksanaan dasarnya.

"Beliau mesti tegas berurusan dengan kakitangan awam dan sentiasa mematuhi undang-undang. Beliau perlu memastikan semua pihak terbabit dalam proses pemerintahan supaya pengundi mampu menjadi penentu dasarnya.



BAWA TENTANGAN: Benazir Bhutto antara calon Perdana Menteri Pakistan.

Beliau mesti memimpin bukan bertindak seperti polis. Dawn News menyatakan, semua pengundi layak menandatangani borang calon yang menjadi pilihan, manakala wawancara calon akan diadakan di Karachi, Lahore dan Islamabad. Beberapa siri penerangan di televisyen akan disiarkan bagi membantu mereka memilih calon terbaik.

Stesen itu juga memberitahu, pencalonan diterima selewat-lewatnya 6 Disember ini serta calon mesti menerangkan mengapa dia layak memegang jawatan Perdana Menteri.

Agaknya stesen itu sebenarnya mahu menggunakan judul Enter The President, tetapi mungkin menganggap lebih pedas jika menggunakan tajuk Enter The PM, kerana orang yang memegang jawatan Perdana Menteri tidak banyak mencetuskan permasalahan kepada rakyat berbanding Presiden.

Dawn News jelas mengutuk Musharraf kerana begitu lama memegang jawatan pemerintah tentera sebelum menyerahkan jawatan kepada orang baru beberapa hari lalu, sebagai sebab demokrasi Pakistan gagal atau tidak sempurna, lebih-lebih lagi dengan tindakan Presiden menyekat kebebasan media tertentu selain menahan wartawan yang melakukan protes terhadapnya.

Begitu juga dengan kenyataan supaya Perdana Menteri mengikuti dan mematuhi undang-undang dan mampu mendapat sokongan majoriti adalah satu sindiran terhadap tindakan Musharraf memecat ketua hakim dan kini menghadapi pelbagai bantahan terhadap operasi keselamatan dekat kawasan sempadan.

Tidak kira semua itu, Musharraf sudah menjelaskan dengan panjang lebar mengapa beliau akan terus mengambil langkah sendiri untuk kepentingan negara ketika berucap kepada mereka yang hadir dalam majlis angkat sumpah jawatan Presiden pada Khamis lalu.

Katanya, proses demokrasi Pakistan di bawah terajunya membabitkan tiga fasa atau peringkat. Fasa pertama tempoh 1999 dan 2002 yang menyaksikan pentadbirannya berusaha dan berjaya menggerakkan semula ekonomi Pakistan mengubahnya daripada status 'negara gagal'.

Ia turut menyaksikan Musharraf merapatkan hubungan dengan Amerika Syarikat selepas kejadian serangan 9/11 di New York dengan melancarkan kempen memerangi keganasan.

Bagi fasa kedua proses demokrasi membabitkan tempoh 2002 hingga 2007. Dalam tempoh itu, demokrasi diperhalusi lagi dengan pilihan raya diadakan dan kerusi untuk wanita dan etnik minoriti diperuntukkan di Parlimen. Selain itu, usia belia mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18.

Dalam fasa ketiga pada tahun ini hingga Januari, Musharraf berkata, beliau sudah menyelesaikan isu ketua tentera dan menuduh pihak kehakiman cuba menghancurkan proses demokrasi yang diusahakannya kerana tidak mengiktiraf kemenangannya dalam pengundian Oktober lalu dan diikuti dengan perkembangan keganasan yang meruncing memaksanya mengisytiharkan perintah darurat, 3 November lalu.

Kecuali pemecatan hakim, Musharraf percaya sudah memenuhi keperluan Perlembagaan dengan menyerahkan tugasnya sebagai pemimpin tentera kepada Jeneral Ashfaq Pervez Kayani sebelum mengumumkan perintah darurat tamat pada 16 Disember ini.

Tidak cukup dengan itu, Musharraf juga menggesa parti pembangkang tidak terus mengkucar-kacirkan keadaan dengan meminta mereka mengambil bahagian dalam pengundian tidak lama lagi bagi mewujudkan alam politik lebih baik.

Walaupun 33 parti pembangkang yang membentuk Pergerakan Demokratik Semua Parti (APDM) mengisytiharkan untuk memulaukan pilihan raya, keputusan mereka sedikit sebanyak terjejas dengan langkah Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir Bhutto bertanding dan mengumumkan manifesto serta strategi pilihan raya dalam pelancaran kempen, kelmarin.

Musharraf juga mengingatkan negara Barat supaya tidak terlalu mudah membuat penghakiman ke atas beliau dalam isu demokrasi kerana negaranya masih muda dan proses demokratik mengambil masa lama sebelum mencapai kematangan.

Katanya, sesuatu perkara yang besar seperti demokrasi tidak boleh dipaksa untuk dilaksanakan sepenuhnya sebaliknya ia seharusnya diberi masa untuk diubah, jika tidak sebarang pelaksanaannya akan mencetuskan kekacauan dan masalah.

"Kami harap kamu akan terus membantu kerana angin perubahan boleh berubah haluan," katanya kepada 1,000 diplomat, menteri dan tetamu dalam majlis mengangkat sumpah itu.

Dengan nada optimis dan penuh yakin itu, Musharraf secara langsung menggariskan pandangannya bahawa demokrasi Pakistan memasuki fasa baru menjelang pilihan raya akan datang. Kenyataannya bahawa beliau sedia meletak jawatan jika undian memburukkan masalah tentu satu daya penarik yang kuat kepada pembangkang untuk tidak memulaukan pilihan raya.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?