-->

Tuesday, December 4, 2007

YAHB beli Menara Bumiputra-Commerce


Oleh Azli Ayob


STRATEGIK: Dari kiri, Md Nor, Nor Mohamed, Mohd Shukri, Kamalul Ariffin, Tengku Ahmad Burhanuddin dan Nazir Razak melihat modul menara BCHB bagi dijadikan ibu pejabat CIMB Bank, di Kuala Lumpur, semalam.



Bangunan 39 tingkat akan disewa sebagai ibu pejabat baru CIMB Bank

PELABURAN Hartanah Bumiputera Bhd (PHBB), syarikat milik penuh Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) membeli bangunan Menara Bumiputra-Commerce Bumiputra-Commerce Holdings Bhd (BCHB) pada harga RM460 juta.

Bangunan setinggi 39 tingkat di tapak seluas kira-kira satu hektar di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur itu akan disewakan kepada CIMB Bank Bhd untuk dijadikan ibu pejabat barunya apabila ia siap pada Ogos tahun depan.



Tempoh sewaan itu adalah selama 10 tahun dengan opsyen melanjutkannya selama lima tahun lagi selepas itu.

Perjanjian pembelian dan sewaan itu dimeterai PHBB dengan BCHB dan CIMB Bank di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, PHBB diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Kamalul Arifin Othman, BCHB oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Shukri Hussin, manakala CIMB Bank Bhd oleh Pengarah Eksekutifnya, Tengku Ahmad Burhanuddin.

Ia disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Turut hadir, Pengerusi BCHB, Tan Sri Md Nor Md Yusof dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak.

BCHB adalah syarikat induk kepada CIMB Group.

Berucap pada majlis itu, Mohd Shukri berkata, penjualan bangunan itu bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan modal kumpulan dengan mengurangkan pemilikan harta fizikal.

"Sebagai kumpulan perbankan dan kewangan, strategi kami adalah mengurangkan jumlah harta sebaliknya menggunakan modal secara cekap dalam perniagaan teras," katanya.

Beliau berkata, perancangan pembinaan bangunan itu yang dibuat tiga tahun lalu bertujuan menempatkan semua kegiatan perniagaan perbankan runcit kumpulan di bawah satu bumbung bagi menggantikan ibu pejabat CIMB Bank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

Langkah itu, katanya, dapat menjimatkan bayaran sewaan berjumlah RM7.5 juta setahun.

"CIMB Bank juga akan mendapatkan semula modal berjumlah RM3.6 bilion daripada penjualan dan kemudian menyewa semula bangunan itu yang akan dilaburkan dalam perniagaan teras kumpulan," katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata, pembelian bangunan itu oleh PHBB dapat memenuhi matlamat kerajaan memastikan Bumiputera memiliki hartanah di kawasan utama dan strategik di bandar besar di negara ini.

"Matlamat penubuhan YAHB adalah untuk meningkatkan lagi pemilikan hartanah komersial oleh Bumiputera di bandar utama di seluruh negara dan pembelian Menara Bumiputra-Commerce ini dapat membantu kerajaan mencapai matlamat itu," katanya.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?