-->

Friday, January 25, 2008

Remaja hilang sebulan ditemui di Indonesia

LEPAS RINDU:
Maslina dicium Siadin dan ibunya sebaik tiba di rumahnya di Kampung Pondok Upeh, Balik Pulau, Ahad lalu. Maslina ditemui di Kampung Lamaraya, Sulawesi Tenggara, Indonesia selepas dilaporkan hilang 16 Disember lalu dipercayai dilarikan seorang buruh Indonesia.








Maslina dibawa lari guna tongkang ke Sulawesi, dipaksa kahwin

BALIK PULAU: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, yang hilang lebih sebulan lalu, ditemui di sebuah kampung di daerah Wamasangka, Sulawesi Tenggara oleh polis republik itu.

Maslina Maulat Siadin, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Pondok Upeh di sini antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam 16 Disember lalu, dikatakan dilarikan oleh seorang pekerja Indonesia sebelum memaksa gadis itu mengahwininya.

Dia ditemui oleh polis Indonesia, yang mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia, di Kampung Lamaraya, daerah Wamasangka pada 16 Januari lalu.

Maslina ditempatkan di lokap Balai Polis Sutera sebelum diambil oleh keluarganya, empat hari selepas itu. Seorang warga Indonesia, dikenali La Ila, 18, yang dipercayai melarikan remaja itu, turut ditahan.

Bapa remaja itu, Siadin Rashid, 45, yang dimaklumkan mengenai penemuan anaknya itu, pergi ke Jakarta pada 18 Januari lalu sebelum mengambil penerbangan ke Sulawesi Tenggara pada keesokannya bagi membawa pulang Maslina.

Dua beranak itu yang ditemani abang Siadin, Jalil, 50, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu.

Bercakap kepada pemberita di rumah mangsa di sini, semalam, Jalil yang juga seorang pegawai Imigresen, berkata Maslina dibawa lelaki Indonesia itu ke Johor Bahru sebelum menaiki tongkang di pangkalan haram ke Tanjung Pinang, Indonesia, tanpa sebarang dokumen perjalanan.

Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan ke Jakarta, Surabaya, Balik Papan dan Bau Bau di Sulawesi Tenggara.

"Sepanjang perjalanan menerusi jalan laut selama tujuh hari itu, Maslina memberitahu dia hanya makan pisang dan jagung rebus serta minum air hujan. Apabila tiba di kampung itu, dia diberi minum sejenis air sebelum dinikahkan," katanya.

Jalil berkata, dia dan adiknya membuat laporan polis pada 10 Januari lalu sebaik menerima maklumat bahawa Maslina dibawa ke wilayah itu.

"Beberapa hari selepas itu, saya menerima maklumat bahawa polis Indonesia sudah menahan La Ila dana Maslina turut dibawa ke balai polis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan," katanya.

Jalil berkata, beliau dan Siadin menemui Maslina dalam keadaan keletihan di lokap Balai Polis Sutera pada 20 Januari lalu dan membawa mangsa pulang selepas menyelesaikan urusan dokumen perjalanannya.

"Pengalaman saya berkhidmat dengan Jabatan Imigresen banyak membantu membawa pulang Maslina walaupun terpaksa menempuh pelbagai masalah," katanya.

Sementara itu, bapa Maslina, Siadin berkata, kebimbangan dan kerinduan mereka sekeluarga sejak kehilangan Maslina, kini berakhir.

"Walaupun dia dipaksa kahwin ketika berada di Sulawesi Tenggara, kami rela dengan apa yang berlaku kerana saya yakin anak saya tidak sedar dengan apa yang berlaku.

"Apa yang penting, Maslina kini sudah pulang ke pangkuan keluarga dan akan memulakan persekolahan seperti remaja lain," katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya termasuk Kedutaan Malaysia di Jakarta serta polis dan Jabatan Imigresen kedua-dua negara.

Maslina, anak bongsu daripada enam beradik, sebelum ini dilaporkan dilarikan seorang warga Indonesia yang baru beberapa minggu bekerja di tapak pembinaan berhampiran rumahnya.

Berikutan itu, keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada 16 Disember lalu.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?