-->

Friday, January 25, 2008

Sempadan Gaza-Mesir dipasang pagar berduri

DISEKAT: Sebahagian daripada rakyat Palestin di Gaza semalam dihalang daripada terus menyeberangi ke Mesir oleh pihak keselamatan yang mulai menutup sempadan itu dengan menggunakan pagar kawat dan pancutan air.




Tentera tutup laluan halang penduduk Palestin serbu masuk

GAZA: Tentera Mesir semalam menutup semula sempadan Semenanjung Gaza dan Mesir yang dirobohkan kumpulan pejuang Selasa lalu, bagi menamatkan usaha penduduk Gaza membeli barang keperluan berikutan sekatan Israel.

Namun lewat semalam, pejuang Hamas bertindak menggunakan jentolak untuk membuka laluan baru yang menyebabkan beratus-ratus penduduk Palestin yang tidak mengendahkan larangan pihak berkuasa Mesir, berpusu-pusu menyeberang masuk dengan hanya diperhatikan pengawal sempadan berkenaan.

Tentera Mesir memasang pagar berduri berhampiran dinding besi yang dirobohkan itu dan menyekat semula rakyat Palestin daripada memasuki bumi Mesir, mengakibatkan berlaku sedikit kekecohan di antara penduduk Gaza dengan tentera Mesir.

Agensi berita memetik saksi sebagai berkata penduduk Gaza melemparkan batu kepada tentera Mesir yang membalas dengan memukul mereka dengan kayu serta melepaskan beberapa das tembakan ke udara.

Pihak keselamatan Mesir membuat pengumuman untuk menutup semula sempadan itu pada jam 1 petang menerusi alat pembesar suara di beberapa pekan berhampiran sempadan Semenanjung Gaza.

Tempoh masa yang mencukupi diberikan agar ratusan ribu penduduk Gaza yang telah menyeberang masuk ke Mesir boleh pulang semula ke tempat asal mereka sejak pihak militan meletupkan pagar di sempadan itu pada malam Selasa lalu.

Pengumuman melalui alat pembesar suara dibuat di kedua-dua belah Rafah dan wilayah Sinai Utara di Mesir.

Sementara itu di Tebing Barat dua rakyat Palestin dan seorang anggota polis sempadan Israel ditembak mati Khamis lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan Israel berkata, negara Yahudi itu ingin memutuskan hubungannya dengan Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas selepas pihak pejuang meletup buka pagar sempadan mereka dengan Mesir.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice menyerahkan kepada Mesir menentukan keselamatan sempadannya dengan Gaza.

“Adalah sukar bagi mereka kerana ia adalah sempadan antarabangsa. Sempadan itu perlu dilindungi dan saya percaya Mesir memahami kepentingan untuk melindunginya,” katanya.

Washington juga berkata ia bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Mesir untuk mengembalikan keamanan di rantau berkenaan tapi tidak memberikan butiran lanjut.

Israel menduduki Gaza pada 1967 tapi menarik balik tenteranya pada 2005 walaupun ia masih tetap menguasai sempadan semenanjung berkenaan di utara dan timur, ruang udara dan kawasan perairan. Israel juga melakukan sekatan atas alasan untuk mematahkan serangan roket puak militan.

Semalam dua serangan udara Israel ke atas kenderaan berlaku secara berasingan dan mengorbankan sekurang-kurang empat militan Palestin di Rafah, kata pegawai keselamatan Gaza dan kakitangan perubatan. - Reuters/AFP

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?