-->

Thursday, January 10, 2008

Teguk todi uli tepung mi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SHAH ALAM: Meloyakan apabila serbuan mengejut di sebuah kilang memproses mi kuning dan kuetiau menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kebenaran mendapati kebanyakan pekerjanya membungkus dan menguli bahan makanan itu sambil meneguk arak dan samsu.

Aktiviti melampau itu dibongkar selepas kebanyakan pekerja warga Thailand terbabit tidak sempat menyembunyikan berpuluh-puluh botol samsu dipercayai dibawa masuk dari negara asal sebaik kilang mi di Sungai Buloh itu diserbu, jam 11.30 pagi semalam.

Operasi bersepadu dilakukan tiga pegawai Jakim itu turut menemui puluhan tin arak jenama antarabangsa dan botol todi bertaburan di kawasan memproses mi dan kuetiau dalam kilang berkenaan.

Operasi dijalankan bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Jabatan Kesihatan Selangor dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapati kebanyakan pekerja kilang di kalangan warga asing itu tidak mematuhi syarat kebersihan ditetapkan.





Malah, ketika serbuan dilakukan, ada pekerja tidak memakai baju dan kelam-kabut mencapai pakaian serta sarung tangan sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa kerana bimbang dikenakan tindakan.






Pemeriksaan terperinci kemudian menemui beberapa kotak samsu yang mempunyai kadar alkohol setinggi 27 peratus disorok dalam kilang itu selain botol dan tin kosong minuman keras yang baru habis diminum.

Beberapa pekerja kilang warga asing yang disoal siasat mengaku meneguk arak terbabit yang dibeli dengan harga RM3 sebotol sambil bekerja memproses mi dan kuetiau.

Pada masa sama, pemeriksaan lanjut mendapati pengusaha kilang mi dan kuetiau milik bukan Bumiputera itu turut menggunakan logo halal Jakim secara haram pada semua bungkusan mi serta kuetiau diedarkan.

Penolong Pengarah Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Ahmad Amri Abdullah, ketika ditemui berkata pemilik kilang memproses mi terbabit pernah diberi pentauliahan sijil halal Jakim antara 15 Februari 2004 hingga 14 Februari 2006.

Bagaimanapun, permohonan menyambung sijil halal Jakim yang sudah tamat itu tidak diluluskan selepas pemeriksaan pada 25 April 2006 mendapati kilang itu tidak menepati piawaian Amalan Kebersihan Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) ditetapkan.

Berikutan itu, permohonan mendapatkan sijil halal Jakim daripada pengusaha kilang terbabit ditolak atas alasan tidak memenuhi prosedur pensijilan halal ditetapkan jabatan berkenaan.

“Namun kerana mengejar keuntungan, pemilik kilang mi itu berdegil dan tetap menggunakan logo halal Jakim pada bungkusan mi dan kuetiau secara bebas.

“Pihak Jakim pernah memberi amaran, namun pengilang terbabit terus ‘menyeleweng’ logo halal Jakim semata-mata kerana mengejar keuntungan,” katanya.

Difahamkan, kilang terbabit boleh menghasilkan sehingga 10,000 bungkus mi dan kuetiau sehari bagi memenuhi permintaan pengguna di Lembah Klang selain dihantar ke seluruh negara.

Berikutan kesalahan dilakukan itu, pemilik kilang terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana kesalahan memalsukan logo halal Jakim yang boleh didenda RM250,000 jika sabit kesalahan.

“Tindakan pemilik kilang terbabit terus menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran dianggap keterlaluan dan boleh mengelirukan pengguna Islam,” katanya.

Sementara itu, siasatan pegawai Jabatan Kesihatan Selangor mendapati kilang mi berkenaan tidak mematuhi syarat kebersihan ditetapkan termasuk tidak membina lantai kalis air dan stor menyimpan bahan mentah.

Selain itu, kebanyakan pekerja asing di kilang terbabit tidak menerima suntikan typhim bagi mengelak jangkitan serta tidak melalui pemeriksaan kesihatan.

Jurucakap Jabatan kesihatan turut kecewa berikutan pekerja kilang terbabit didapati tidak memakai sarung kepala selain keadaan kilang kotor serta menjadi sarang lipas.

Berikutan itu, jabatan itu tidak teragak-agak mengarahkan operasi kilang mi terbabit dihentikan selama 14 hari sehingga semua masalah itu diatasi. Pemilik kilang diarah membuat rayuan bertulis bagi membolehkan notis penutupan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1985 ditarik semula.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti serbuan itu mendapati beberapa pegawai Jabatan Kesihatan turut mengambil sampel bungkusan mi dan kuetiau dari kilang terbabit yang disyaki mengandungi asid borik.

Asid borik sejenis serbuk putih yang digunakan sebagai pengawet makananm, tetapi penggunaan berlebihan dilarang mengikut Peraturan Makanan 1985 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?