-->

Monday, February 25, 2008

Ahmadinejad desak Amerika mohon maaf



TEHERAN: Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad semalam menggesa Amerika Syarikat dan sekutunya memohon maaf dan membayar pampasan kerana menuduh negara Teluk itu membangunkan senjata nuklear.

"Cara terbaik bagi mereka (Amerika dan sekutunya) melunaskan kesilapan adalah dengan memohon maaf dan membayar pampasan," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

"Jika negara itu meneruskan hasrat mengenakan sekatan, kita tidak teragak-agak mengambil langkah sewajarnya yang sudah dirangka," katanya tanpa mengulas lanjut.



Ahmadinejad turut menyampaikan perutusan tahniah kepada pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sambil menyifatkan laporan terbaru Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menolak dakwaan Teheran membangunkan senjata nuklear sebagai kemenangan penting negara berkenaan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada anda dan kita semua di atas kemenangan bersejarah ini... kejayaan terbesar dalam konfrontasi politik dengan kuasa penakluk Barat."

Peringatan terbaru Ahmadinejad tu dibuat sehari selepas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), IAEA mengeluarkan laporan terbarunya berhubung program nuklear Iran.

Laporan terbaru IAEA menyangkal semua tuduhan mengaitkan Iran dengan usaha penghasilan senjata nuklear.

Dalam laporan itu, IAEA menyatakan banyak persoalan lalu mengenai program nuklear Iran sudah dileraikan, tetapi tetap menyelar keengganan Teheran menghentikan proses penguraian uranium.

Lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan Jerman sudah bersetuju di atas deraf ketetapan berhubung pusingan ketiga sekatan terhadap Iran kerana keengganannya menggantung proses penguraian uranium berkenaan– langkah bagi menghasilkan bahan api untuk reaktor atau bagi pembuatan senjata nuklear.

Dua hari lalu, Setiausaha Negara Amerika Condoleezza Rice mendakwa laporan IAEA itu mengukuhkan lagi desakan bagi sekatan tambahan kerana Teheran masih gagal bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasat.

Kenyataannya itu dibuat biarpun laporan IAEA menyifatkan maklumat agensi perisikan Barat menuduh Iran mahu membuat senjata nuklear sebagai tidak berasas.

Usaha Amerika memastikan sekatan lebih keras terhadap Iran bertambah sukar akhir tahun lalu selepas agensi perisikannya sendiri mengeluarkan laporan yang Teheran sudah menggantung program senjata nuklear pada 2003.

Namun pegawai pentadbiran Amerika terus melontarkan tuduhan yang Iran meneruskan kegiatan berkenaan yang menjadi satu ancaman dan kemungkinan ia boleh memulakan semula pembangunan senjata nuklear dalam masa terdekat.

Sementara itu, sekumpulan pelajar berkumpul di tengah-tengah Teheran bagi meraikan apa disifatkan sebagai 'kejayaan Iran' dengan mengagihkan gula-gula kepada orang ramai di jalan raya. – AP

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?