-->

Monday, February 25, 2008

Hari Tindakan Global kecam Israel
GAZA: Rakyat 30 negara melancarkan Hari Tindakan Global semalam bagi membantah kekejaman Israel yang menutup wilayah Palestin, Semenanjung Gaza dari dunia luar dan menyebabkan kira-kira 1.5 juta penduduknya, hidup dalam kesengsaraan.

Ini termasuk perarakan keamanan dirancang di lebih 90 bandar di seluruh dunia termasuk di Perancis dan Itali.

"Mesej kami jelas - mahu meruntuhkan sekatan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan menggerakkan usaha negara Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa ke peringkat rasmi dan di kalangan orang ramai," kata Ketua pakatan Barisan Jawatankuasa Bebas Membantah Sekatan (PCAS) yang juga Ahli Parlimen Bebas, Jamal Al-Khudari kepada agensi berita Agence France-Presse (AFP).



"Di Semenanjung Gaza, kanak-kanak, lelaki tua dan wanita dibunuh setiap hari. Semua penduduk menderita akibat hukuman Israel. Bayangkan, 1.5 juta penduduk terbelenggu dan dikurung dalam satu kem penderaan besar dikenali Semenanjung Gaza.

"Di situ, lebih 1,500 pesakit tenat berdepan risiko kematian kerana tidak dibenarkan keluar mendapatkan rawatan. Lebih 96 yang mati akibat tindakan kejam Israel itu."

Sebagai permulaan, penyokong penduduk Palestin di seluruh dunia itu bertindak menutup lampu semalam setengah jam kelmarin sebagai merasai kesengsaraan penduduk Palestin yang hidup dalam kegelapan sejak sebulan lalu.

PCAS berkata ia akan menganjurkan minggu bantahan di sekurang-kurangnya 76 negara bagi menyokong suara Palestin.

Usaha itu dimulakan dengan tindakan mogok separuh hari di Semenanjung Gaza yang menyaksikan semua kedai, ditutup.

Penduduk Gaza turut melancarkan satu tugu peringatan bagi mangsa yang dikepung itu, di Dataran Al Katiba di barat bandar Gaza.

Tindakan yang turut disertai perarakan, juga diadakan di bandar Ramallah, Al-Khalil dan Nablus di Tebing Barat.

Di Perancis, perarakan aman dirancang di bandar seperti Paris, Bordeaux, Lyon dan Nantes.

Di Belanda, mereka yang menyertai perarakan itu akan meletakkan sepanduk keamanan di depan bangunan kerajaan di The Hague.

Di Itali, bendera dan lagu Palestin akan diperdengarkan di bandar seperti Biella, Melano dan Rome.

Di Athens, ibu negara Greece, penunjuk perasaan akan berhimpun di kawasan tengah bandar raya itu.

Di Britain, kumpulan cintakan keamanan itu akan membawa suara mereka ke pejabat Perdana Menteri di 10, Downing Street.

Perarakan seumpamanya juga dijadualkan di kota metropolitan lainnya seperti Geneva, Montreal, Istanbul, Kaherah dan Beirut.

Israel menutup Semenanjung Gaza selepas Hamas menguasai kawasan daripada pergerakan Fatah, Jun lalu.

Pada 17 Januari lalu, Israel bertindak ganas dengan menutup kawasan itu daripada dunia luar, menyebabkan stesen tenaga tunggal Semenanjung Gaza terpaksa ditutup kerana kekurangan bahan api.

Akibatnya, mereka bukan saja terpaksa bergelap, tetapi pesakit di hospital yang memerlukan bantuan mesin, turut sengsara. – Agensi

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?