-->

Monday, March 10, 2008

Berapa kalimah kau bertutur dalam sehari?
Berapa kalimah kau bertutur dalam sehari?


Kita tidak pernah mengira berapa kalimah yang dituturkan kita dalam sehari, apatah lagi untuk mengira kalimah yang kita tuturkan dalam seminggu, sebulan, setahun dan seumur hidup. Terlalu nadir, akan kita temui manusia yang mengira perkataan yang dituturkan dalam setiap hari dia melalui kehidupan. Justeru, kita bertutur dan kita membiarkan pertuturan itu berlalu seperti kita membiarkan setiap detik dari masa kita berlalu.
Saya pernah menghadkan kalimah yang perlu saya tuturkan dalam sehari. Namun, saya kemudiannya melupakannya. Bukan kerana saya tidak berjaya, tetapi saya merasakan saya terlalu terikat.

Cuba kita ambil jam berjarum dan kita lihat pada jarum jam yang bergerak itu. Setiap gerakan yang berdetik pada jarum itu tidak lagi akan berulang. Masa terus berlalu. Masa di dalam kehidupan realiti tidak akan menjadi seperti masa yang dipaparkan di dalam 'Back to the future' di mana watak bisa kembali ke zaman lampau dan pergi ke masa akan datang. Ini kerana itu hanyalah filem yang disarati mitos dan kita yang berakal waras ini juga tidak percaya. Kalau begitu benarlah kehidupan ini, ia tidak akan berulang pada masa yang sama. Kalau hari ini pada jam 2 petang kita makan nasi berlauk ayam bersama keluarga kita, mungkin esok hari pada jam yang sama dan tempat yang sama dan orang yang sama kita makan makanan yang sama; itu bukanlah sama, kerana walaupun tragedi dan pristiwanya sama tetapi kita jangan lupa masa sudah pun berbeza.

Dalam kehidupan, kita sering berkomunikasi. Dan setiap kemunikasi itu selalunya meninggalkan perasaan tertentu yang merupakan tanggapan kita terhadap orang tersebut. Misalnya kita berkomunikasi dengan pensyarah kita di kuliah, persepsi kita terhadap pensyarah itu sama ada kita menganggapnya hebat, berilmu luas, peramah dan sebagainya sudah tentu berbeza dengan persepsi kita terhadap orang lain yang turut berkomunikasi dengan kita. Begitu juga dengan manusia lain terhadap kita, mereka punya hak untuk menganggap apa-apa terhadap kita. Namun, pernahkah kita mengira berapa kalimah yang telah kita tuturkan?

Bercakaplah sekiranya setiap kata-kata itu memberikan manfaat, dan diamlah jika perkataan yang ditutukan itu bakal mengundang sesuatu yang tidak baik. Kita mungkin pernah mendengar pepatah yang mengatakan: "berkata-kata itu perak, sedang diam itu emas." Namun, saya beranggapan tidak semua perkara perlu diukur dengan menggunakan 'pembaris' yang sama.

Bagi seorang ilmuan, berkata-kata adalah lebih baik dari diam. Bagi seorang penipu, diam lebih baik dari berkata-kata. Bukankah ini sudah menjelaskan maksud tidak hanya satu pembaris itu?

Di Mesir saya berkomunikasi dengan masyarakat Arab Mesir. Jika ditanya kepada seluruh masyarakat arab di dunia, mereka akan bersepakat mengatakan bahawa orang arab yang paling kasar, adalah orang Arab Mesir. Malah saya sendiri mengakui akan kebenaran provokasi itu. Sememangnya secara literal, orang arab Mesir sememangnya kasar. Sepanjang hampir empat tahun saya bermukim di sini, saya dapati satu kesimpulan orang arab mesir memaparkan sosio-budaya kehidupan mereka menepati tanggapan orang terhadap mereka.

Saya tidak membenci Arab. Apatah lagi Arab adalah bangsa Baginda junjungan. Baginda Rasulullah SAW lahir dalam masyarakat Arab. Dia bertutur di dalam bahasa bangsa itu. Tetapi jangan kita lupa bahawa Baginda sendiri pernah mengingatkan di dalam sebuah hadis: "Tiada perbezaan di antara arab mahupun a'jami (bukan Arab) selain ketaqwaan."

Saya pernah menempelak seorang rakan sekuliah berbangsa Arab yang menafikan kami 'ajnabi (Orang luar) terhadap keistimewaan kuliah. Dan kebetulan pada masa itu saya teringatkan hadis dan ayat Al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 lantas membacakan kepada rakan Arab itu. Meski dia berkeras dengan mengatakan 'araby aula, nahnu sya'bil mukhtar!" (Orang Arab lebih dahulu (baik), kami bangsa terpilih). Saya mula menanam kebencian kepada bangsa Arab yang angkuh dan bersifat 'al-qaumiyah' (nasionalis) serta sombong.

'Isam adalah seorang sahabat yang juga berbangsa Arab. Beliau mengubah persepsi saya sedikit demi sedikit. Sekurang-kurangnya saya berpendapat kita orang Melayu yang dikenali bersopan santun ini, boleh berkawan dengan arab yang kasar itu. Saya masih ingat bagaimana saya pernah berjidal (berhujah) dengan 'Isam tentang persoalan-persoalan berbaur salafi, akidah dan hukum. Dan di dalam setiap perjidalan itu saya sering kalah, bukan kerana pandangan yang saya utarakan itu lemah...tetapi penguasaan bahasa saya yang agak kurang memuaskan ketika itu. Padanlah bagi seorang penuntut tahun satu, yang sering janggal bermulazamah dengan lughah arabiah baik fushah mahupun ammiah. Namun selepas "Isam dan saya berselisih faham kami agak kurang mesra seperti di tahun satu dulu. Namun, Arab seperti Isam boleh dijadikan kawan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang pemandu teksi yang menyumpah-nyumpah Presiden Republik ini. Padanya Mesir terlalu bacul untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa Palestin. 'Muzaharat' (demonstrasi) yang diadakan saban waktu tidak diendahkan. Dan beliau begitu kesal terhadap polis-polis yang menyekat suara rakyat. Saya mengira apa yang dituturkan itu seolah beliau menelaah negara saya (Malaysia). Kemudian bila saya hampir tiba ke destinasi saya beliau bertanya bagaimana suasana di negara saya. Saya hanya diam dan pemandu itu tersenyum.

Seorang pemandu teksi lain yang saya sempat berbual ketika perjalanan dari 'Muhafazah ke Talkha' di Mansurah juga meninggalkan persepsi saya bahawa Masihi di Mesir sudah akrab dengan Islam, cuma mereka tidak mahu memeluk Islam kerana orang Islam Mesir sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Dia begitu bersungguh menanyakan kepada saya apakah 'an-nadzofah' (kebersihan) sebagai perkara penting di dalam Islam dan beberapa perkara lain yang dilihatnya diamalkan oleh orang-orang Islam Arab Mesir seperti menipu di dalam berniaga, bergaduh dll. Tanpa berfikir panjang saya mengiyakan bahawa sememangnya kebersihan adalan anjuran Islam. Dan akhirnya jawapan saya itu menyebabkan dia mengutuk umat Islam Mesir yang tidak menjaga kebersihan. Padanya Islam tidak memaparkan contoh yang baik. Walaupun saya berkeras mengatakan bahawa jangan melihat kepada orang yang menganut, tetapi lihat kepada Islam yang dianuti, dia tetap berkeras... bahawa Jika tiada contoh dari yang ada, bagaimana pula yang tiada! Saya bingung. Kalaupun saya menggunakan pelbagai hujah ketika itu, saya tetap sukar untuk menang. Benarlah lisanul hal (contoh perbuatan) itu lebih baik dari lisanul qaul (perkataan).

Simpati terhadap umat Islam yang tidak sedar melantun-lantun, tetapi apa boleh buat? seorang makmum di Masjid berdekatan tempat tinggal saya bertanya apakah bersalaman selepas solat itu saya pelajari dari negara saya atau di Mesir. Saya mengatakan di mana-mana juga orang Islam mengamalkannya. Tetapi selepas itu, 'Ammu (pakcik) itu berkata sambil tersenyum: "Tetapi umat Islam tidak menyukainya." Ini menunjukkan walaupun bersalaman atau memberikan salam itu adalah syiar Islam, tetapi umat Islam tidak menyukainya atau dalam lain perkataan umat Islam tidak me'mulazamah'kannya di dalam kehidupan seharian.

Semalam terakhir saya bertemu dengan seorang 'Ammu yang begitu bersungguh mengatakan bahawa dia amat menyukai orang-orang ajnabi seperti saya (orang luar yang datang ke Mesir) kecuali orang-orang wisata (pelancong) yang datang sekadar melancong seperti orang-orang Eropah. Saya mengukir senyuman. Pada saya itu hanyalah kalimah 'mujamalah' yang sering saya dengar dari orang-orang Arab Mesir. Tetapi apa yang sering berlaku dalam kehidupan realiti berkomunikasi dengan mereka meresahkan.

Saya lebih rela tidak membeli barang di suq (pasar) gara-gara harga yang ditawarkan adalah harga tipu. Saya lebih rela menjadi 'dagang' di sini, dari menjadi sebahagian mereka. Saya kira kehidupan masyarakat pelajar di Mesir jauh berbeza dengan kehidupan masyarakat pelajar di tempat lain. Setiap muka bumi punya kisahnya yang tersendiri.

Apabila Ammu yang saya temui semalam memperkenalkan dirinya Hassan bertanya apakah saya akan kembali lagi ke Mesir walaupun setelah saya tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Saya mengatakan InsyaAllah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana perkataan itu boleh terpacul dari bibir saya. Kalau diikutkan kemarahan dan persepsi terhadap Masyarakat sini, mahu saja saya katakan yang saya sememangnya tidak menyukai orang Mesir. Tetapi hari ini, seolah hati saya sudah dilembutkan. Tidak semua orang Mesir itu sebagaimana persepsi buruk saya terhadap mereka. Ya ada keburukan, ada kebaikan.

Jangan lupa ramai ulamak lahir dari kalangan orang Mesir. Meskipun bumi ini berlantaikan tamadun Kinanah, lembahnya dari Nil yang basah, Tidak bermakna Ruh Musa juga terpisah. Biarlah Firaun, Biarlah Haman, Biarlah Qarun. Watak-watak jahat itu, watak yang juga ada di mana-mana.
Semakin banyak kita bertutur, semakin banyak peristiwa yang kita alami, semakin bertambah persepsi dan pengetahuan kita. Semakin itu juga kita menjadi matang dengan apa yang kita lalui. Pasa saya kehidupan kita ini dipengaruhi oleh persekitaran, bahan bacaan, orang yang kita dampingi, keluarga, sosio-budaya dan apa yang kita dekati. Tetapi sejauh mana kita terpengaruh, itu bergantung pada diri kita sendiri untuk membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

Akhirnya, berapa kalimah telah kita tuturkan? Yang pasti biarlah manfaatnya tersebar. Kerana kita adalah haiwan yang bertutur mengikut tanggapan ilmu mantiq.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?