-->

Monday, March 10, 2008

Sanggahan Terhadap Metod Sisters in Islam
Rencana: Sanggahan Terhadap Metod Sisters in Islam



Jika Subki Latif yang terkenal dengan catatan Min Aina Ila Aina dalam Akhbar Harakah juga sebagai kolumnis laman web Harakahdaily.net malah penulis beberapa tabloid dan majalah tempatan pernah menyatakan pendiriannya bahawa status Sisters In Islam (SII), sebuah NGO di Malaysia sebagai kumpulan orang-orang mengaji tak berguru, saya lebih cenderung berkata status Sisters In Islam sebenarnya adalah sebagai kumpulan orang-orang tak mengaji tetapi berlagak menjadi guru.

Antara saya dan Subky Latif tentu jurang terlalu jauh membezakan. Subki seorang penulis terkenal, sebaliknya saya hanya siapa? Kalaupun saya 'berkokok' dengan lantang sekali berkata begitu terhadap status SII mereka mungkin tidak perlu langsung untuk ambil kesah atau merasa tergugat. Siapalah saya untuk melabelkan SII sebagai kumpulan orang-orang tak mengaji tetapi berlagak menjadi guru itu.

Namun saya tetap berpendirian sebegitu hatta sekarang. Ini jelas kerana SII lantang berbicara persoalan seputar agama Islam bagai seorang syeikh!

Tentu masih di ingatan, sewaktu negara digemparkan dengan isu Kerajaan Terengganu pimpinan Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang membentangkan enakmen undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) untuk dilaksanakan di negeri itu, SII turut mengambil bahagian memeriahkan suasana. Tetapi bukan untuk menyokong enakmen itu dilaksanakan, sebaliknya menimbulkan beberapa persoalan supaya enakmen itu berjaya digagalkan. Inilah peranan penting SII ketika itu.

Siapa sebenarnya SII untuk membincangkan isu enakmen undang-undang jenayah syariah itu? Adakah SII 'sukarela' politik parti tertentu untuk menentang pendirian kerajaan Terengganu dari gabungan Barisan Alternatif itu? Kalaulah Subki mentelaah SII sebagai kumpulan orang-orang mengaji tak berguru, tentu sahaja pembaca tulisan subki itu sudah mampu menangkap maksud yang dilontarkan Subki. Subki tidak akan berkata begitu jika SII tidak mencerminkan apa yang dikata Subki. Masakan pokok bergoyang andai angin tidak bertiup.

Selain sebagai sebuah NGO yang berlatarkan perjuangan mempertahankan hak-hak kewanitaan dalam masyarakat kononnya, SII juga merupakan badan yang sering membicarakan persoalan agama Islam secara bebas. Peranan ini samalah seperti beberapa pertubuhan yang lain yang sering membicarakan tentang persoalan seputar agama Islam.

Melihat kepada senario tanahair, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) merupakan badan NGO yang paling bertanggung jawab penuh menjelaskan letak duduk perkara sebenar berhubung Islam. Tetapi persoalannya mengapa SII harus menampilkan diri melebihi PUM sedangkan mereka sendiri tidak jelas apa itu Islam yang sebenar.

Persoalan siapa menaja SII bukanlah perkara yang perlu diperbincangkan. Ini kerana SII sendiri merupakan NGO yang licik bermain tari di pentas persada tanahair. Inilah yang merunsingkan ulamak-ulamak Islam di Malaysia. Misalnya dalam permasalahan Fiqh berhubung wanita, SII dengan rakus mempersoal itu dan ini. SII dengan berani mempertikai ijtihad ulamak-ulamak muktabar dalam era perkembangan Fiqh suatu masa dahulu. Apa gunanya perkembangan fiqh pada era tersebut jika SII yang hanya wujud pada abad ke 20 mempersoalkannya semula?

Sememangnya tidak dinafikan bahawa ijtihad dalam persoalan fiqh berlaku perselisihan. Tetapi perselisihan tersebut hanya berlaku dalam persoalan cabang dan yang terdedah kepada ijtihad kerana terdapat beberapa perselisihan dalil. Manakala dalam persoalan berkaitan kewajipan solat lima waktu, kewajipan puasa dan selainnya yang merangkumi persoalan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, siasah dan sebagainya ijma' telah menjadikan dilalah dzanni ke martabat qati'e. Tindakan SII mempersoalkan keharusan poligami, relevankah iddah bagi isteri yang diceraikan atau fasakh, persoalan sekitar cerai, dan beberapa perkara lain berkaitan kekeluargaan Islam yang turut dipersoalkan menampakkan identiti SII yang seolah membuka pekung di dada sendiri.

Perlu diingatkan sesuatu peruntukan di dalam fiqh Islami adalah diistinbat (diambil) dari nas-nas yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Manakala peruntukan-peruntukan lain yang tiada nas adalah dzan yang lahir daripada ijtihad mengikut disiplin ilmu yang mapan. Di dalam mengeluarkan pandangan semua mujtahid mutlak seperti Imam 4 mazhab mempunyai kaedah usul fiqh yang tersendiri bagi menentukan sesuatu hukum fiqh. Berbanding pertubuhan Sisters in Islam, apakah kaedah yang mereka gunakan? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah kaedah akal dan dorongan nafsu semata-mata.

Berbalik kepada persoalan enakmen undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) yang dibentangkan, SII turut menyuarakan pandangannya. Di antara persoalan popular yang diketengahkan ialah masalah berkaitan dengan qazaf terhadap wanita mangsa rogol yang diperuntukkan dalam enakmen tersebut, apabila wanita itu tidak mampu mengemukakan saksi terhadap pendakwaannya. SII menyatakan bahawa peruntukan tersebut bersifat menzalimi kaum wanita sehinggakan mereka yang tidak mampu mengemukakan saksi tidak mampu menghadapkan pendakwaan dan kes itu berakhir begitu sahaja.

Bagi SII apalah sangat hudud dan qisos itu. Perlaksanaan hukuman melalui peruntukan enakmen tersebut dilihat kejam, diskriminasi, berlaku kecelaruan, pertindanan dan sebagainya. Bagi SII perlembagaan persekutuan telah pun memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan jenayah tersebut yang berada di bawah bidang kuasa persekutuan. Malah, rang enakmen cadangan tersebut mempunyai peruntukan-peruntukan penghukuman yang jauh melampaui batas kuasa yang telah ditetapkan bagi Kerajaan negeri serta akan mewujudkan peruntukan yang bertindan memandangkan beberapa kesalahan di bawah rang undang-undang ini telah pun termaktub di dalam undang-undang Persekutuan. Ini bermakna, bagi sesetengah kesalahan, akan wujudnya dua sistem perundangan yang bercanggah.

SII melihat undang-undang persekutuan sama sekali tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip perundangan Islam memandangkan undang-undang jenayah Islam memberikan ruang yang luas bagi pembentukkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan berbentuk ta'zir. Tetapi pada dasarnya SII langsung tidak memahami apakah kesalahan-kesalahan yang telah ditetapkan 'had' dalam Al-Quran adakah masih boleh dihitung sebagai kesalahan bercirikan ta'zir? Ta'zir hanya dikenakan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat nas 'had' yang tertentu. Ini bermakna bukan semua kesalahan boleh dikenakan ta'zir semata-mata.

SII kemudiannya merujuk kepada peruntukan perlembagaan Artikel 8(1) yang bermaksud setiap orang mempunyai hak yang sama disisi undang-undang. Sedangkan enakmen Jenayah Syariah itu memperuntukkan pilihan bagi orang bukan Islam untuk memilih samada mahu diadili melalui undang-undang itu tetapi tiada pilihan bagi Umat Islam. SII mendakwa ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan Artikel 8(1) tersebut. Justeru SII mempertahankan prinsip kesetaraan yang dianjurkan oleh perlembagaan persekutuan.

SII melihat Islam melalui sudut yang sangat sempit. Pandangannya hanya tertumpu pada prinsip kesamarataan yang dicanangkan, malah mereka hanya melihat kedudukan adil hanya apabila kesetaraan dilaksanakan. Dengan itu SII berpandangan pembentukan undang-undang setelah adanya peruntukan undang-undang persekutuan (Malaysia) adalah sesuatu yang tidak relevan sedangkan persoalan adakah perundangan sivil yang sedia ada menepati keadilan sebenar? SII bingung memutarkan idea akalnya.

Keadilan dalam Islam tidak dilihat apabila kesetaraan dikuatkuasa sedangkan kesetaraan itu tidak menepati tempat dan kesesuaiannya. Sebagai contoh mudah: seorang bapa yang adil terhadap dua anaknya di mana seorang anaknya adalah lelaki dan seorang lagi adalah perempuan perlu menyediakan keperluan anaknya bersesuaian dengan jantina anak-anaknya. Sekiranya untuk memperlihatkan prinsip kesetaraan yang dicanangkan SII adalah lebih baik si ayah membelikan pakaian yang sama sedangkan pakaian yang dibeli si bapa hanya boleh menutup aurat anak lelakinya, tidak aurat anak perempuannya. Ini kerana pakaian itu hanya sesuai bagi anak lelakinya. Adakah si bapa berlaku adil terhadap kedua-dua anaknya? Untuk memperlihatkan adil si bapa; dia mestilah membelikan pakaian yang sesuai kepada anak-anaknya yang berlainan jantina itu meskipun pakaian itu tidak sama jenis. Meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya barulah boleh dinilai sebagai adil. Bukan semata-mata kesetaraan.

Meskipun tidak boleh dinafikan terdapat kelemahan yang terdapat di dalam enakmen jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) Terengganu tersebut, namun kelemahan tersebut adalah berpunca dari masalah teknikel dan boleh dikatakan itulahlah resam apabila sesuatu perkara baru diperingkat permulaan kebiasaannya terdapat kelemahan. Akan tetapi kelemahan tersebut bukanlah bermaksud untuk memperlihatkan ketidaktelusan perundangan Islam. Itulah kelemahan yang perlu diakui oleh manusia sebagai makhluk yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Akan tetapi tindakan SII menghentam dan menempelak Kerajaan Terengganu yang beria-ia hendak melaksanakan perundangan Islam itu adalah tindakan yang wajar disifatkan mempunyai niat jahat. Sekiranya SII sendiri mengakui bahawa perundangan Islam adalah perundangan yang terbaik mengapa dipersoalkan tentang kelebihan peruntukan perundangan persekutuan, Pertindanan kehakiman dan penghukuman, pelaksanaan penghukuman sivil memadai dan sebagainya.

Ini jelas menunjukkan SII bukan Cuma hendak mempersoalkan tentang enakmen jenayah syariah itu dari sudut ketidakadilan terhadap mangsa rogol, tetapi SII sendiri tidak mengiktiraf perundangan Islam. Dengan sebab itu SII berusaha mencari kesalahan atau kekurangan yang terdapat supaya boleh dikelirukan dan sekaligus akan menyebabkan masyarakat menolak perundangan Islam.

Samada SII memang begitu atau SII bermotif lain, saya sendiri tidak pasti. Akan tetapi jika dilihat SII dari sudut idealisme mereka lebih mirip kepada kelompok orentalis di mana orentalis mempergunakan nama Islam sebagai perjuangan mereka dan dalam masa yang sama merosakkan Islam itu sendiri. Samalah seperti apa yang SII lakukan hari ini, cuma kelompok orentalis mungkin lebih merbahaya daripada SII.

Barangkali SII dan UMNO tidak ada apa-apa hubungan. Tetapi prinsip dan metod mereka terhadap enakmen tersebut adalah mirip. SII seolah-olah mampu menjadi jurucakap kepada UMNO untuk mengelirukan masyarakat.

Justeru, senario enakmen tersebut bukan hanya berlegar di arena perbincangan Ilmiah, malah melibatkan pergelutan wahana politik. Hudud dan Qisos itu mirip kepada PAS. Dengan sebab itu UMNO menempelak pelaksanaan hudud tersebut bermotif politik untuk memancing undi dalam pilihan raya akan datang. Dato' Harun Taib, orang terpenting dalam penyediaan enakmen itu pernah berkata, "Kalau ia untuk memancing undi, UMNO boleh meluluskan hudud di negeri lain dan boleh meraih undi." Akan tetapi UMNO tidak melakukannya, malah tidak berhasrat untuk meluluskannya meskipun sudah lebih 40 tahun Barisan Nasional (UMNO) memerintah setelah Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957.

Oleh kerana hudud menjadi kontroversi, belum tentu pengundi yang dikelirukan itu boleh mengundi PAS. Tetapi kerajaan Terengganu bertegas walaupun ia terpaksa kalah.

Untuk mencapai keredaan Allah. Walau pun kerajaan PAS Terengganu terpaksa kalah di hadapan Allah, kami redha, kata Pemangku Presiden PAS itu.

Konklusinya, SII tidak layak bercakap persoalan Islam. Ia sudah dan sedang keliru serta bakal mengelirukan.

Tamat.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?