-->

Saturday, January 17, 2009

'Israel gagal, Hamas bertahan'










DI SEBALIK kerancakan membedil Gaza dan membunuh penduduk Palestin dengan sewenang-wenangnya, pegawai kanan tentera Israel sebenarnya percaya negara itu perlu segera mencapai gencatan senjata dengan Hamas dan tidak melanjutkan serangan ke atas pergerakan itu.

Akhbar Haaretz melaporkan, walaupun tentera Yahudi sudah membuktikan kemampuannya melancarkan pembunuhan beramai-ramai berskala besar, ia juga terbukti gagal menghapuskan Hamas.

Pegawai tentera juga mengaku, kejayaan yang dicapai Israel dalam serangan yang masuk hari ke-21 itu cuma terhad di Gaza.

Jurucakap kumpulan pemikir Palestin, Gilad Atzmon, berkata pembunuhan penduduk awam menerusi serangan udara dan kapal perang serta imej penggunaan senjata kimia forforus jelas menunjukkan Israel gagal mencapai objektif mereka.

“Jeneral Israel memang baik dalam melakukan jenayah perang, tetapi mereka gagal dari segi lain. Ahli politik rejim itu pada awalnya bersumpah untuk memusnahkan Hamas tetapi kemudian merendahkan nada dengan cuma berjanji memusnahkan kawasan pelancaran roket pergerakan itu.

“Ia dibuat ketika memberi jaminan kepada pengundi Israel bahawa kali ini mereka akan berperang sehingga Hamas hancur. Nampaknya, mereka memungkiri janji sekali lagi,” kata Atzmon.

Beliau berkata, Hamas masih kukuh malah mendapat sokongan lebih padu daripada penduduk Palestin berbanding dulu.

“Mesej bertahan Hamas sudah tersebar ke seluruh dunia Islam. Minggu lalu saya berarak dengan kira-kira 100,000 penunjuk perasaan di London. Sokongan kepada Hamas begitu jelas. Ia tertera pada sepanduk, bendera, lilitan kepala dan pembesar suara.

“Hari ke-21 serangan dilancarkan, bukan hanya Hamas tidak dapat dikalahkan, kemampuan melancarkan

roket juga nampaknya tidak terjejas.

“Hari demi hari, pejuang Hamas semakin berjaya mengingatkan pendatang Yahudi di Ashdod, Ashkelon dan Sderot bahawa mereka sebenarnya menetap di atas tanah penduduk Israel yang dirampas. Berikan Hamas masa dan serangan peluru berpandu menjadi mesej ke setiap sudut tanah Palestin yang dirampas,” katanya.

Atzmon berkata, Israel kini terdesak mencari strategi keluar kerana Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak, sedar tentera daratnya perlukan masa untuk mencapai matlamat sedangkan mereka memerlukannya dengan segera berdasarkan tindakan berkumpul di kawasan terbuka hingga terdedah kepada serangan Hamas.

“Israel terus gagal kerana sejak beberapa hari lalu, bilangan tenteranya yang maut semakin ramai dan usaha meningkatkan serangan di Gaza berdepan tentangan hebat,” katanya.

"Hari demi hari, pejuang Hamas semakin berjaya mengingatkan pendatang Yahudi di Ashdod, Ashkelon dan Sderot bahawa mereka sebenarnya menetap di atas tanah penduduk Palestin yang dirampas” Gilad Atzmon.

KRONOLOGI

27 Disember 2008: Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Hamas di Semenanjung Gaza menerusi Operasi ‘Cast Lead ’dalam usaha menghalang serangan roket pejuang, termasuk mengebom terowong di sempadan Mesir-Gaza.

31 Disember: Roket dilancarkan dari Gaza mendarat lebih 40 kilometer di dalam wilayah Israel. Pegawai kanan Hamas, Nizar Riyan, gugur dalam serangan udara rejim Zionis keesokannya.

3 Januari 2009: Tentera darat Israel menceroboh Semenanjung Gaza, mengepung Bandaraya Gaza dan mengawal lebuh raya utama, membahagikan wilayah itu kepada dua bahagian. Dua hari kemudian, Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, menolak desakan Kesatuan Eropah supaya mengadakan gencatan senjata segera.

6 Januari: Tentera Israel berkata tiga askarnya maut terkenal bedilan kereta kebal sendiri. Serangan Israel dekat tiga sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengorbankan 48 orang, kata pasukan perubatan sebelum menggantung sementara serangan untuk membolehkan bantuan dihantar ke Gaza. Hamas berkata akan menghentikan serangan roket ke Israel jika serangan dihentikan.

8 Januari: Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi meluluskan gencatan senjata segera di Gaza yang membawa kepada ‘pengunduran sepenuhnya’ tentera Israel. Agensi utama PBB yang beroperasi di Gaza menggantung operasi selepas konvoi badan dunia itu dibedil peluru kereta kebal.

9 Januari: Bantahan anti-Israel diadakan di seluruh dunia Arab. Pusingan baru rundingan diplomatik dilancarkan di Kaherah, dengan Mesir menjadi hos rundingan berasingan dengan Presiden Mahmoud Abbas dan delegasi Hamas.

11 Januari: Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, berkata Israel menghampiri matlamatnya - tetapi pertempuran berterusan. Hamas semakin menghampiri kemenangan, kata ketua kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza, Ismail Haniyeh.

14 Januari: Tiga roket dibedil ke utara Israel dari Lubnan dalam serangan kedua dalam masa tidak sampai seminggu. Tiada kematian dilaporkan.

15 Januari: Satu bahagian hospital di Bandaraya Gaza musnah diserang tentera Yahudi. Agensi PBB bagi pelarian Palestin menggantung operasi di Gaza selepas serangan Israel yang mencederakan tiga orang. Menteri Dalam Negeri Hamas, Said Siam, gugur dalam serangan udara tentera rejim.

16 Januari: Hamas mencadangkan gencatan senjata selama setahun dengan Israel sebagai pertukaran pengunduran tentera Yahudi dari Gaza dan menamatkan kepungan ke atas wilayah itu. Angka korban penduduk Palestin sejak 27 Disember mencecah sekurang-kurangnya 1,333 dengan 5,130 cedera, menurut pasukan perubatan Gaza.

Di pihak Israel, 10 anggota tentera dan tiga penduduk awam terbunuh. Pegawai pertahanan Israel, Amos Gilad, kembali ke Kaherah untuk rundingan gencatan senjata; Livni ke Washington. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata gencatan senjata semakin hampir dicapai.


sumber : beritaharian

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?