-->

Saturday, January 17, 2009

Israel tolak gencatan senjata 12 bulan
Rejim Zionis tidak setuju tawaran Hamas tetapkan henti konflik untuk tempoh tertentu

BAITULMAQDIS: Israel menolak beberapa syarat Hamas bagi melaksanakan gencatan senjata di Gaza termasuk menetapkan tempoh hentikan konflik serta langkah memperbaharuinya selepas ia tamat dan pihak yang akan menguruskan lintasan sempadannya.

Sumber berkata, pendirian itu akan dikemukakan oleh pegawai kanan pertahanan Israel, Amos Gilad yang menghadiri rundingan di Kaherah kepada perunding Mesir kerana Tel Aviv enggan bersemuka dengan Hamas.

Sumber kanan Israel berkata: "Penetapan had masa gencatan senjata adalah satu kesilapan. Ini berasaskan keadaan masa lalu kerana ia hanya dijadikan alasan untuk mencetuskan keganasan. Suasana tenang berpanjangan diperlukan."

Di Kaherah, Hamas menyatakan kesediaannya untuk mengadakan perdamaian sementara dengan Israel selama setahun, jika negara Yahudi itu mengundurkan askarnya dari Gaza, sekali gus menamatkan pertempuran maut yang masuk hari ke-21 semalam.

Musa Abu Marzuk, timbalan ketua politburo Hamas yang berpejabat di Damsyik, memberitahu AFP bahawa cadangan itu disampaikan oleh wakil Hamas ketika menghadiri perbincangan di sini.

"Ini adalah kenyataan Hamas mengenai inisiatif Mesir dan cadangan kami mengenainya," kata Abu Marzuk dalam temu bual menerusi telefon.

"Kami masih menunggu jawapan Mesir selepas mereka berbincang dengan Gilad," kata Abu Marzuk.

Seorang pegawai Hamas berkata, pergerakan itu menerima 'garis panduan meluas' mengenai rancangan damai sementara Mesir tetapi belum meluluskannya.

Seorang diplomat Barat mengesahkan, Hamas mengemukakan cadangan perdamaian sementara dengan Israel selama setahun, yang boleh diperbaharui tapi menyatakan negara Yahudi berkenaan masih ragu-ragu.

Minggu lalu, Presiden Hosni Mubarak dari Mesir mengemukakan tiga cadangan bagi menghentikan serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza, yang sudah meragut nyawa kira-kira 1,133 rakyat Palestin.

Inisiatif itu diambil dengan hasrat gencatan senjata diadakan segera dan agar bantuan kemanusiaan disalurkan ke wilayah berkenaan, di samping menghentikan penyeludupan senjata di antara Mesir dan Gaza.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengadakan perbincangan dengan menteri kanan dan pegawai pertahanan kelmarin selepas Gilad kembali dari Mesir dan memutuskan untuk menghantar balik Gilad ke Kaherah untuk meneruskan rundingan.

Gilad, pembantu kanan kepada Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak, semalam meneruskan perbincangan mengenai rancangan perdamaian sementara itu dengan ketua perisikan Mesir, Omar Suleiman.

Menteri Luar Perancis, Bernard Kouchner dan wakil penyelesaian isu empat negara Asia Barat, Tony Blair berkata mereka menaruh harapan bagi gencatan senjata di Gaza.

Kouchner juga memberi maklumat mengenai rancangan perdamaian sementara Mesir itu, iaitu gencatan senjata yang boleh diperbaharui selama setahun, penarikan keluar askar Israel dari Gaza dalam tempoh lima hingga tujuh hari dan pembukaan semula laluan di sempadan Gaza, yang disekat oleh Israel dan Mesir.

"Tujuan rancangan ini adalah jelas. Pada sebelah pihak, tindakan itu bertujuan menghentikan penyeludupan senjata ke Gaza dan di sebelah pihak lain, membolehkan laluan di buka agar Gaza dapat berhubung dengan dunia luar," kata Blair. � AFP

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?