-->

Wednesday, September 19, 2007

RAMADHAN : BATAL PUASA JIKA.....


Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr
Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan
meluah rasa kurang setuju beliau dengan
tindakan para ulama yang terlalu
meluaskan perbuatan yang membatalkan
puasa. Beliau lebih setuju untuk
mengecilkan skop dan ruang lingkup
pembatalan puasa kepada perbuatan yang
benar-benar terdapat dalil tepat dari
al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama
sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang
lebar oleh ulama silam, antaranya para
ulama dari mazhab Hanafi dan ulama
mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57
bentuk perbuatan yang membatalkan puasa
adalah adalah tindakan yang kurang
sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh
ulama masa kini sehingga terdapat yang
menghabiskan masa begitu lama untuk
merangka fatwa, berijtihad dan
meletakkan kaedah bagi sesuatu
perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang
tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah,
apabila ijtihad dalam bab ini semakin
bercambah hingga menyebabkan kesukaran
orang kebanyakkan (awam) menjalankan
ibadah ini dengan tenang kerana
perincian perbuatan yang membatalkan
puasa amat cabang (furu') dan terlampau
banyak. Ia menyebabkan orang awam yang
terhad kemampuan, masa dan rujukan
sering berada dalam kebimbangan dengan
isu batal dan tidak batal puasa ini.
Lebih dikesali adalah perbincangan
tentang ini juga ada meninggalkan
perbincangan yang lebih besar berkenaan
Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh
As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang
patut diberikan fokus mendalam di waktu
Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa : Firman Allah yang
mengarahkan kita berusaha meraih taqwa
di dalam bulan ini. Perbincangan
berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang
boleh menghalang kita mencapai target
ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran :
Firman Allah yang menyebut bahawa
Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan
ini sebagai petunjuk, dan bukti
kebenaran petunjuk dan pembeza di antara
haq dan yang batil. Justeru perbincangan
berkenaan kemestian umat Islam kembali
kepada Al-Quran sebagai satu-satunya
formula untuk berjaya sebagai golongan
bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu
diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala
Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda
Nabi berkenaan tindakan yang boleh
menghapuskan pahala puasa Ramadhan
seperti bercakap kotor, nista, carut dan
perbuatan jahat dan keji di waktu bulan
ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia
adalah perkara yang disepakati bakal
merosakkan pahala puasa seseorang
walaupun ia tidak sampai membatalkan
zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah
di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed':
Sabda-sabda Nabi yang mengandungi
janji-janji dan tawaran Allah di bulan
ini juga perlu diperluas kepada orang
ramai agar semakin ramai yang berpotensi
ke Syurga Allah sekaligus melemahkan
fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang
sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan
puasa, sewajarnya ditumpukan kepada
hukum yang disepakati sahaja. Justeru,
larangan yang disepakati tatkala puasa
adalah menahan nafsu syahwat, menanggung
lapar dan dahaga serta menahan diri dari
bersetubuh dengan isteri di siang hari
dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan
as-sunnah, demikian juga menjauhi
kata-kata nista, bohong, mengumpat,
cercaan dan lain-lain dosa anggota demi
kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat
al-Baqarah : 187 dan disokong oleh
hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas
dan hilang aqal adalah dipersetujui
secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh
dibincangkan cuma jangan sampai ia
mengambil perhatian utama kita apabila
berada di dalam Ramdhan. Sebagai
panduan, berikut disertakan beberapa
hukum secara ringkas berkaitan puasa
yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada
untuk berbekam, ambil darah pesakit,
menderma darah, tercedera, darah dari
hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang
membatalkan adalah yang masuk ke tubuh
melalui saluran terbuka hingga ke perut
dan bukannya yang keluar' dari tubuh.
(As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu,
Dr Muhd Uqlah, hlm 215). Manakala
pandangan pembatalan puasa dengan
berbekam yang berdalil hadith riwayat
Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad
sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah
di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn
Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam
dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat
Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn
Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan
terkemudian dari hadith yang menyebut
batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh,
Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga
padangan majority mazhab kecuali
Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga
terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa
sampai ke perut dan yang seumpamanya di
bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke
dalam kemaluan wanita atau dubur ketika
proses perubatan yang berkaitan,
demikian juga memasukkan jari ke dalam
hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa
kecuali jika alatan itu dibiar tinggal
di dalam kemaluan tadi, kerana illah @
faktor penyebab batal puasa adalah
masuknya sesuatu berfizikal ke perut.
Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang
memasukkan jarinya ke dubur atau
kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia
membatalkan puasa, tetapi jika tujuan
istinja' atau membasuhnya maka hukum
yang lebih kuat menurut para ulama
adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md
Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui
oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang
mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan
hidung yang tidak sampai ke perut atau
bahagian otak adalah tidak membatalkan
puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Tidak dinafikan terdapat fatwa yang
mengatakan batal, justeru, nasihat saya
adalah lebih baik menjauhinya kiranya
tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana
menjauhi yang khilaf (perbezaan
pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak
membawa mudarat kepada pusingan haidnya,
dan memerlukan nasihat doktor Islam yang
berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan
Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh
Antarabangsa di Putrajaya ada
membincangkan isu ini. Tidak dinafikan
ia satu isu yang amat kerap dibincangkan
oleh para ulama seantero dunia dan
mereka berbeza pandangan apabila
sebahagian menyatakannya batal dan
sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para
doktor, mendapati gas semburan itu
punyai jisim-jisim putih yang jelas
kelihatan jika di sembur di atas kertas.
Selain itu, hampir 90 % darinya akan
terus masuk ke tekak dan melekat di
esophagus dan terus ke perut. Ini
bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk
ke perut setiap kali semburan. Justeru
sudah pasti ia membatalkan puasa.
Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh
Antarabangsa yang bersidang Juali 2007
baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka
menarik balik keputusan mereka untuk
dibincangkan lebih terperinci dalam
persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung
kepada makumat jelas dari para doktor
bagi memberikan fatwa tepat kerana
Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd
Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal
kerana gas itu hanya terhenti di
paru-paru dan tidak masuk ke perut.
Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui
hidung adalah membatalkan puasa kerana
ia akan masuk ke bahagian kepala.
(As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui
tangan, kaki selain rongga terbuka yang
asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada
untuk berubat atau untuk menguatkan.
Jika ia digunakan untuk mengurangkan
demam, bius, pain killer dan apa jua
tujuan asas perubatan, ia disepakati
tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi,
hlm 100 ; Uqlah , hlm 226). Demikian
juga hukumnya suntikan kalsium dan
sebagainya untuk kekuatan badan demi
perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti
glukos dan sepertinya untuk tujuan
perubatan; para ulama sekali lagi
berbeza pandangan : Pandangan majoriti
adalah : Tidak membatalkan puasa kerana
ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui
rongga terbuka dan ia tidak
mengenyangkan serta tidak bercangah
dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa
oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh
Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh
Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah
Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh
As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah,
hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini
membatalkan puasa terutama jika
dilakukan secara sengaja untuk melarikan
diri dari ujian keletihan lapar dahaga
puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke
rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma
jika berlebihan berkumur ulama Syafie
mengatakannya terbatal. Justeru,
jauhilah berlebihan di ketika puasa
dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan
wudhu , basuhlah celah-celah jari
jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut
air ke hidungmu kecuali tatkala kamu
berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ;
At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih
menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban &
Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi
; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut
majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi
dosa maksiat itu akan ditanggung
berasingan mengikut jenis maksiat, malah
mungkin bertambah besar dosanya kerana
mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala
puasanya pula akan terhapus Selain itu,
ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan
berpuasa iaitu bagi melahirkan insan
taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi,
hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa
sempat bertemu Ramadhan dan tidak
diampun dosanya, maka semakin jauh ia
dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami
tatkala berpuasa, tidak batal menurut
majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-


Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan
bermesra (dengan isterinya) dalam
keadaan ia berpuasa, tetapi baginda
adalah seorang yang menguasai diri dan
nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ;
Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -






Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba
didatangi oleh seorang pemuda dan
bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium
isteriku, jawab nabi : Jangan ;
tiba-tiba dating seorang tua dan
bertanya soalan yang sama : Jawab nabi :
Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling
berpandangan antara satu sama lain, maka
nabi berkata :-
"aku tahu apa mengapa kamu saling
berpandangan antara satu sama lain,
sesungguhnya orang tua mampu mengawal
dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan
At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah
yang diperkatakan tentangnya,
menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai
orang tua zaman sekarang yang turut
tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh
As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan
puasa dan ciuman sebegini tidak harus
jika ia boleh membawa mudarat seperti
menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada
persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan
sempat niat pada waktu malamnya sebelum
naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun
belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat
berniat sebelum fajar subuh, seperti
belum makan dan minum apa-apa pada pagi
itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya
kering, ia tidak dikira boleh berpuasa
pada hari itu kerana tiada niat bagi
puasa wajib boleh dibuat selepas terbit
fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti
ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak
berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada
puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu
Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari
kemaluan lelaki atau perempuan kerana
naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan
keluarnya air mazi semasa berpuasa,
samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan,
ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie,
Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan
Imam Ahmad dalam satu pendapatnya
berfatwa keluarnya air mazi tidak
membatalkan puasa. Saya lebih cenderung
dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya
mani dengan syahwat adalah membatalkan
puasa dan wajib qadha, ia adalah
disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana
berfikir lucah dan melihat dengan
syahwat, ia tidaklah batal menurut
sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie,
Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki
mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung
dengan pendapat yang mengatakannya batal
kerana ia benar-benar bercanggah dengan
tujuan dan maqasid puasa dalam Islam.
Selain itu, ia juga adalah sama
dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang
hari Ramadhan atau kerana sakit
tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia
tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa
disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga
hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn
Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa
mandi, ia tidak membatalkan puasa.
Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan
Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub
mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas
juga pernah disebutkan mandi ketika
berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan
puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan
puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan
Hanafi. Cuma jika dengan segera
seseorang itu kembali berniat dan
membetulkan niatnya tadi, puasa tidak
terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib
menjaga niatnya agar tidak terpesong
untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah
menolak pandagan yang mengatakan tidak
batal kerana ibadah itu adalah
berdasarkan niat seperti solat juga yang
akan terbatal jika berniat
membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?