-->

Monday, March 10, 2008

AL-GHAZALI: PERINTIS FALSAFAH ISLAM
AL-GHAZALI: PERINTIS FALSAFAH ISLAM



DALAM dunia falsafah Islam Al-Ghazali merupakan perintis awal yang sangat terkenal. Beliau yang mendapat gelaran "Hujjatul Islam" adalah Ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan pada tahun 450H.

Ayahnya merupakan seorang sufi yang sangat wara' dan kerjanya memintal dan menjual benang yang ditenun dari bulu biri-biri. Turut mendedahkan anak-anaknya dengan asas sufi. Al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad. Pada mulanya beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang Fiqh dan kemudian meneruskan kembara Ilmu ke Jurjan. Pernah berguru dengan beberapa orang ulamak terkenal pada zamannya, misalnya Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar. Melalui Nizam al-Muluk, Al-Ghazali diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad disokong kemahiran bermuhadharah sehingga menjadikan dirinya seorang Ilmuwan yang amat terkenal dalam bidang Fiqh, Ilmu Kalam dan Falsafah pada zaman tersebut.

Lantaran mewarisi sifat Ulamak Islam beliau juga sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan menyebarkannya. Sangat dihormati oleh Pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana keilmuannya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Menurutnya keilmuan dan keistimewaan para sufi tidak akan dapat dipelajari melalui buku-buku kecuali dengan pengalaman dan merasainya sendiri.

Falsafahnya telah meninggalkan kesan yang berpengaruh dalam diri para Intelek Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, syah waliuLlah dan ramai lagi. Setelah beberapa lama mengembara dan mempertajamkan ilmu serta sikapnya sebagai seorang sufi, al-Ghazali kembali ke Naisabur atas desakan Fakhrul Muluk, anak kepada Nizam al-Muluk untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyah. Namun tidak beberapa lama setelah itu, Fakhrul Muluk mati terbunuh dan Al-Ghazali kembali semula ke Tus dan membuka sebuah madrasah bagi menyebarkan ilmu dan mendidik hati. Al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada tahun 505H dalam usia 55 tahun.

ASAS-ASAS FALSAFAH AL-GHAZALI

Menurut Al-Ghazali falsafah secara ringkasnya dikatogerikan kepada enam aspek penting iaitu: matematik, fizik, metafizik (KeTuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Malah menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu-ilmu seperti falsafah Greek asalkan ianya tidak bertentangan dengan Islam sebagaimana dibahaskan di dalam karyanya yang berjudul "Tahafut al-Falasifah" mengenai fizik dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan. Walaupun beliau bersetuju dengan sumbangan teori falsafah yang dipelopori oleh Aristotles dan Plato terhadap nilai keilmuan Islam, namun tidak semua diterima oleh beliau kerana terdapat sejuzuk dari bidang falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam.

Dalam kitab "al-Munqidz Min ad-Dhalal" al-Ghazali menyatakan bahawa para Filosof yang menganut pelbagai mazhab dan yang membawa pemikiran yang berciri kekufuran dapat dibahagikan kepada tiga golongan:

a. Golongan ad-Dahriyyah (Aties)

Golongan ini mengingkari adanya Tuhan. Kata mereka, alam ini ada dengan sendirinya. Seperti haiwan yang ada melalui mani dan mani dari haiwan tanpa kesudahan lingkarannya, demikian pula halnya dengan alam ini. Golongan ini adalah zindiq.

b. Golongan at-Tobi'iyyah (Naturalis)

Golongan ini memusatkan perbahasan pada alam fizika, terutama haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Keajaiban yang mereka temui menjadikan mereka mengakui adanya Pencipta yang Maha Bijaksana. Golongan ini berpendapat setiap jiwa akan fana dan tidak kembali lagi. Lantaran itu mereka mengingkari adanya hari akhirat, syurga dan neraka. Golongan ini juga termasuk zindiq.

c. Golongan al-Ilahiyyah (Theis)

Golongan ini muncul dari dua golongan yang telah dinyatakan. Seperti Sokrates, Plato dan Aristoteles. Kesan daripada itu, Aristoteles telah menyanggah pemikiran para filosof sebelumnya, tetapi dia sendiri tidak mampu membebaskan diri dari sisa-sisa kekufuran. Namun ilmu-ilmu falsafah selain yang membincangkan tentang KeTuhanan boleh diterima selagimana tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh Al-Ghazali menunjukkan satu contoh dalam ilmu matematika yang tidak dapat diingkari kebenarannya.

Adapun dalam bidang keTuhanan Al-Ghazali berpendapat para filosof banyak bertentangan dengan agama Islam, sehingga wajib ditolak. Untuk maksud tersebut karyanya yang berjudul "Tahafut al-Falasifah" yang mengemukakan 20 masalah yang tidak sesuai dengan Islam (meliputi hal kufur dan bid'ah) harus diteliti oleh Umat Islam. Konklusi yang dibuat oleh Al-Ghazali di dalam perbahasan kitab tersebut meletakkan tiga aspek pertentangan antara filosof dan Islam iaitu:

1. Filosof menganggap qadimnya alam
2. Tuhan tidak mengetahu peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku di bumi
3. Mengingkari kebangkitab semula jasad pada hari akhirat

Sebagai cadangan untuk menyelak pemikiran falsafah Al-Ghazali bolehlah membaca karyanya "Tahafut al-Falasifah" dan "Maqasid al-Falasifah."

PERSPEKTIF SARJANA ISLAM TERHADAP AL-GHAZALI

Para Ilmuwan Islam baik sezaman dengan beliau atau selepasnya amat tertarik dengan daya pemikiran dan falsafah yang diketengahkan beliau untuk tatapan umat Islam. Sebagai seorang pengkritik kepada filosof beliau juga tidak terlepas daripada diertikaikan sebagai seorang ahli falsafah. Contohnya Ibn Rusyd yang menulis sebuah buku berjudul "Tahafut at-Tahafut" sebagai serangan balas terhadap dakwaan Al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau bagaimanapun perkara ini dianggap sebagai suatu kebiasaan para ilmuan mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan pendapat di kalangan mereka. Perkara sebegini juga berlaku terhadap Plato apabila teori falsafahnya diperbetulkan oleh muridnya, Aristoteles.

Menurut Ibn Tufail dalam menghuraikan penentangan Al-Ghazali terhadap aspek metafizik di atas tadi bahawa ianya memang suatu kontradiksi daripada fikirannya dan ada lain pendapat yang mengatakan ianya kesan perkembangan pemikiran Al-Ghazali bermula dari peringkat awal pendidikannya sehinggalah beliau mengalami pelbagai pengalaman dan peningkatan terhadap ilmu pengetahunnya.

Selain Sarjana Islam, Orientalis barat dan penulis-penulis bawat juga sering menulis tentang Al-Ghazali. Antara mereka ialah J.Wensik, Obbermana, Cara De Vaux dan lain-lain lagi lantaran kekaguman terhadap teori falsafahnya. Pun begitu mereka yang sering mengikuti perkembangan Al-Ghazali sering memberikan pandangan dan penafsiran yang berbeza-beza antaranya B.B Mc donald yang menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang tokoh yang terkenal di dunia Islam sebagaimana Augustinus dalam dunia Kristian. Malah Pascal, filofoh terkenal Perancis sering merujuk kepada pendapat Al-Ghazali dalam falsafahnya.

KARYA AL-GHAZALI

Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali adalah ulamak dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan. Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak dapat ditentukan dengan tepat secara defenitif oleh para penulis sejarahnya. Ini kerana ada di antara kitab-kitabnya yang telah diterbitkan dan masih ada yang tersimpan dalam perpustakaan makhtutah negara-negara Arab. walau bagaimanapun Abdurahman Badawi mengklasifikasikan karya Al-Ghazali kepada tiga katogeri. Pertama kitab yang dikenalpasti dengan tepat sebagai karya Al-Ghazali sejumlah 72 kitab. Kedua, kelompok yang diragui terdiri dari 22 kitab dan ketiga, Kitab yang dapat dipastikan bukan karyanya sejumlah 31 kitab.

Kitab-kitab yang ditulis oleh beliau meliputi pelbagai bidang ilmu seperti al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fiqh, fiqh, tasauf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain. Antara karyanya yang sangat berpengaruh dan dominan ialah:

1. Tahafut al-Falasifah
2. Ihya' Ulumiddin
3. al-Munqidz Min ad-Dhalal
4. Miskat al-Anwar
5. Maqasid al-Falasifah
6. Majalis Al-Ghazali
7. al-Mustazhari

Hasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah "Tahafut al-Falasifah" yang banyak membongkar pemikiran dan pendirian beliau. Karyanya ini merupakan jawapan dan pendirian terhadap falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam. Inilah bukti yang menjadikan beliau ahli falsafah yang mempunyai keistimewaan. Dalam pencarian hakikat dan kebenaran yang sering mendorong dirinya menjadi seorang pengkaji yang bukan hanya mendalami ilmu malah mengamalkan keilmuan dan merasai dzuq seorang muslim sejati. - Tamat.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?