-->

Sunday, January 18, 2009

Analisis Saham: Pertumbuhan VisDynamics diunjur perlahan
Industri semikonduktor berdepan risiko pemberhentian pekerja berikutan permintaan kurang

TINJAUAN industri semikonduktor tahun ini diunjurkan kurang memberangsangkan dengan keseluruhan pengeluaran dan permintaan dijangka berkurangan.

Industri itu berdepan risiko masalah pembuangan pekerja, manakala wujud kemungkinan syif operasi dikurangkan.

Ini tidak terkecuali buat VisDynamics Holdings Bhd yang terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk, memasang dan menguji peralatan bagi industri Peralatan Ujian Automatik (ATE) untuk sektor semikonduktor.

VisDynamics mencatat kerugian bersih RM799,000 pada suku kewangan keempat berakhir 31 Oktober 2008 berbanding keuntungan bersih RM496,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan suku dikaji susut 6.6 peratus kepada RM3.584 juta daripada RM3.837 juta.

Ia mencatat kerugian bersih terkumpul RM1.461 juta sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2008 berbanding keuntungan bersih RM295,000 sebelumnya.

Pendapatannya tahun kewangan lalu susut sedikit 3.1 peratus kepada RM9.311 juta daripada RM9.612 juta.

Keuntungannya pada tahun kewangan 2008 juga terjejas oleh perbelanjaan tambahan daripada kerja menaik taraf mesin.

Pada peringkat operasi, ia mencatat kerugian RM0.2 juta (sebelum perkara luar biasa) untuk suku dalam kajian berbanding keuntungan RM400,000 suku sama tahun sebelumnya.

Sungguhpun demikian, Standard & Poor's berpendapat prestasi kewangan VisDynamics tahun lalu adalah lebih baik daripada jangkaan kerana kerugian yang dicatatkan adalah lebih rendah daripada ramalan awal.

Mengambil kira tinjauan ekonomi global yang suram, permintaan daripada pelanggan VisDynamics dijangka kekal perlahan dalam tempoh terdekat.

Justeru, Standard & Poor's mengurangkan anggaran kerugian bersih RM0.2 juta untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Oktober 2009 daripada keuntungan bersih RM0.1 juta sebelum ini.

Dengan pembetulan harga saham VisDynamics, firma itu menaikkan cadangan kepada 'Jual' daripada 'Jual Padu' sebelumnya.

Harga sasaran 12-bulan pula dinaikkan kepada RM0.17 daripada RM0.13 sebelum ini.

Berikutan jangkaan syarikat berkenaan akan kekal menanggung kerugian dalam tahun kewangan semasa, metodologi penilaian Standard & Poor's disemak semula kepada asas P/B, berbanding campuran PER dan P/B sebelum ini.

Harga sasaran firma itu berdasarkan 0.7 kali penilaian P/B pada tahun kewangan semasa (berbanding campuran 7 kali PER dan satu kali penilaian P/B berdasarkan metodologi sebelum ini).

Mengambil kira kelembapan ekonomi dunia, tinjauan jangka pendek bagi industri ATE kekal lembap.

Sehubungan itu, Standard & Poor's mengekalkan pandangan yang prestasi harga saham VisDynamics berkemungkinan di bawah pasaran.

Risiko kepada cadangan dan harga sasaran berkenaan termasuklah pertumbuhan ekonomi global yang lebih cepat daripada jangkaan; peningkatan semua permintaan dalam sektor semikonduktor yang akan memberikan impak positif kepada pendapatan; dan penyusutan nilai ringgit, yang memberikan impak positif ke atas pendapatan syarikat.

Sementara itu, SJ Securities mencadangkan risiko kepada prestasi kewangan VisDynamics termasuklah penyusutan lanjut permintaan dalam sektor semikonduktor.

Ia menjangkakan tinjauan berkenaan akan berlanjutan kepada beberapa suku lagi tahun ini.

SJ Securities yang sebelum ini merendahkan ramalan awalnya ke atas syarikat berkenaan untuk mencerminkan persekitaran sebenar industri semikonduktor, telah menilai harga saham VisDynamics pada RM0.19 sesaham berdasarkan diskaun 20 peratus kepada aset bersih sesaham.

Harga saham VisDynamics ialah pada RM0.20 pada 2 Januari lalu dan mengekalkan aliran menurun.

Bagaimanapun, ada kemungkinan harganya sudah begitu hampir mencecah paras dasar.

Aliran bearis semasa dijangka berterusan dalam separuh pertama tahun ini.

Berdasarkan tiga kegawatan lalu, pasaran bearis akan berakhir pada atau selepas suku pertumbuhan KDNK terburuk, sebelum rali bulis bermula.

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat dialu-aluan

Update Download

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?

  • Tiada Link

    Harap maaf. Tiada update download yang terbaru. Ada sapa2 nak sumbangkan benda untuk didownload?